Jumaat, Mei 22, 2009

SAYA, GURU, MURID DAN KETERBUKAAN

16 MEI dirayakan sebagai Hari Guru. Walau tidak merayakannya secara khusus semata-mata kerana tanggal ini, namun seorang atau beberapa guru, nama dan ingatan saya tetap terpahat kepadanya.

Tentu sahaja gurulah yang telah mengajar saya tulis dan baca, kecerdikan dan lain-lain perkara yang perlu sebagai seorang murid. Tanpa seorang guru, walau siapa pun dia, mustahil saya mengenal huruf, kata, angka dan ilmu. Kerana itu jugalah, walau siapa pun dia, saya meletakkan sanjung dan hormat yang tinggi terhadap guru.

Tetapi guru jugalah yang sekaligus meninggalkan saya beberapa ingatan pedih dan luka, yang sehingga kini sulit terpadam di dalam ingatan. Mungkin ini semacam suatu dendam atau kemarahan yang sejak lama terpendam namun sampai kini pun tidak dapat saya redamkan.

Barangkali saya sangat tidak berlaku adil kepada mereka. Hanya kerana satu atau dua peristiwa, saya seperti mendendami mereka. Namun kerana rasa dendam dan marah itulah saya tidak hentinya melawan dan terus melawan, agar rasa marah dan dendam itu tidak sampai melarat menjadi api yang akan diam-diam membakar diri saya sendiri, sehinggakan rasa hormat saya kepada guru menjadi luntur.

Terus-terang secara peribadi, saya berasa sulit melupakan peristiwa dan dua guru ini kerana peristiwa dan guru inilah yang membuatkan saya berasa sedih, terhina dan malu.

Mungkin juga ketika melakukan itu tiada sebarang niat di hati mereka untuk memperkecil dan membuatkan saya berasa malu kepada kawan-kawan. Tetapi sebagai manusia biasa, sehingga ke hari ini kesan itu masih terasa di hati saya dan saya selalu bertanya sendiri kenapakah seorang guru sanggup meluahkan kata-kata itu dan seorang yang lain pula, kenapa langsung tidak mahu memberi saya peluang memperjelaskan keadaan atau sekejap mendengar luahan hati saya sebelum dengan sombongnya menghukum.

Segalanya bagaikan baru semalam terjadi. Jelas di mata dan di telinga saya kata cemohan seorang yang bernama guru. Ketika itu, saya di bangku sekolah rendah dan sedang didatangi minat yang amat sangat hendak menjadi penulis. Namun tiada siapa yang dapat saya minta nasihat dan pandangan. Jadi tempat meluahkan minat dan kehendak hanyalah di dalam buku tulis yang belum digunakan. Ketika waktu luang di dalam kelas dan sebelum hadir guru, menulislah saya sehingga penuh sebuah buku dan dilanjutkan dengan buku tulis yang lain dan yang lain.

Tetapi sindiran guru itu sungguh mengejutkan saya. Maksud sindirannya antara lain ialah betapa saya yang masih berhingus (lengkap dengan penggayaan oleh si guru ketika menyebutkan kata berhingus itu) dan belum sepenuhnya pandai mengeja dan berbahasa sudah berangan-angan hendak menjadi penulis. Saya agak guru ini perasan kerana beliau sering melirik buku cerita yang telah siap saya tulis dan saya lukiskan ilustrasi serta judul di kulit luarnya yang saya letakkan di atas meja.

Terus terang, sehingga ke hari ini, kalau kembali mengenangkan sindiran guru itu, hati saya berasa bergelora dan terbakar. Walau pun kini saya sudah pun menulis dan sudah menerbitkan beberapa karya, rasa jengkel dan terkilan saya terhadap guru itu masih belum mereda.

Walau mungkin saya terlalu mengharapkan sesuatu yang memang tidak mungkin dari guru itu, tetapi saya selalu bertanya kepada diri sendiri, kalau benar saya tidak pandai mengeja kenapa guru itu tidak bersungguh mengajar saya supaya pandai. Sayangnya, guru yang hanya setahun menjadi guru kelas saya ini, hanya mencemoh dan tidak membimbing.

Saya juga berasa kecewa dan sebal terhadap seorang guru yang lain, guru yang mengajar subjek agama sebenarnya, kerana telah mendenda saya berdiri di luar kelas di sepanjang waktu pengajarannya, semata-mata kerana saya tidak membawa buku teks agama ke sekolah dan langsung tidak mahu mendengar sebab dan kenapa saya tidak membawa buku trsebut.

Saya tidak berasa kesal dan sebal terhadap guru ini kalau dia sudi mendengar apa yang ingin saya beritahu betapa semalam, saya yang bersekolah di sesi petang, terpaksa menumpang tidur di rumah seorang penduduk berhampiran sekolah lantaran tayar basikal saya bocor ketika pulang dan tiada kedai membaiki basikal berhampiran.

Tetapi sikapnya yang begitu sombong terus menghalau dan menyuruh saya berdiri di luar kelas, sungguh membuat saya berasa kesal, sebal dan sedih.

Memang pun saya selalu berasa hormat dan selalu berterima kasih kepada sesiapa sahaja yang pernah menjadi guru saya. Namun saya juga tidak mahu berbohong dan mengatakan dari semua guru saya, tiada seorang pun yang pernah membuatkan hati saya berasa luka.

Di antara mereka, dua orang guru inilah. Namun hormat saya kepada mereka sebagai seorang guru yang pernah mengajar saya, tetap tidak pudar dan luntur.

Kerana pernah berasa diperkecil dan diremehkan oleh guru ini jugalah saya selalunya cuba bersikap lebih terbuka dengan anak-anak, terutama apabila mereka kian membesar dan menjadi remaja.

Anak-anak saya beri peluang berhujah dan kembali bertanya setiap segala sesuatu dan hujah mereka akan saya terima jika ada logiknya dan benar-benar dapat meyakinkan saya. Tentu sahaja ini kadang-kadang melibatkan perbincangan yang agak panjang atau menjadi perdebatan yang agak seru.

Namun saya agak terperanggah bila di suatu petang, isteri saya yang pada sebelah paginya ke sekolah kerana dipanggil guru sekolah menengah seorang anak saya memberitahu guru itu menyatakan sulit berbincang dengan saya dan saya sendiri seolah selalu ingin memenangkan anak sendiri.

Baru saya teringat. Dengan guru itu, ketika satu kali bertemu dengannya di kamar guru dan dia memberitahu anak saya suka melwan cakap, saya memberitahu dia betapa di dalam keluarga saya perbincangan dan saling bertukar hujah itu adalah normal. Anak-anak diberi peluang berhujah dan jika benar dan meyakinkan, hujahnya akan diterima.

Rupa-rupanya guru ini tidak boleh menerima cara sebegini. Sebagai guru dia hanya mahukan anak saya menerima segala kata dan suruhannya tanpa perlu kembali menyoal. Dan ini bagi saya kurang wajar.

Seorang murid, bagi saya, wajar diajar cara berhujah dan berfikir yang betul. Bukan hanya mengarah dan meniatkan mereka menjadi robot. Murid, terutamanya bangsa Melayu, wajar diajar berhujah dan berfikir kritis secara betul. Agar dengan begitu, mereka tidak hanya menjadi penurut buta.

Saya tidak ingin mengatakan guru itu tidak betul dan saya yang benar. Mungkin guru itu hanya meneruskan apa yang sudah mentradisi di dalam sistem yang sedia ada: murid mesti mengakuri segalanya kata guru, guru mematuhi segala perintah guru lebih besar, guru lebih besar mesti mematuhi segala suruhan jabatan dan ketua jabatan pula mesti patuhi, akur dan tunduk terhadap segala perintah yang datang dari mulut seorang menteri.

Lalu akhirnya? Jangan salahkan kalau kita melahirkan siswa dan siswi yang sedemikian rupa.

Kecuali memang sejak mula memang itulah yang ingin kita lahirkan. Tujuannya, tentu sahajalah agar kita nantinya senang mengurusi robot-robot bernyawa mengikut kehendak dan dikawal otak serta pemikirannya untuk kepentingan kerusi dan kuasa.

Sekali lagi, walau dua guru ini membuatkan dendam dan marah saya sehingga kini tetap bergelora, tetapi saya tidak membenci mana-mana guru.

Sekali lagi, tanpa guru, siapalah saya.

Mei 16, 2009

2 ulasan:

Melihat Kesunyataan berkata...

Marsli,
Saya juga seorang guru. Banyak pengalaman dengan anak murid. Apa yang saya ingin kongsikan kali ini ialah tentang pengalaman saya dengan guru anak saya. Suatu hari anak saya telefon dari sekolah (Sekolah asrama) menyatakan dia kena tempeleng. Tentulah awak salah! respon saya. Tak, katanya lalu dia pun bercerita tentang duduk perkara. Memang anak saya tidak bersalah. Itu, setelah mendengar dari pihaknya. Belum lagi dari pihak sekolah.
Saya tanya dia balik. Sakit tak? Katanya tak sakit, tapi rasa malu kerana ramai pelajar perempuan tengok.
Memang cikgu yang menamparnya itu salah faham. Tapi saya berfikir panjang. Tentu ada sebab lain yang menyebabkan guru itu marah. Jadi saya diamkan sahaja.
Memang benarlah, tak lama kemudian anak saya menelefon kembali menyatakan bahawa cikgunya telah menyesal kerana bertindak tanpa usul periksa. Sejak hari itu cikgu itu cukup baik dengan anak saya. Malah tumpuan terhadap pelajaran pun lebih kepada anak saya.
Mujurlah saya tidak bertindak terburu-buru.

MARSLI N.O berkata...

Salam Sdr MK: Terima kasih atas reaksi. Walau apa pun, meski di dalam hati terluka dan sesal, saya tetap menghormati siapa sahaja yang pernah menjadi guru saya. Terutama juga dua guru yang itu. Namun saya sulit untuk berbohong dengan mengaku kononnya tidak pernah secuil pun menyimpan rasa sesal dan dendam terhadap sebahagian mereka. Untuk itulah, saya perlu meminta maaf, kalau sebagai guru, Sdr tersentuh jua lantaran pengakuan saya itu. Sekali lagi, maaf, saya tidak pandai berbohong.

Marsli N.O