Selasa, Februari 02, 2010

MENCATAT SUNYI

SUDAH seminggu berfikir. Terkial sendiri di kamar sunyi. Berfikir dan terus berfikir. Mencari kata sesuai untuk memulai sebuah mahakarya terbaru.

Tetapi nihil. Yang sedang merongrong adalah rasa sunyi. Yang sedang berlegar memenuhi ruang kamar juga adalah sunyi. Sunyi mengongsi seluruh ruang di kamar sendiri.

Walau di luar riuh menderu. Peristiwa dan kejadian bertumpang tindih. Namun kata yang terasa sesuai tetap belum menjelma. Kecuali hanyalah sunyi.

Ah, inilah beban menjadi pencatat yang ingin menuliskan demi sebuah mahakarya. Yang ada hanyalah sunyi. Dan kata itu masih belum juga menjengah di fikiran. Kecuali sunyi.

Gelisah pun kian memenuhi jiwa. Seperti udara yang kian memenuhi ruang kosong . Jiwaku seolah sebuah belon yang kosong kini dan terasa semakin membelon dipenuhi sunyi. Semakin lama semakin membelon.

Sunyi itu kini memenuhi seluruh ruang di dalam jiwaku. Sehingga akhirnya mengapungkan tubuhku yang masih bolak-balik berfikir dan terkial sendiri mencari kata yang sesuai untuk memulai sebuah maha karya.

Kata, di mana kini kau bersembunyi? Di mana? Sendiri tanpa suara aku mendesis.

Seketika, pandanganku menjadi gelap. Aku bagai terlontar ke suatu ruang ghaib yang lain untuk seketika.

Ketika kembali perlahan kubukakan mata, tertayang di depan pandangku sebuah layar putih. Di situ kulihat wajahku yang sedang sendiri di depan sebuah layar yang juga berwarna putih.

Kini sudah kutahu kenapa aku di situ. Kini sudah kutahu. Dan di layar putih itu, kupilih mengisinya dengan kata yang juga bernama sunyi. Sunyi. Sunyi. Sunyi. Begitu aku mencatat dan mengisi setiap ruang kosong di layar putih itu.

Kini sepenuhnya aku tahu dan sedar. Sahabatku yang sejati tidak lain adalah sunyi. Kerana aku lahir dan akan mati juga sendiri.

Februari 1, 2010

4 ulasan:

setiakasih berkata...

Salam Tuan Marsli,

Kesunyian itu memaknakan keberadaan...
Adakalanya, ia memberi lebih erti kepada hidup.

MARSLI N.O berkata...

Terima kasih atas peringatan. Selamat berkarya.

Melihat Kesunyataan berkata...

Marsli N.O,
Kata Amir Hamzah, Sunyi itu lupa,sunyi itu lampus. Sunyi itu duka, sunyi itu kudus.
Kebanyakan karya yang berjaya bertolak dari sunyi. Sunyi sebenarnya menyerahkan kita serba kemungkinan.

MARSLI N.O berkata...

Sdr MK: Memangnya demikian dan moga kita mampu lahirkan sesuatu yang dapat sama memberikan mafaat buat manusia yang lain.