Khamis, Mei 07, 2009

WRITER’S BLOCK (?)

SAYA tidak peduli sangat kalau misalnya sekejap lagi, ketika saya hendak menuliskan sesuatu, otak saya menjadi beku, tidak dapat memulai walau secebis kata mengenai sesuatu yang hendak saya tulis.

Saya katakan begitu kerana saya memang pun tidak peduli dan selalu mencari jalan selesai yang bagi saya sangat mudah dan tidak memerukan banyak belanja. Maksud saya, kalau ketika hendak menuliskan sesuatu itu saya tidak mampu untuk menuliskannya, saya biasanya akan keluar dari kamar dan melalukan sesuatu yang lain, yang saya rasa hendak saya lakukan dan berasa sangat seronok bila sedang malkukannya.

Bagi saya menulis itu mana boleh dipaksa-paksa. Menulis itu perlu dilakukan dalam keadaan sudah benar-benar bersedia. Kalau dipaksa-paksa manakan menjadi.

Menulis itu lebih kurang seperti jugalah, maaf bukan niat hendak berlucah atau merendahkan martabat kerja menulis, bandingannya seperti juga kita hendak membuang air kecil, hendak melahirkan anak atau pun tidor.

Mana boleh hendak dipaksa-paksa membuang air kecil kalau tidak terasa langsung hendak mengeluarkannya.

Bagitu juga kalau hendak melahirkan anak. Mana mungkin orang yang tidak bersedia untuk melahirkan boleh dipaksa-paksa supaya melahirkan seorang bayi. Maksdnya, orang yang hendak melahirkan seorang anak mestilah mengandung terlebih dahulu selama beberapa bulan. Kemudiannya selepas genap waktu dan tempohnya, barulah anak itu dilahirkan ke dunia.

Apa lagi kalau hendak tidor. Bolehkah kalau mata tidak berasa mengantok atau badan berasa benar-benar letih dipaksa-paksa juga supaya tidor?

Tentu sahajalah tidak mungkin boleh tidor dan kalau dipaksa-paksa juga, akibat lain pula yang akan datang. Akibat itu, biasanya, fikiran akan didatangi pelbagai gangguan dan lamunan. Gangguan dan lamunan ini selalunya datang dalam bentuk yang agak negatif dan jika berlamaan dilayan serta difikirkan boleh pula mendatangkan rasa risau dan gelisah di dalam diri.

Kesudahannya, seperti yang selalu dialami oleh pengidap amnesia, yang menjadikan mereka resah dan gelisah bukanlah kerana tidak boleh melelapkan mata tetapi fikiran dan lamunan yang datang mengganggu tatkala mata tidak dapat dilelapkan.

Lainlah kalau terlentang atau bolak-balik di kasur kerana tidak boleh tidor itu ditukarkan dengan melakukan sesuatu aktiviti yang lain yang lebih bermanfaat. Misalnya menonton tv, menulis, membaca, mengemas dan membersihkan rumah, membaca al-quran, solat atau berzikir.

Begitu jugalah halnya jika tidak boleh menulis ketika diri memaksa dirinya sendiri supaya menulis. Dari memecahkan kepala memikirkan sesuatu yang memang pun tidak mahu menjelma dan gelisah mengenangkan sesuatu yang memang pun tidak akan tertulis, lebih baik keluar dari kamar dan bersantai-santai atau melakukan sesuatu yang lain yang dapat meredakan rasa gelisah dan tegang di dalam diri.

Kerana itulah saya berasa saya tidak mempunyai masalah sangat berhubung dengan soal yang selalu disebutkan kawan-kawan penulis sebagai tembok halangan seorang penulis atau writer’s block.

Menulis bagi saya sepatutnya tidaklah terlalu menjadi sulit dan menggelisahkan. Sulit dan gelisah itu sebenarnya bermula ketika mendepani realiti dan mengumpul bahan. Ketika menulis, sesudah bahannnya sudah ada, tugas penulis adalah menulis sahaja terus menerus. Dan kalau sudah berasa letih dan mulai menjadi macet, maka wajarlah berhenti dan bersantai dahulu, sambil-sambil itu mencarilah input baru.

Masalahnya memanglah ada kalau menulis itu disangka hanya baru bermula tatkala masuk ke kamar menulis atau berada di depan papan kekunci. Di mana ketika itu, tanpa benar-benar bersedia diri dipaksa utuk menuliskan sesuatu.

Tetapi menulis sebenarnya, maksudnya prosesnya, bermula jauh dan lama sebelum itu. Segala yang dilihat dan di dengar perlu dikumpul dan dicerna di dalam diri agar menjadi khazanah fikir dan sumber idea yang digaul di dalam diri.

Sampai waktunya, segalanya itu, akan mendesak-desak supaya segera dilahirkan dalam bentuk karya dan ketika itulah, tanpa dapat ditahan-tahan, proses menulis itu menjadi lancar.

Jadi kenapa mesti fikir atau takutkan writer’s block?

Hidup ini, sebagai apa pun, perlulah dihayat dan dinikmati sepenuhnya. Segala seginya, susah, senang, duka dan ria, perlulah diterima seadanya. Dengan begitu hidup tidak terasa menekan dan terlalu mendesak.

