Rabu, November 25, 2009

KISAH-KISAH DI NEGERI ANGIN


Cerpen MARSLI N.O


1

JENAMA


PERASAN tidak ada satu jenama yang selalu menyerabutkan pandangan bila setiap kali kita berbelanja tingkap di sebuah pasar raya di kota kosmopolitan ini. Punca keserabutan itu kerana jenama yang satu ini kita lihat warnanya dan gayanya amatlah keterlaluan serlahannya.


Jika jenama yang lain cukup dengan apa adanya warna yang dilabelkan terhadapnya, jenama yang satu ini tidak. Jenama yang satu ini mengada-ada pula mencalitkan warna lain ke tubuh jenamanya.


Jika jenama yang lain patuh dan setia menurut gaya dan kedudukan yang ditetapkan terhadapnya, jenama yang satu ini tidak. Jenama yang satu ini akan memandai menukarkan gaya dan kedudukan walau sudah pun dinasihatkan supaya berpada-pada sahaja dalam setiap tindak dan gayanya.


Baru-baru ini ada kita mendengar khabar betapa jenama yang satu ini berteriak-teriak dan telah memecahkan cermin ruang pajangannya. Konon dikhabarkan betapa jenama yang satu ini tidak puas hati kerana mendakwa kurang diberikan layanan yang adil lagi saksama.


Memang jenama yang satu ini memang tidak sedarkan diri. Tidakkah sudah diberikan tempat serta ruang yang sewajarnya oleh tuan yang empunya cermin pajangan? Jadi mahukan apa lagi?


Kadang-kadang perangai dan laku jenama yang satu ini bagaikan anjing tersepit yang telah dilepaskan dari jepitannya. Lagak dan lakunya mudah berbalik untuk mengkerkah semula orang yang telah menolong bantunya selama ini.


Akhir-akhir ini rasa keserabutan kita itu kini sudah bertukar menjadi rasa mual dan menyampah pula. Jenama yang satu ini memang suka berlagak. Tetapi sayangnya, lagaknya itu tidak kena dengan waktu dan tempatnya.

Disember 6, 2007


2

KUPU-KUPU


INI sebuah lagi kisah yang sering terjadi di sebuah negeri yang kita kenal dan namainya sebagai Negeri Angin.


Kisahnya begini.


Sesiapa sahaja dari kalangan wanita cantik dan berkulit mulus lagi putih dan kuning, jika ingin atau mahu datang melancong ke negeri ini, hendaklah mereka berwaspada dan berhati-hati.


Maksudnya, begitu sahaja mereka para pelancong dari kalangan kalangan wanita cantik dan berkulit mulus lagi putih dan kuning tiba di lapangan terbang di ibu negera Negeri Aneh ini, mereka akan didatangi segerombolan lelaki segak yang menanti dengan kenderaan mewah dan menjalar. Para lelaki ini akan mendatangi mereka dengan gaya penuh santun dan berkarisma lalu mengajak dan memujuk mereka menawarkan pekerjaan.


Kerjanya senang dan tidak memenatkan. Begitulah selalunya kata pembuka sebagai pembujuk. Gaji dan perolehannya juga banyak dan lumayan. Berikutnya begitulah lagi kata pembujuk untuk memikat dan menawan.


Jika pun para pelancong dari kalangan kalangan wanita cantik dan berkulit mulus lagi putih dan kuning ini berhasil melepas dugaan yang pertama ini, ketika mereka berada di lobi-lobi hotel untuk mendaftarkan penginapan, sekali lagi mereka akan didatangi lelaki segak dengan gaya penuh santun dan berkarisma ini. Mereka akan dibujuk lagi dengan janji dan kata manis yang sama.


Kerjanya senang dan tidak memenatkan. Begitulah selalunya kata pembuka sebagai pembujuk. Gaji dan perolehannya juga banyak dan lumayan. Berikutnya begitulah lagi kata pembujuk untuk memikat dan menawan hati serta perasaan.


