Selasa, Februari 23, 2010

TUJUH FILEM PENDEK MASKARA SHORTIES DI GEGAR PANTAI TIMUR



Oleh MARSLI N.O

TUJUH filem pendek dari siri Maskara Shorties anjuran Sindiket Soljah telah ditayangkan di acara Gegar Pantai Timur Proton Edar pada malam 29 Januari 2010 yang lalu.

Acara yang berlangsung di Dataran Shahbandar, Kuala Terengganu ini merupakan gerakan pertama Sindiket Soljah ke Pantai Timur dan sebahagian besar filem merupakan filem yang sebelumnya ditayangkan di Maskara Shorties Sidiket Soljah yang telah dilangsungkan di Rumah Pena, Kuala Lumpur
pada malam 31 Oktober 2009.

Tayangan filem pendek pertama “Adiwara” oleh Indieworkshop memaparkan dunia imaginasi kanak-kanak dengan patung permainan.

Secara berlambang, filem pendek ini memaparkan betapa kekuasaan atau keangkuhan yang selama ini berasakan dirinya hebat dan perkasa (patung raksasa) tanpa diduga sesiapa dapat ditewaskan oleh kuasa yang lebih kecil (patung kertas yang kenit) .

Filem pendek “Hantu Silap Mata” oleh Alif Firdaus Arif memaparkan wataknya ang tidak boleh tidor. Untuk mengisi masa insomnianya, watak memilih menjadi ahli silap mata dan super hero. Setelah melakukan pelbagai aktiviti yang merenggut banyak tenaganya dan berasa letih, barulah insomnianya terubat.

Filem “Kiri” terbitan Flip-Flop Picture dengan kerjasama Cakarama Productions arahan Dean Sham dan skrip oleh Tok Rimau dibahagikan kepada beberapa adegan atau bab. Bab 1 dengan judul Wan Sulong memperihalkan soal merdeka dan kemerdekaan. Sindirian melalui watak Wan Sulong setidaknya mencelikkan mata kita seketika bila disebutkanya apalah makna merdeka jika pemimpinnya dipilih oleh penjajah dan sekadar boneka.

Filem “Kak Min” seperti mana judulnya secara jelas dan nyata memaparkan wawancara Ajami Hasyim dengan pembikin filem Yasmin Ahmad. Melalui wawancara ini, Yasmin secara berterus-terang bercakap mengenai falsafah seni di dalam filem-filem garapannya.

Tok Rimau menampilkan sebuah filem dengan latar tahun 2109 berjudul “Pemburu Buaya Darat” yang kembali ke tahun 2009 dengan mesin masa. Misinya cuma satu, menangkap mana-mana lelaki buaya darat atau playboy yang suka menggoda serta memperdayakan gadis dan wanita.

Ironisnya pula, pemburu buaya darat yang cekap dan kacak ini diburu pula oleh wanita dari tahun 3000 yang ma akaum lelakinya telah pupus akibat wabak penyakit H1N1. Misi pemburu wanita dari tahun 3000 ini tidak lain adalah membawa pulang lelaki pembru ini ke negeri dan masanya untuk dijadikan pembiak baka.

Dean Sham muncul lagi dengan filem “Hangus” garapannya yang menampilkan antara lain Pipiyapong, Fazleena Hishamuddin dan Tok Rimau sebagai pelakon.

Persoalan merealisasikan impian untuk berkahwin dengan anak seorang tokoh politik bernama YB Dollah didigarap Dean dengan gaya pemikiran gangsterisme kampungan yang diperankan wataknya oleh Pipiyapong. Watak gelisah dan hilang punca Pipiyapong berjaya ditampilkan Dean dalam filem arahannya ini dengan ketara.

Namun begitu, Dean Sham sempat juga melontarkan sindirnya terhadap filem komedi situasi Melayu yang diucapkan seorang pelakonnya sebagai begitu ditonton, sudah dapat diduga apa kesudahannya dan jenakanya yang slapstik.

Lebih terasa menghiris, bila isu YB yang gemar meminta duit kopi dan lompat melompat parti turut disentuh oleh Dean Sham.

Melalui dialog antara YB Dollah dengan orang kepercayaannya, penonton didedahkan betapa untuk melompat dari suatu parti ke parti yang lain, paling tidak ganjaran yang diterima puluhan ribuan juga yang akan masuk ke dalam poket seorang YB.

Filem terakhir atau ketujuh merupakan sebuah fiksi dokumentari berjudul “Bumbung Aku Lantai Orang” buah tangan Tok Rimau selaku penulis lakon layer dan Dean Sham selaku pengarah.

Fiksi dokumentari yang didakwa penulis naskhahnya sebagai bertolak dari kisah benar ini memaparkan permasalahan kehidupan dan social di Flat Bukit Cagar di Johor Bharu.

Melalui kisah yang sebelum ini pernah dipaparkan Tok Rimau atau Ghazali Bunari di dalam blook “Ayah Kita Bos” pelbagai permasalahan masyarakat dipaparkan kembali di dalam filem pendek ini.

Diterjemahkan dalam bahasa visual oleh Dean Sham yang menarik dan cantik menjadikan kisah kehidupan masyarakat ini lebih menusuk perasaan penonton.

Walau pun flat itu kini sudah menjadi sejarah dan dikatakan tidak sesuai untuk hidup membesar, namun tetap dipertahan sisi baiknya yang lain oleh penulis naskhahnya, betapa ia cepat mendewasakan penghuninya.

Sumber siaran: Budaya, Suara Keadilan, Bil 220, 23 Feb – 2 Mac 2010

2 ulasan:

fatin nazmin mansor berkata...

Salam, Tuan Marsli. Berkenaan permintaan tuan, silakan. Maaf kerana terlewat balas.

MARSLI N.O berkata...

Sdr Fatin: Terima kasih kerana sudi berkongsi maklumat. Nanti akan saya maklumkan lewat email.