Dengan cara beginilah saya tidak berasa apa-apa yang sangat keterlaluan jika tidak berjaya mendapatkan sesuatu, terutamanya kalau sesuatu itu membabitkan pula pihak yang lain.
Sekiranya berjaya saya bersyukur dan dengan cara begini juga, saya mengajar diri agar tahu diri dan tidak perlu terlalu berharap. Saya tahu di mana saya mesti berdiri dan kerana itu hanya inginkan sesuatu yang memang menjadi hak saya sahaja dan kalau hak itupun telah ditentukan memang bukan untuk saya oleh Tuhan yang lebih berkuasa, saya pasrah dan pamrih sahaja.
Ketika menulis dan berkarya pun demikian jugalah perasaan dan niat saya. Begitu berasa telah selesai saya tulis dan dikirimkan ke mana-mana penerbitan, walau ada harapan di dalam perasaan agar ianya disiarkan, namun harapan itu saya biarkan menjadi harapan yang tidak terlalu menggunung, agar dengan begitu, sekiranya karya saya tidak dapat atau tidak disiarkan, saya tidak akan berasa terlalu kecewa.
Maksudnya, dalam berkarya atau menulis, saya sudah sejak lama belajar dan bersedia menghadapi saat karyanya ditolak atau tidak disiarkan, tanpa perlu berasa apa-apa perasaan negatif yang sampai boleh merosakkan diri saya sendiri.
Kerana sudah sejak lama bersedia ini jugalah maka saya tidaklah berasa terkilan atau tersentuh hati sangat bila pada suatu Sabtu yang lalu saya menerima email dari seorang yang bertugas di sebuah penerbitan.
Kandungan email itu secara jelas dan berterus terang memaklumkan bahawa sebuah karya yang saya kirimkan ke penerbitan berkenaan, yang sudah dimasukkan ke dalam senarai karya untuk disiarkan di hari esoknya, terpaksa ditarik keluar kerana perintah pihak yang lebih berkuasa dari dirinya.
Walaupun tidak diberitahu di dalam email itu sebab dan kenapa, tetapi rasanya saya dapat mengagak kenapa dan mengapa datangnya perintah itu. Tentu sahaja dan apa lagi kalau bukan alasannya adalah yang berkait dengan soal sensitif dan tidak mahu menggelisahkan pihak yang lebih berada di atas, iaitu pihak yang dibayang-bayangkan sebagai penaung dan pemerhati sesebuah penerbitan.
Bagi saya, kalau pun tidak di semua segi dan bidang, rasanya saya dapat faham dan memaklumi tugas dan tanggungjawab seorang yang menangani karya di penerbitan. Tentu sahaja di samping soal mutu, masih banyak lagi soal lain yang perlu diambil kira atau diperhitungkan.
Lebih-lebih lagi kalau sesuatu penerbitan itu berada dalam keadaan perlu sentiasa tunduk kepada arah dan perintah siapa yang menguasai kerusi, dan kerana itu juga perlu menyenandungkan kata dan suara hanya yang ingin didengar oleh yang berkuasa.
Pasti sahajalah segala apa pun yang hendak disiarkan, oleh pihak atau kuasa yang lebih besar dalam menentukan bentuk dan nada karya yang hendak disiarkan di dalam sesebuah penerbitan, hendaklah sentiasa dan perlu memperhitungkan ini. Atau dalam maksud lain hendaklah sentiasa menyenandungkan hanya kata dan nada yang merdu, sedap, seronok dan selesa didengar serta dibaca oleh pihak yang menguasai kerusi.
Jadinya, penentu selesa atau tidak, selamat atau tidak selamat, sensitif atau tidak, sesuatu yang hendak disiarkan, ditentukan oleh instict pihak yang yang lebih berkuasa di dalam sesebuah penerbitan. Pihak yang lebih berkuasa inilah yang sebenarnya terlebih dahulu menjadi penapis atau melakukan sensornya sendiri, sebelum benar-benar disensor oleh pihak yang menguasai kerusi.
Walau pun kadang-kala belum benar-benar pasti bahawa sesuatu apa yang dianggap sebagai akan menggelisahkan pihak yang berada di atas itu benar-benar demikian kesudahannya, namun selalunya di pihak yang berkuasa di penerbitan, inilah yang selalunya dimercukan.
Segala apa yang hendak disiarkan mestilah sesuatu yang tidak sensitif dan tidak sampai boleh menimbulkan kegelisahan. Kerana itu jugalah banyak perkara dan isu, tatkala ditafsirkan boleh mendekati definisi ini, akan segera dibungkamkan oleh pihak yang menangani sesuatu penerbitan.
Dengan cara beginilah, segala yang dihidangkan di dalam sesebuah penerbitan hanyalah perkara dan isu yang pada permukaannya kelihatan indah-indah, selesa dan yang diperkirakan atau dikononkan, dapat memberikan gambaran aman dan tenteram belaka.
Kerana itu jugalah tidak hanya sesuatu yang lebih langsung dan berterus terang seperti berita dan rencana yang perlu memberikan gambaran yang sedemikian, karya lain yang lebih berseni dan berselindung seperti sajak mahupun cerpen juga hendaklah sesuatu yang kandungan serta nadanya tidaklah boleh sampai ditafsirkan sesuatu yang sensitif dan akan menggelisahkan.
