SEBUAH cerpen adalah sebuah dunia baru yang dibangunkan dari himpunan realiti yang dibaur dan dicernakan di dalam imaginasi pengarangnya. Realiti yang dihimpunkan adalah realiti yang sehari-hari dilewati pengarang dengan segala deria, indera dan pengahayatannya.
Dengan deria dan inderanya, pengarang tidak hanya melihat, mendengar apa yang terpapar di permukaan tetapi juga apa yang tersirat di bawah kenyataan. Dengan deria dan inderanya, pengarang cuba mengesani raung dan tangis, suka dan ria, gelisah dan resah, rindu dan cinta yang mungkin tidak mudah diucapkan manusia yang bukan pengarang kerana rasa malu, ketakutan dan ketiadaan rasa percaya dirinya sendiri.
Apa yang telah dicernakan pengarang di dalam imaginasinya adalah inti dari suatu realiti dan ketika dibangunkan kembali menjadi sebuah cerpen, ianya telah bertukar menjadi suatu refleksi yang hanya memaparkan cebisan dan imbasan yang dianggap penting serta mampu menjadi bayangan bagi sebuah dunia baru dan lain.
Realiti hanyalah titik tolak tetapi bukan keseluruhan. Kerana itulah, pengarang yang menyalin sepenuhnya realiti sebagai bahan cerpennya adalah pengarang yang kering daya kreatif dan kreativiti. Tugasnya hanyalah sebagai mesin yang menyalin secara patuh.
Cara memandang sesuatu realiti menjadi titik tolak karya dan sikap kreatif pengarang ketika berhadapan dengan realiti juga menentukan bentuk dan cara sebuah cerpen dipersembahkan kepada khalayak.
Pengarang yang memandang realiti sebagai sumber asli yang tidak boleh sama sekali dipertikaikan hakikatnya dan juga hanya melihat makna dan erti yang terpapar di permukaan, pastilah menerima realiti secara apa adanya.
Ini berlainan dengan pengarang yang menerima realiti hanya sebagai asas tetapi bukan sebagai suatu ikatan yang memaksanya menjadi manusia yang seratus mesti menaruh kepercayaan terhadap apa yang terpapar di hadapan penglihatan secara permukaannya.
Di mata pengarang golongan ini, realiti akan diobrak dan diabrik untuk menyelongkar makna dan erti lain yang mungkin tersembunyi di sebalik atau di bawah permukaan yang kelihatan pada mata kasar.
Realiti bukanlah sesuatu yang mesti dipercayainya seratus peratus. Realiti yang sedia ada tidak mustahil juga merupakan suatu manipulasi, suatu sulapan.
Kerana itu realti yang sedia ada perlu diselongkar demi untuk menemukan makna-makna lain dan baru.
Penemuan erti dan makna yang lebih baru ini akan pula menzahirkan suatu bentuk realiti yang baru dan polisemi, bermakna ganda, sifatnya.
Dengan begini juga, cerpen sekaligus boleh berupa satu genre yang berbaur dengan genre lain seperti puisi, drama, esei atau fotografi. Ini bererti sebuah cerpen perlu dan bersedia untuk berubah, melakukan pelanggaran dan sekaligus penerokaan terhadap bentuk dan genrenya.
Untuk melakukan penerokaan dan pelanggaran, sekaligus juga berusaha menampilkan sisi lain dari sebuah cerpen, pastilah seorang pengarang memerlukan kekuatan dan keberanian di dalam jiwa kreatifnya.
Namun dari sisi yang lain, sebelum mampu untuk memiliki apa yang dinamai kekuatan dan keberanian di dalam berkreatif, tanpa kekuatan dan keberanian untuk menantang segala duga hidup dan dalaman jiwa pengarangnya sendiri, mana mungkin sebuah cerpen mampu dizahirkan sebagai bentuknya yang berbeza dari kebiasaan.
Melawan kemalasan di dalam diri yang selalu menggoda agar bertangguh dengan alasan seronok dan kesantaian, atau ketidakberdayaan untuk bangkit melawan segala rasa takut dan getir ketika bersunyi-sunyian menghadapi alam pengkaryaan, merupakan sebahagian duga permulaan sebagai penulis cerpen.
Belum lagi mendepani kritik dan gugah yang selalu mencabar yakin penulis yang belum punya kekuatan di dalam jiwa dan diri.
Walhal, yang mahu ditulis bukankah apa yang bergolak di dalam jiwa sendiri? Jadi kenapa takut untuk berkata benar dan tampil sebagai diri sendiri?
Bukankah? Mengharap belas puji dan puja orang lain terhadap karya yang dilahirkan dari keringat dan gelisah jiwa sendiri, sesungguhnya sesuatu yang sia-sia.
Hanya kekuatan dalaman diri yang mampu menghadapi segala duga dan kerana itu jugalah dikatakan betapa menulis cerpen itu adalah menguras semangat jiwa sendiri.
Memang jika ditinjau dari aspek bentuk luarannya, titik ukur yang menjadi batu sempadan di antara cerpen dan cerita adalah sebatas kulit bawang atau seperti menarik rambut di dalam tepong. Namun sebagai garis pandu secara umum, masih terdapat sedikit garis yang kasat mata sebagai "pemisah".
Pemisahnya, walaupun cerpen itu tidak lain adalah sebuah cerita atau bertolak dari sebuah "cerita", tetapi cerita yang dijadikan "cerpen" (tentu saja cerita + pendek) adalah cerita yang telah pun diberikan bumbu atau solekan. Tanpa bumbu atau solekan tersebut, cerita baru dalam bentuk bahan mentah sang fakta.
Jadinya, untuk mengelak sifat "bahan mentahnya" itu, sebagai sifat tambah yang baru, cerita yang dijadikan cerpen telah dipakaikan baju imaginasi, penyamaran, pelupusan, malah kadang-kala diperlebih-lebihkan pula.
Maksudnya dari kalangan pengarang yang benar-benar memahami peranannya sebagai manusia kreatif, mereka tidak mahu membawa peranan meniru atau menyalin realiti. Sebaliknya, apa yang diusahakan hanya mengemukakan sedikit biasan atau kesan dari sesuatu, hanya sedikit. Seperti menggambarkan api, apa yang dipaparkan hanyalah kesannya, yang hangus, yang terbakar, tetapi bukan (kononnya) mahu menyalin api itu sendiri.
Tentu saja sebahagian orang merasa kecewa dengan sikap pengarang yang begini. Mereka berkoar dan bertanya: Mana realitas sosial dalam cerpen-cerpen kita? Wah, hebatnya. Walhal, realitas itu sendiri merupakan kata yang sangat abstrak dan tak sepenuhnya mereka mengertikan luar dalamnya.
Apapun, pokok dan hakikatnya terserah masing-masing pengarang. Apakah mahu mengarang cerpen atau mengarang cerita. Kitakan hidup di negara demokrasi. Jadi bebas memilih. Kita tidak perlu saling mengacung tinju dan mengatakan mereka lebih suci, mulia dan terhormat ketimbang diri orang lain, semata-mata kerana sebuah cerpen.
Februari 28, 2008
Sumber siaran: Mingguan Malaysia, 8 November 2009
9 ulasan:
Salam Encik Marsli,
Saya berharap suatu hari nanti emcik akan menulis tentang perbezaan antara karya sastera dan karya panas.
Saya baru mendengar istilah tersebut dan kurang jelas maksudnya.
Atau encik boleh menjawab di ruangan ini secara ringkas.
Selamat berhujung minggu.
Salam kembali Sdri Water Lily: Anggaplah apa yang saya catat di bawah hanya sebagai saran dan bukan ajaran-ajaran yang tidak boleh dibantah.
Baiknya ketika memulai atau mahu menulis sesuatu, yang dituruti serta dipercayai adalah kata hati sendiri dan berjujur selalu dengannya.
Jadi tidak begitu penting difikir apakah itu sastera atau hanya karya picisan, atau mampukah menjadi karya hebat atau tidak.
Pokoknya menulis yang jujur berdasarkan kata hati sendiri.
Saya percaya itu dan mengamalkan itu.
Barangkali bisa Sdri contoh atau kalau dirasa tidak sesuai, bisa Sdri lupakan. Terserah.
Menulis itu yang penting dan bukan istilah-istilahnya.
Semoga sedikit membantu Sdri.
MARSLI N.O
Tuan,
Saya membaca tulisan tuan dalam akhbar MM hari ini seawal pagi, lalu sekali lagi membacanya dalam blog Tuan. Tahniah.
Salam Sdr Rusdi. Terima kasih kerana sudi membaca tulisan yang tidak sepertinya. Namun saya berasa segan bila Sdr membahasakan saya "tuan". Bolehkah kita saling menggunakan "Saudara/Sdr"? sebagai tanda kita bedua akrab dan seagama? Harap mendapat jawapan Sdr.
Sdra. Marsli,
Boleh serta lebih rapat rasanya. Saya gemar memanggil insan yang lebih dewasa dan lebih pengalaman daripada saya dengan panggilan 'tuan' sebagai tanda menghormati dan menyanjung seseorang insan itu berlandaskan pengalaman dan ilmunya. Saya rasa kekok juga untuk berubah panggilan itu tetapi saya akan membahasakan diri sebagai Saudara, tetapi sesekali saya akan juga guna 'tuan' untuk tanda penghargaan.
salam marsli, suka dgn tulisan ni, penulis kena tahu menilai fakta utk dijungkirbalikkan dlm karya, penulis kena tahu mengkreatifkan semua bukan sekadar menulis/mencatat...jadilah penulis yg pemberani bukan pnulis yg menuli, sekadar respon.
Assalamualaikum,
Setelah membaca tulisan saudara ini di akhbar, saya terpanggil untuk merombak cerpen/novel saya.
Salaam..
Cerpen sama seperti novel (dan cerita-cerita bertulis yg lain) adalah 'bercerita' dari dalam kepala watak-watak (minda penulis) & dibayangkan sendiri oleh pembaca :-)
If you look at a novel and try to define its fundamental nature, you’ll see that the dramatic action, the story line, usually takes place inside the head of the main character. We see the story line unfold through the eyes of the character, through his/her point of view. We are privy to the character’s thoughts, feelings, emotions, words, actions, memories, dreams, hopes, ambitions, opinions, and more. The character and reader go through the action together, sharing in the drama and emotion of the story. We know how they act, feel, react, and figure things out. If other characters appear and are brought into the narrative line of action, then the story embraces their point of view, but the main thrust of the story line always returns to the main character. The main character is who the story is about. In a novel, the action takes place inside the character’s head, within the mindscape of dramatic action. ~ Syd Field
what is a screenplay?
Sdr Rusdi: Terima kasih atas jawapan.
Sdr Dahirisaini: Setiap penulis bebas untuk memilih. Sebuah pendapat tdak mutlak. Terima kasih kerana sudi berbagi pendapat.
Sdr Salle Sulieman: Kalau Sdr sudah meyakini bahawa Sdr benar dan betul, tidak perlu berubah kerana sebuah tulisan yang mungkin tidak apa-apa.
Sdr Ajami Hashim: Terima kasih kerana sudi membaca. Dan terima kasih juga mengingatkan saya kembali sebuah buku yang sudah agak lama tidak disentuh dan ditelaah.
MARSLI N.O
Catat Ulasan