Sabtu, November 07, 2009

KALAU BUKAN, APA LAGI?

KATAKAN semalam saya merintih sendiri kenangkan sesuatu yang sedih dan menghimpit perasaan. Katakanlah juga itu lantaran kenangkan diri yang tidak sudah dan henti dihenyak gunjing dan duga perbuatan makhluk lain yang sama bernama manusia namun di hatinya penuh hasad dan iri.

Tetapi Tuhan maha adil dan saksama. Saya diberikan ganjar lain juga.

Pada waktu sama, saya tahu dan sedar, saya masih punya sejumlah sahabat yang tetap sedia untuk membantu dan menolong, dengan pelbagai cara sama ada langsung mahupun tidak.

Misalkan, tanpa saya duga, seorang sahabat yang lama tidak bercakap di telefon, tiba-tiba muncul dan mengabarkan betapa dia tidak ingin ke mari untuk suatu acara dan meminta saya meneruskan bagi pihak dirinya.

Seorang teman yang lain pula, bersungguh menganjurkan suatu acara di daerahnya walau sebelum ini saya tidak pernah menyebut atau berbicara mengenainya ketika bersua dalam banyak percakapan kami sebelum ini.

Atau seorang teman di sebuah penerbitan yang lain. Selalu dan sudi mendengar, sehinggakan begitu, sering saya digunjing oleh makhluk yang kurang senang hati dan perasaanya melihat betapa akrabnya kami, kononnya sering merayu dan membentak-bentak meminta karyanya disiarkan orang.

Atau paling tidak pun, seorang yang tiba-tiba kembali menjelma ke dalam ingatan dengan pesan ringkasnya lewat angin, selepas sekian tahun menghilang.

Memang pun saya tidak terlalu sangat tersentuh oleh semua gunjing yang didengar sendiri atau yang disampaikan oleh angin.

Atau ketika tercenung sendiri memikirkan baki wang di tangan semakin menipis, Tuhan mendatangkan saya rezeki yang lain, yang sungguh tidak saya duga.

Ajakan berceramah, kiriman cek untuk sajak dan cerpen yang beberapa bulan dulu disiar, atau paling tidak ilham untuk menyemak baki simpanan di bank.

Memang di satu bahagian saya digunjing dan ditolak. Tetapi di bahagian lain ternyata tidak. Bagi pencari palsu, saya memang selalu dibenci dan dihindari kerana saya tidak pernah ingin bermain dengan sastera dan seni atau berkompromi untuk memberinya makna lain yang palsu dan bejat.

Biar apa pun, saya tetap tidak mahu berganjak dengan yakin yang sejak mula dan tidak mahu tunduk mengalah hanya kerana bertegas dengan prinsip, yang saya yakini sebagai benar.

Saya memang tidak akan berkompromi dengan pencuri dan pelacur yang berlagak atas nama seni, seniman atau sasterawan. Apa lagi untuk menjadi sebahagian mereka yang semakin menyunglap dirinya menjadi badut sarkas di pentas yang disediakan indah oleh tangan-tangan politik.

Biarlah apa dan bagaimana, saya tetap ingin begini juga. Tidak terlalu kaya dan yang penting, tidak perlu memijak kepala orang lain untuk naik menanjak dan berpura menjadi wali di depan orang yang tidak tahu dan mengerti.

Saya juga tidak ingin berlagak pandai dan menjadi bijak kerana di hujung namanya tecatat secalit gelar, meski pada hakikat hanya peniru, pencuri yang lahap dan menghina orang lain tanpa sebab.

Saya tidak ingin bertanding dengan mereka kerana saya tahu dunia saya bukanlah di sana.

Kerana itulah saya memilih sendiri dan mengambil sikap tidak peduli. Dunia saya adalah sunyi yang selalu sendiri dan saya tidak pernah ingin membenci dunia yang saya pilih ini walau apa pun.

Saya tahu dan mengerti di mana saya mesti berdiri.

Dan apa lagi kalau saya tidak berterima kasih kepada Tuhan yang selalu memberi. Juga buat sejumlah nama, sahabat dan kekasih. Anda memang manusia baik dan berbudi.

Tetapi, kalau saya tidak menyebutkan anda secara terbuka, janganlah terkilan atau terasa.

Saya harap anda faham dan mengerti kenapa.

November 7, 2009

Tiada ulasan: