Isnin, Januari 25, 2010

MENERUSKAN TATIH DI NEGERI SUNYI

WALAU dikeliling keluarga yang mesra dan riuh, saya selalu entah kenapa berasa sunyi dan lebih ingin bersendiri.

Begitu juga ketika di tengah ramai atau acara yang lebih besar. Rasa sunyi dan ingin bersendiri tetap juga terasa dan malah selalu saya dengan sengaja akan memilih untuk bersunyi dengan caranya sendiri. Mencari satu ruang yang agak terasing, atau memilih lebih membisu dan bersendiri, seolah-olah sedang hanyut di dunianya sendiri.

Malah selalu berlaku dan terjadi berulang-ulang, begitu terjaga dari lelap di tengah malam yang menghampiri subuh dan mata tidak boleh diajak lelap lagi, saya diam-diam bangun dan memilih untuk bersendirian di kamar sendiri.

Saya tahu perbuatan seperti itu selalu menyebabkan ada yang tersentuh rasa hatinya di kalangan keluarga atau kawan-kawan, sehinggakan kerana itu juga selalu saya disangka sombong, berlagak dan susah hendak dimengerti.

Tetapi saya sebenarnya sudah tidak begitu mahu ambil peduli walau apa pun sangka dan tuduhan yang mahu dilemparkan orang.

Saya berasa lebih senang dan bahagia secara begini. Lebih-lebih lagi ketika usia semakin menjelang senja dan satu demi satu teman, sahabat, atau orang-orang yang pernah saya kenal berangkat pergi meninggalkan dunia.

Saya tahu, bukan saya yang menentukan apa dan bagaimana hidup atau mati saya. Hanya sebagai manusia, tugas saya sekadar berusaha untuk tidak terus berbuat dosa, menunaikan segala kewajipan dan suruhan yang diwajibkan ke atas dirinya.

Sebagai manusia, saya sedar dan tahu betapa banyaknya kelemahan dan kekurangan diri saya sendiri. Kerana itu jugalah, maka saya saban waktu sentiasa berusaha memperkuatkan niat dan tekad untuk tidak berterusan mengulang-ulanginya lagi.

Malah semakin pula berasa malu bila mengenangkan betapa tidak selalunya niat itu menjadi makbul lantaran kelekaan dan alpa saya sendiri. Kerana rasa malu dan insaf yang sedemikian, saya semakin berasa ingin lebih bersendiri dan menjauh dari segala keriuhan yang sangat bersifat dunia.

Jauh di sudut hati juga, semakin saya berasa benci dan mual melihat segala hipokrasi dan kedurjanaan manusia. Konon, dirinyalah pejuang kebijaksanaan yang selalu bercakap atas nama moral, tetapi pada waktu sama mereka jugalah yang sanggup memijak kepala orang lain hanya untuk secuil peluang atau demi sebuah kerusi.

Dunia dijadikan pasar loak tempat mereka longgokan segala yang boleh diperdagangkan, walhal harga diri, dan kepercayaan sekalipun. Atas nama bangsa dan negara, asalkan dapat menguntungkan diri, sanggup juga digadai maruahnya oleh mereka yang meletak harga manusia dirinya setaraf haiwan.

Katalah saya pemarah atau perengus yang sok berlagak dirinya suci, saya tidak peduli. Kerana saya tahu marah saya sekadar menyatakan sikap dan pendirian diri. Itu pun selepas bertahun sabar dan memilih diam tatkala diri tidak hentinya disindir perli oleh mereka yang berasa dirinya semakin berkuku dan bergigi, atau oleh manusia yang tidak sedar akan hakikat dirinya sendiri.

Dan lebih-lebih saya semakin menjadi tidak peduli kalau disebut sebagai perengus dan pemarah, hanya kerana semata-mata tidak sudi sama bersekongkol menjadi serigala yang lapar merenggut segala peluang atau merelakan diri menjadi baghal semata-mata demi secuil ganjar kehormatan atas nama dunia.

Apalah sangat yang hendak diperebutkan di atas tanah bernama dunia yang sementara ini.

Hari ini saya mungkin terlalu bendul dan bodoh kerana menolak peluang yang ada di depan mata. Atau sekadar bercakap melepaskan rasa kecewa.

Tidak mengapa.

Berbahagialah setiap mereka yang ingin memilih dunia.

Saya akan tetap meneruskan tatih di sebuah negeri bernama sunyi. Membaca dan kembali meluruskan huruf-huruf kesilapan diri yang semakin banyak condong dan terkhilaf dari paksinya.

Januari 25, 2010

2 ulasan:

setiakasih berkata...

Salam..
kita hadir sendirian, kembali sendirian.

Mula sunyi, di akhirnya pun sunti.

Sendirian tidak mengapa, sendirian asal kita.

MARSLI N.O berkata...

Sdr Setiakasih: Ya. Kita bersendiri. Bersendiri.