Sabtu, November 28, 2009

PENYAIR SEBENARNYA BOLEH BERKOMPROMI



Esei MARSLI N.O

1
DUA BELAS
atau sebelas tahun lalu, seorang teman penyair mendatangi saya pada suatu malam. Di tangannya selembar surat protes bersama salinan puisinya yang telah disiarkan di sebuah majalah. Salinan puisinya itu kelihatan ditandakan di sana sini.

Kata teman itu, dia ingin mengirim surat protes kerana puisi-puisi beliau yang disiarkan di majalah tersebut telah menjadi mangsa editan tanpa kerelaannnya dan menjadikan puisinya kian menyeleweng makna.

Namun kepada teman ini, saya nasihati agar mendiamkan saja diri. Saya katakan kepada beliau, saya khuatir kalau kerana protes itu beliau akan menjadi mangsa senarai hitam dan karya beliau mungkin sulit lagi disiarkan di majalah tersebut.

2
Dalam suatu seminar teori sastera, saya bertanya kepada anggota panelnya mengenai ada atau tidak suatu teori sastera yang membolehkan puisi karya penyair diedit.

Salah seorang editor yang menjadi anggota panelnya, dengan nada marah dan menyindir menyatakan cara saya bertanya itu menyakitkan hati.

Mujur dalam seminar tersebut hadir sama beberapa editor veteran dan penyair serta pengkritik lebih mapan.

Salah seorang penyair mapan, yang juga bekas seorang ketua editor sebuah majalah, mengakui betapa kalau seorang editor majalah atau akhbar kurang berasa selesa dengan sesebuah puisi, sebaiknya puisi berkenaan tidak disiarkan.

Tetapi kalau mahu disiarkan juga kerana sebab-sebab lain, seeloknya penyair diberitahu agar puisinya diedit oleh penyairnya sendiri sebelum boleh disiarkan.

Bergantunglah kepada penyairnya, mahu mengedit atau tidak. Namun, jangan sekali-kali diedit oleh seorang editor, tegas penyair mapan dan bekas ketua editor sebuah majalah itu.

Selepas penjelasan penyair mapan ini, editor yang menjadi anggota panel itu kelihatannya boleh menerima asas pertanyaan saya.

3
Peristiwa keengganan penyair puisinya diedit oleh orang lain kadang-kala sering disalahfahami. Penyair mudah dianggap bongkak dan payah berkerjasama dengan orang lain.

Sebenarnya tidak. Penyair tidak setuju orang lain berbuat demikian terhadap puisinya kerana ada sebabnya yang tersendiri.

Bagi penyair yang sudah berada di tahap benar-benar serius dengan kerja menyairnya, menulis puisi adalah dengan memberi seluruh raga dan jiwa.

Baginya, sebuah puisi yang sudah menjadi adalah suatu tanggungjawab dan maruah yang perlu dipertahankan.

Di dalam puisi yang sudah menjadi itu terkandung roh diri dan segala perasaannya sewaktu mencipta. Kerana itu, bila puisinya yang sudah menjadi diedit sewenangan oleh orang lain, tanpa diberitahu atau diajak berbincang terlebih dahulu, penyair mudah berasa seolah-olah maruah dirinya diinjak. Seolah-olah ada pihak lain yang sewenangan masuk ke dalam diri dan roh karyanya.

Lalu untuk mengubat pedih hati sendiri, penyair kadang-kadang memilih untuk kembali bisu dan jauh menyendiri membawa diri. Dan kerana peristiwa ini jugalah penyair mudah dianggap terlalu sombong, bongkak, mudah merajuk dan tidak mudah diajak berkompromi.

4
Sebenarnya tidak. Penyair juga manusia biasa yang juga punya hati dan perasaan. Jika orang lain tidak mahu hatinya disinggung, begitu juga penyair. Jika editor minta haknya dihormati, penyair juga begitu.

Tetapi penyair sebenarnya tidak meminta banyak. Cukuplah dirinya diberitahu secara jelas batas dan kehendak editor, penyair dengan rela hati sudi mematuhinya.

Jika puisinya mahu diedit atau dipenggal, bukanlah perkara yang amat sulit untuk dimaklum kepada penyairnya terlebih dahulu. Jika alasan untuk memenggal dan mengedit puisinya jelas dan munasabah, penyair sebenarnya dengan rela sanggup melakukannya sendiri.

Sebabnya, segala kata dan baris yang disusun di dalam sebuah puisinya yang sudah menjadi, bagi seorang penyair ada alasan dan sebabnya yang tersendiri. Segalanya tidak diletakkan sewenangan oleh penyair.

Semuanya sudah disukat dan diukur kewajaran letaknya. Misalnya, kenapa barisnya perlu pendek-pendek, kenapa baris yang itu perlu lebih panjang, kenapa susun letaknya tidak selari atau seimbang? Ianya tidak diletakkan sesuka hati.

Kerana itu, kalau misalnya seorang editor perlukan sebuah puisi yang dirasakan sesuai dengan selera mahupun kehendaknya, kenapa tidak diberitahu secara jelas kepada penyair?

Siapa kata penyair tidak boleh menuliskan sebuah puisi tempahan seperti kueh tempah?