Malah saban waktu dan ketika berada di hotel penginapan, para pelancong dari kalangan kalangan wanita cantik dan berkulit mulus lagi putih dan kuning ini akan sentiasa di datangi lelaki segak dengan gaya penuh santun dan berkarisma ini dengan bujukan mereka. Tidak henti-hentinya.


Kerjanya senang dan tidak memenatkan. Gaji dan perolehannya juga banyak dan lumayan. Begitulah selalunya kata pembujuk untuk memikat dan menawan. Diucapkan berulang-ulang. Diucapkan berulang-ulang.


Dan jika lelaki segak dengan gaya penuh santun dan berkarisma ini tidak juga berjaya membujuk, akan datanglah pula segerombolan pembujuk dari kalangan wanita pula. Gerombolan wanita ini, bahasa dan katanya amatlah berlemah dan berlembut. Hingga mudah mencairkan hati dan perasaan siapa sahaja yang mendegar kata dan melihat wajahnya.


Ingatlah akan musibah yang akan menimpa jika bujuk dan rayu mereka kau terima, wahai sekalian para pelancong dari kalangan wanita cantik dan berkulit mulus lagi putih dan kuning, yang konon datang melancong kerana ingin melihat keindahan seloroh pelosok Negeri Angin ini.
Kenapakah kita katakan demikian?


Sebabnya, jika kau memilih dan terpengaruh dengan bujuk mereka, kau nantinya akan disihir menjadi seekor kupu-kupu. Kupu-kupu yang dibiarkan bertelanjang dan diletakkan di dalam sebuah sangkar kaca yang indah dan cantik. Dan di sayapmu, akan mereka letakkan nombor-nombor tertentu.


Dari luar sangkar kaca itu, saban malam, sejumlah lelaki akan melihat dan memilih nombor kupu-kupu yang mereka gemari. Lalu selepas itu, kau dan lelaki yang telah memilihmu itu akan masuk ke sebuah kamar dan di kamar itu, lelaki yang telah membayar sejumlah harga kepada pemilik sangkar kaca itu, akan mempermain-mainkanmu sekehendak hatinya.


Ingatlah itu kerana kejadian ini sudah tidak terperikan jumlahnya terjadi di Negeri Angin ini. Banyaklah sudah para pelancong dari kalangan wanita cantik dan berkulit mulus lagi putih dan kuning, yang konon datang melancong kerana ingin melihat keindahan seloroh pelosok Negeri Angin ini, yang telah hilang lesap tidak dapat dikesan tarikh dan waktunya keluar dari negeri ini selepas tamat tempoh visa atau pasportnya.


Alih-alih, ketika pihak pengaman keselamatan menyerbu satu demi satu rumah hiburan dan persundalan yang berceracak tumbuh, sama ada secara berlesen atau tidak berlesen di ibu kota Negeri Angin ini, ditemuilah sejumlah besar kupu-kupu yang sedang bertelanjang atau separuh telanjang di dalam sangkar kaca di rumah hiburan atau persundalan itu.


Dan kupu-kupu itu ternyata tidak lain dan tidak bukan adalah para pelancong dari kalangan wanita cantik dan berkulit mulus lagi putih dan kuning, yang konon datang melancong kerana ingin melihat keindahan seloroh pelosok Negeri Angin ini, tetapi malangnya telah terpedaya dengan pujuk dan goda untuk berkerja: “Kerjanya senang dan tidak memenatkan. Gaji dan perolehannya juga banyak dan lumayan.”


Malah menurut sebahagian sumber kisah yang layak dipercayai juga, sejak sebelum bertolak dari negeri asalnya lagi sebahagian para pelancong dari kalangan wanita cantik dan berkulit mulus lagi putih dan kuning ini sudah pun termakan pujuk ini. Dan sebaik sahaja tiba serta melepasi pemeriksaan di gerbang masuk ke ibu kota Negeri Angin ini, mereka terus diboyong para balaci serta pesuruh yang menjanjikan kerja senang lagi tidak memenatkan ini.


Mereka dikumpulkan di beberapa penempatan dan kemudian disihir menjadi kupu-kupu. Kupu-kupu yang akan dipajangkan di dalam sangkar kaca serta diberikan nombor pengenalan tertentu.


November 3, 2007



3

CACING


INI juga sebuah kisah yang terjadi di sebuah negeri yang kita kenal dan namainya sebagai Negeri Angin.


Begini kisahnya.


Demi untuk mempastikan para kapitalis di negerinya yang memang sudah kaya menjadi bertambah kaya, pemerintah mengizinkan ratusan atau malah ribuan tenaga kerja dari negara luar. Alasannya tentulah sedia dimaklumi semua: kekurangan tenaga kerja.


Bayangkanlah. Kita kekurangan tenaga kerja yang amat terok. Sehinggakan untuk dikerjakan sebagai petugas keselamatan yang menjaga keselamatan nyawa serta harta benda di negara sendiri pun diperlukan tenaga kerja dari negara luar.


Gawat. Gawat sungguh krisis tenaga kerja yang dihadapi oleh negeri yang kukenal dan kunamainya sebagai Negeri Angin ini.


Jika kita bertandang ke hotel, ke lapangan terbang, ke pasar raya, ke hospital, ke bangunan milik pemerintah, ke jalan raya, ke setesen kereta api laju, ke setesen komuter, di dalam panggung wayang, wajah yang kita lihat adalah wajah yang kita tahu berasal dari negara asing.


Mereka yang pada mulanya didatangkan untuk menjadi kuli yang dibayarkan gajinya oleh para kapitalis itu kini menyempitkan ruang untuk rakyat di Negeri Angin ini bersantai di taman awam dan tempat permandian di laman belakang menara berkembar terindah. Anak dan gadis-gadis sering diganggu kacau ketika berjalan atau bersiar-siar bersendirian. Kini mereka sudah berubah menjadi cacing yang semakin berani hendak mencucuk anak mata kita.


Tetapi kita tidak membenci mereka. Mereka datang kerana diajak dan dijanjikan pendapatan lumayan.


Yang bersalah adalah para kapitalis rakus dari negeri ini sendiri. Mereka tidak mahu mengupah kerja buruh dan pekerja negerinya sendiri kerana tidak mahu membayar mahal, merka tidak mahu membayar carum untuk wang simpanan pekerja dana negara, mencarum untuk skim kemalangan semasa kerja negara, dan segala macam caruman yang para kapitalis ini rasakan merugi serta mengurangkan nisbah keuntungan yang akan masuk ke kantung kapitalis milik mereka.


Dan anehnya, untuk kerja semudah menyusun beg di lapangan terbang, mengemas dan membersihkan kamar hotel, pun diperlukan tenaga makhluk yang kini sudah semakin berubah menjadi cacing itu.


Dan kerana itu juga, tidak mustahil kalau kini anak negeri ini sendiri yang semakin kehilangan ruang kerjanya, kerana kurang sabar dan semakin merosot moral, sebahagiannya memilih menjadi perompak dan penyamun?


November 3, 2007


Sumber siaran: Berita Harian, 21 November 2009


3 ulasan:

JHaZ KiTaRo berkata...

Salam dari kota Dublin, Ireland. Blog hopping. Sudi2lah kiranya melawat blog hamba. :)

MARSLI N.O berkata...

Saya sudah melawat dan membaca. Bagus catatannya. Saya letakkan di link MEREKA MEMBACA.

edolah berkata...

Tahniah atas 'Kisah-kisah di Negeri Angin"...membaca cerpen sdr mengimbau kenang karya puisi saya awal-awal 90-an dulu..."Boneka di Cermin Kaca"..juga tersiar di BH