PERNAHKAH ketika mengunjungi sebuah kedai buku, kesan pertama yang menyentuh perasaan adalah betapa kusam dan suram suasana di dalamnya?
Tetapi, begitu deretan atau longgokan buku di dalam kedai tersebut didekati, dibelek dan meski secara kilasan namun agak teliti dibaca, hampir sebahagiannya, timbul pula kesan lain betapa buku-buku di situ tidaklah sesuram dan sekusam suasana di dalam kedai. Malah, diri berasa menemukan banyak mutiara dari deretan atau longgokan buku di dalam kedai yang terkesan suram dan kusam itu.
Atau katakan pada waktu lain, sebuah kedai buku di sebuah mall di tengah kota dijengah, begitu meneliti atau menjengah hampir sebahagian buku di dalamnya, diri berasa kecewa dan tertipu bila mendapati betapa banyak buku di dalam kedai yang indah dan kelihatan rapi itu hanya menawarkan kisah-kisah cinta, buku-buku bergambar dan komik, bahan bacaan untuk remaja dan anak-anak yang berserabut dengan slanga dan campur-aduk bahasa, yang dihalalkan penerbitannya atas alasan memenuhi kehendak pembaca kosmopolitan dan kalau tidak pun sampai dilabelkan sebagai idea kitar semula, buku-buku adaptasi dari idea-idea asal oleh orang lain.
Sengaja soalan ini diaju kepada diri kerana sebagai pembaca, pembeli dan penziarah kedai buku yang kalau pun tidak terlalu rajin, tetapi kerap, kita selalunya lebih tertarik dan cenderung menilai bahawa begitu melihat sebuah kedai buku yang rapi, indah dan tertata kita langsung menyangka demikian juga kandungan atau jenis buku yang dijual di dalamnya.
Dalam kata lain, kita selalunya lebih awal menumpukan minat serta perhatian terhadap hanya apa yang kelihatan di luar dan bukan sangat memikirkan apa yang terkandung di dalam buku yang dipajang, misalnya, bagaimana dengan bahasanya, bagaimana nilai moral dan mutu pemikiran yang terkandung di dalamnya.
Lantaran itu, kita sering mempunyai anggapan yang agak sedikit keliru bila mudah beranggapan bahawa di dalam kedai buku yang cantik dan tertata indah, selalunya, buku-buku yang dijual di dalamnya juga indah dan bermutu isi dan kandungannya.
Sedangkan, hakikatnya ini tidak selalu benar dan malah ini adalah tanggapan yang keliru.
Saya mencatatkan ini kerana Sabtu minggu yang lalu saya berkunjung ke sebuah kedai buku di bandar yang tidak sebok di sebuah negeri di Pantai Timur. Mengunjungi sebuah kedai buku yang sebelum ini telah beberapa kali saya kunjungi dan saya tahu di dalamnya banyak buku-buku yang tidak lagi dapat ditemui di kedai-kedai besar lain atas alasan sudah kehabisan stock, namun masih dapat ditemui dan dibeli di kedai ini.
Sekali imbas, kedai buku ini agak berhabuk, kusam dan agak sunyi. Namun bila berjam-jam masa dihabiskan untuk mencari sesuatu yang tidak dimiliki di dalam perpustakaan peribadi, banyak ditemui buku-buku lain yang walaupun dari kulit luarnya kelihatan agak malap, namun tidak dengan isi kandungannya.
Saya tanpa selindung langsung berkata kepada pemiliknya yang sudah agak berusia betapa buku-buku di dalam kedai miliknya itu bagus dan bermutu. Alangkah bagusnya kalau di susun sedikit lebih rapi dan kedai ini sedikit dipercantikkan. Begitu saya menambah lanjut.
Tidak pasti apakah kata-kata saya itu dapat diterimanya dan tentu sahaja tanpa rasa tersinggung. Saya harap begitulah dan bila kembali mengingati apa keluhnya di hadapan saya beberapa bulan yang lalu sebelum ini, saya malah sangat mengerti jika dia lebih rela kedai bukunya seolah-olah lebih selesa dengan imej yang sedemikian: kusam dan dan agak muram.
Seakan terngiang kembali keluh pemilik kedai buku ini di telinga saya. Keluhnya, kalau dahulu perniagaan bukunya dihidupkan dengan jualan buku teks, namun kini “kehidupan” itu telah dirampas oleh pemilik konsesi dan ini menjadikan peniaga buku yang patuh dan setia sepertinya berasa sangat terhimpit.
Memang berniaga buku bukanlah perniagaan yang indah. Apa lagi sebagai pengedar buku-buku yang sebelum ini lebih banyak bergantung harap dari jualan buku-buku teks dan kini perniagaan itu pun sudah dirampas dari mereka.
Jauh di dalam hati, ketika hari kian merangkak ke petang dan perlahan memandu kenderaan meninggalkan kedai buku ini, saya berbisik kepada diri: berapa lama lagikah kedai buku ini akan mampu bertahan.
Walau mungkin agak kurang tepat atau adil, saya selalunya suka menghubungkaitkan kewujudan kedai buku dan perpustakaan sebagai petunjuk daya dan minat membaca masyarakat di sesuatu tempat. Kuantan atau Seremban atau Kuala Lumpur misalnya.
Tetapi di kota yang tidak sebok ini, walau mungkin ini hanya andaian yang agak kurang tepat, rasa saya buku bukanlah tumpuan utama dan ini lumrah. Di mana-mana pun, khususnya di kota yang tidak sebok begini, perut dan keperluan lain dianggap lebih perlu. Malah di pihak berwajib, pihak berkuasa tempatan misalnya, membina sebuah perpustakaan untuk komuniti juga mungkin dirasakan tidak perlu atau penyebab yang menghabiskan peruntukan kewangan yang memang pun selalu tidak mencukupi.
Memang pun tidak ada salahnya jika tidak membaca dan membeli buku. Malah jika membaca sekalipun belum pasti boleh menjadi manusia yang berguna dan bererti.
Tetapi dari membiarkan hidup hanya dimabukkan dengan tv, dvd, atau menimbunkan ruang rumah dengan sofa terbaru, perabot jati dan memperbaharui aksesori kereta, apa salahnya sesekali buku juga dibeli.
Saya agak beremosi sebenarnya. Kenapa tidak. Di bandar yang tidak begitu sebok ini, agak jauh ke pinggir, hanya itulah satu-satunya sebuah kedai buku milik Melayu. Sementara nun di hadapan, di kawasan bandar yang baru dibangun serta dimajukan, telah berdiri kedai buku indah dan rapi, yang tidak sahaja menjual buku dan majalah, juga menjual segala peralatan tulis, pejabat dan sukan.
Dan tentu sahaja, pemiliknya adalah orang yang lain.
Februari 8, 2009
2 ulasan:
Sdr. Marsli,
nanti kalau saya ke Balok atau Pantai Batu Hitam, tolong bawa saya ke kedai itu. Rasanya sdr. dah ceritakan dulu pada saya di mana tempatnya, tak gitu?
Salam Sdr Ridzuan: Baiknya menjadi rahsia sahaja dahulu.
Catat Ulasan