5
Itulah silapnya kadang-kala kita. Bila penyair diam kita sangkakan dia sepenuhnya bersetuju.

Sedangkan diam penyair semata-mata kerana tidak mahu menyinggung perasaan orang lain dan sekaligus juga, tidak mahu dianggap bongkak dan payah hendak berkompromi dengan orang lain. Dan bila diamnya itu dibalas dengan tindak yang lebih melampau, sesuka hati saja mengedit dan memenggal puisinya, kita salahkan pula dia jika penyair memilih pergi dan jauh menyendiri.

6
Cuba kita bertanya kembali. Benarkah penyair kita bongkak? Kalau benar dia bongkak, pernahkah kita hitungkan kenapa sebelum ini dia tidak pernah berkata apa-apa bila puisinya diubah judul dan tajuk oleh editor? Sebabnya, penyair kita diam kerana dirasakan apa yang dilakukan editor itu wajar dan patut.

Silapnya mungkin, kita hanya ingin situasi menang-menang hanya secara sepihak dan bukan kedua-duanya: editor-penyair atau penyair-editor.

Atau juga, kita sangkakan asal saja namanya sebuah karya, kita rasakan boleh dan wajar diedit serta dipenggal sesuka hati, walau pun tanpa memberi peluang kepada penyairnya melakukannya sendiri? Atau setidaknya, penyairnya dimaklumkan juga terlebih dahulu.

Bagi penyair pemula yang masih belum memiliki jati diri, barangkali, editor boleh bersikap sewenangan begini. Namun sikap ini tidak wajar dipraktikkan terhadap penyair, tidak kira baru atau lama, yang sudah menganggap kerja menyairnya samalah dengan proses hidup dan mati jiwa dan diri.

Hanya Tuhan yang lebih mengetahui.

Februari 25, 2007


Sumber siaran: Suara Keadilan, Bil 204, 27 Oktober – 3 November 2009

11 ulasan:

Unknown berkata...

salam, tuan. saya sangat bersetuju dengan pandangan yang diwajahkan oleh tuan di atas.

saya fikir para editor tidak wajarlah mengedit karya2 (terutamanya yang ditulis oleh penulis baru) dengan sewenang-wenangnya tanpa berbincang dengan penulis terlebih dahulu. hal ini boleh menjejaskan kredibiliti kedua-dua penulis dan editor.

(tuan, mungkin sebab di atas saya berhenti menghantar karya ke media buat masa ini. kalau ada yang disiarkan pun, pastinya yang telah dihantar beberapa bulan yang lalu.)

boleh izinkan saya untuk kongsikan tulisan tuan ini dengan rakan2 karyawan luar negara?

MARSLI N.O berkata...

Biarpun telah diedit, pastikan kita menyimpan naskhah yang asli dengan baik. Jangan berasa terganggu atau kecewa. Berkarya terus. Silakan berkongsi. Saya telah letakkan dilink Mereka Membaca.

budisolutions berkata...

salam hormat,
jemput ke Budi Bookstore untuk melayari alam buku-buku motivasi dan kemajuan kendiri.
terima kasih.

Ibnu Ahmad al-Kurauwi berkata...

Penulis dan editor kedua-duanya manusia. Belajarlah untuk menjadi manusia.

MARSLI N.O berkata...

Sdr Ibnu Ahmad. Itulah yang kita harapkan. Semoga antara penulis dan editor tiada yang ingin saling mengatasi atau berasa dirinya lebih pandai dan mulia. Setiap kita yang bernama manusia tentulah akan ke sana juga. Terima kasih atas peringatan Tuan Haji.

MARSLI N.O

MARSLI N.O berkata...

Sdr Budi. Saya sudah melawat. Harap lebih banyak buku dipaparkan. Terima kasih kerana sudi membaca di blog saya ini.

ekspresi berkata...

salam tuan,
bagi saya, editor jangan pandai2 mengedit puisi orang lain. kalau ingin mengubah puisi, tulis puisi sendiri.
tapi pengalaman saya menghantar puisi jarang editan dilakukan. jika ada pun hanya membetulkan ejaan.

budisolutions berkata...

salam tuan,
terima kasih kerana sudi melawat. insyaAllah saya akan tambahkan lagi entri buku-buku di dalam kedai ini.

benuasuluk berkata...

saya boleh terima editan yang munasabah pada perkiraan editor, tapi kalau editan sampai menghilangkan makna asal saya tak dapat terima.

imlan adabi berkata...

Sdr... ini pandangan peribadi sebagai penyair dan wartawan. Ketika menangani media, media tak berhak edit sajak kerana karya kreatif bukan berita atau rencana yang perlu olahan semula. Penyair ada hak untuk karyanya. Editor ada hak untuk siar atau tidak. Jika tak sesuai, jangan siarkan, pengalaman editor berpengalaman berbeza dengan editor kurang masak. Apa yang berlaku sekarang, editor sastera tidak ada ilmu kreatif. Lihatlah yang memilih sajak di majalah dan akhbar sekararang. .... maaf, tak boleh ulas lagi... malu....

MARSLI N.O berkata...

Sdr Ekspresi: Patutnya kita saling menghormati.Harap kita demikianlah.

Sdr Benua: Ya, begitulah. Harap kita.

Sdr Imlan: Sdr lebih dahulu dan lama di bidang editorial. Tentu lebih maklum berbanding saya.