Seperti juga menulis. Menulis sepatutnya seperti juga ruang dan segi lain di dalam hidup, seperti makan, minum, tidor dan berajalan-jalan, yang dirasakan pelru di dalam hidup.


Kalau memang tiada apa yang hendak ditulis, maka bersantai dan buatlah sesuatu yang lain, yang boleh membuatkan diri berasa seronok dan bahagia.

Asalkan bukan sesuatu yang dilarang agama dan undang-undang, segalanya menjadi sah!

Saya harap, kalau pun tidak sepenuhnya, catatan saya ini dapat menjawab kemusykilan seorang pelajar yang saya temui pada suatu acara di IPGM Kampus Tengku Ampuan Afzan Kuala Lipis pada tengah hari 6 Mei, 2009 semalam.

Saya tidak nafikan, bagi seorang pemula atau sesiapa yang baru berjinak-jinak hendak memulai menulis, soal block atau tembok hadangan menulis ini memang menjadi punca yang menghalang.

Halangan ini menjadi benar sebahagiannya kalau soal seni menulis atau mengarang itu masih belum begitu dikuasai. Tetapi kalau diteruskan juga hari demi hari, menulis secara berdikit-dikit tanpa jemu, kemahiran itu akhirnya akan dikuasai juga.

Saya berani berkata begini dengan yakin berdasarkan pengalaman diri sendiri.

Saya mengaku, sampai kini pun saya masih lagi belajar menulis dari mana pun sumbernya. Tetapi sedikit kemahiran yang saya kuasai dan terus saya usahakan menggilap dan mempertingkatkannya, tidak lain terhasil setelah hampir atau mungkin lebih 30 tahun menulis dan terus menulis tanpa jemu.

Rasanya, saya juga tidak menjadi terlalu gelisah dan risau kalau menghadapi saat-saat didatangi rasa tidak boleh menulis ini kerana saya selalu berkata kepada diri sendiri bahawa saya masuk ke dunia tulis menulis ini tanpa sebarang pamrih.

Maksudnya, saya tidak harapkan apa-apa yang bukan hak atau yang patut menjadi milik saya kalau memang sudah ditakdirkan Tuhan bukan untuk saya. Saya juga bersedia menjadi air yang boleh mengalir ke mana sahaja dan kalau sekali waktu boleh juga berubah menjadi badai atau banjir.

Mei 7, 2009

9 ulasan:

.: S.A.Y.A :. berkata...

Salam Pak Marsli...
Terima kasih untuk catatan ini... (^^,)
Boleh ana guna pakai sebagai pedoman untuk ana terus menulis... =)
Sedikit suntikan semangat di sini... (^^,)

maharam berkata...

Sdr, Marsli,
Saya cukup tidak mengerti mengapa penulis mengalami masalah "tiada apa yang hendak ditulis" kerana bagi saya "terlalu banyak yang nak ditulis" padahal diri saya hanya seorang. Akhirnya, semua yang ditulis itu tidak siap...itu masalahnya lagi besar, bukan?

apa pendapat sdr?

Lily Abdullah berkata...

Salam.

Saya ingin merakamkan jutaan terima kasih untuk entri ini.

MARSLI N.O berkata...

Salam Untuk Misraini: Menulislah terus asal sahaja tetap sesuatu yang baik dan bermanfaat.

Salam Untuk Sdr Maharam: Saya kira tidak siap itu lebih baik dari langsung tidak menulis. Kerana yang tidak siap nantinya akan kita siapkan juga. Saya kira begitulah.

Salam Kembali Untuk Waterlily: Yang penting Sdr tanamkan rasa yakin kepada diri. Kita kan hanya menulis sesuatu yang datang dari hati kita sendiri. Tidak perlu gusarkan soal yang lain asalkan kita berlaku jujur.

Rahimin Idris berkata...

salam bang,

bagaimana kalau kita tulis puisi atau cerpen, kemudian kita rasa menyampah dan malu nak bagi khalayak baca apa yang kita tulis?

MARSLI N.O berkata...

Salam kembali Sdr Rahimin: Kalau rasa malu, jangan didedahkan. Takut nanti binasa juga sendiri diri. Kerana menulis itu juga tidak lain membuka diri sendiri.

Marsli N.O

D'Rimba berkata...

Entahla sayapun masih kurang pasti hala tuju saya dalam alam penulisan maya....Sudilah kiranya saudara pejuang bahasa menitipkan pandangan buat saya mengenai titipan saya di blog....

MARSLI N.O berkata...

Sdr D'Rimba: Mungkin Sdr perlu memberikan fokus untuk satu genre dahulu agar benar-benar mantap. Kemudian baru berpindah ke yang lain. Namun ini hanya saran, yang tidak semestinya Sdr akuri.

edolah berkata...

Benar sekali apabila kita menulis tanpa disedari dikit berdikit kita menyelak helaian diri... tapi kita akan berkatarsis kerana enulis juga sebenarnya boleh menjadi terapi minda. apatah lagi kalau yang ditulis itu siap menjadi sebuah puisi langsung diterjemahkan di atas pentas deklamasi. Teringat ungkapan pak rendra : perjuangan adalah pelaksanaan kata-kata.