Walhal, apalah sangat makna dan ertinya sebuah sajak atau cerpen yang hanya sekadar salah satu alat dan cara bagi sebahagian rakyat marhaen menyatakan perasaan serta resah dan gelisah mereka kepada yang berada di atas.
Tetapi di hati, di mata dan perasaan mereka yang lebih berkuasa di sesebuah penerbitan, segala resah, gelisah dan ratap yang disampaikan secara berseni dan berselindung oleh kalangan marhaen ini, seringnya dianggap pengacau, pengganggu yang boleh menggugat keharmonian dan malah boleh mengancam kedudukannya jika karya berkenaan disiarkan.
Ketika inilah, segala kegelisahan, rungut, bantah dan sanggahan dari pihak yang berasa dirinya sudah sejak lama tertekan dan tidak diberikan peluang bersuara, dibungkam dan disorokkan dari pengetahuan pihak yang menguasai kerusi.
Sehinggakan dengan demikian, segala gambaran yang diberi atau dipaparkan kepada pihak yang menguasai kerusi hanyalah sesuatu yang palsu, sesuatu yang secara dengan sengaja diperindah serta diperelokkan.
Lalu tidak mustahillah jika gambaran atau hakikat sebenar yang diketahui atau sampai ke pengetahuan pihak yang menguasai kerusi, pihak yang sepatutnya lebih banyak mendengar suara, keluh dan resah rakyat marhaen, sebagai bukti keprihatinannya terhadap mereka, adalah sesuatu yang juga palsu.
Berdasarkan maklumat dan gambaran palsu ini jugalah pihak yang menguasai kerusi membuat perancangan dan mengatur strategi. Sehingga akhirnya, bila tiba kepada hari penentuan itu, lantaran telah menerima maklumat yang tidak benar dan palsu, segala janji dan harapan yang diberikan kepada rakyat terbanyak, tidak lain dan tidak bukan janji dan harapan pada pendengaran rakyat terbanyak, yang selama ini diredamkan segala keluh, resah dan gelisah mereka oleh kalangan yang berasakan dirinya amat berkuasa di media atau penerbitan tertentu, juga adalah janji dan harapan yang sangat tidak boleh mereka percayai.
Kerana berasa bosan dan jemu mendengar harapan serta janji palsu itu jugalah, maka rakyat yang selama ini hanya tahu bersuara, berkeluh dan berkesah, menyatakan resah dan gelisahnya secara senyap dan diam, menolak dan mula mengalihkan arah kepercayaannya kepada pihak yang lain.
Bagi rakyat, yang mereka harapkan bukanlah emas dan permata, atau memberikan mereka sesuatu secara percuma. Sebaliknya, yang mereka inginkan adalah agar suara mereka didengar, diperhatikan dan diambil tindakan yang sewajarnya oleh sesiapa sahaja pihak yang menguasai kerusi. Tentu sahajalah, jika itu tidak mampu dipenuhi oleh sesiapa sahaja pihak yang menguasai kerusi, pastilah mereka akan menjadi kecewa dan membuat pilihan yang lain.
Sekali lagi ditegaskan, apalah sangat ertinya sebuah sajak, sebuah cerpen, atau sebuah novel. Ianya tidak lain hanyalah sebuah karya dan coretan dari otak dan fikiran manusia yang memang kuat berimaginasi. Tetapi, kerana yang menulis sajak, cerpen atau novel itu bergelumang hidup sesama jelata, tentulah apa yang mereka tulis atau imaginasikan itu adalah sesuatu yang memang pun mereka dengar dan telah hayati terlebih dahulu bersama jelata.
Itulah yang terjadi. Ketika sebuah sajak, cerpen atau sebuah novel, yang memang pun sebuah karya imaginatif, yang tidak pun mempunyai kekuatan apa-apa, konon atas alasan tidak mahu menggelisahan mana-mana pihak, telah cuba dibungkam dan tidak dibenarkan terbit di sesebuah penerbitan, pada waktu sama, semakinlah membara dan bergegolak resah dan gelisah marhaen secara diam dan terpendam.
Tentulah yang bersalah bukanlah sesiapa yang bertugas dan berasa dirinya berkuasa menentukan sesuainya tidak sesebuah karya kreatif disiarkan di mana-mana penerbitan.
Segalanya berpunca dari kalangan yang menguasai kerusi juga. Silapnya, mereka tidak sudi mendengar dan kalau mendengar sekalipun, mereka hanya mendengar apa yang hanya ingin mereka dengar sahaja. Selebih dari itu dianggap pengganggu dan penyebok belaka.
Tetapi di pihak diri saya, disiarkan atau tidak, direstui atau tidak, diminati atau tidak, saya akan tetap juga akan menulis dengan cara dan gaya yang sudah saya pilih, yang mungkin juga boleh berubah mengikut kesesuaian waktu.
Saya tidak fikir halangan dan sensor apa pun akan mampu menghalang hasrat dan kehendak saya untuk menulis.
Apa lagi untuk bersedih sehinggakan meratap dan berguling-guling di atas tanah kerana sebuah cerpen atau sajaknya tidak disiarkan.
April 27, 2009
Tiada ulasan:
Catat Ulasan