Ahad, Mei 16, 2010

AH, SAYA TIDAK APA-APA



SAYA tidak ingin merebutnya dari sesiapa.  Dia hanyalah seorang manusia biasa yang saya percayai sepenuh hati. Dengan dia, banyak rahsia kami kongsi.  Dan saya tahu, dari reaksi dan jawapan ketika sesekali  saya mendatangi dia di rumahnya, ada orang yang berasa kurang senang kerananya.  Seolah-olah, kehadiran saya,  mahu merampas sesuatu di antara mereka.

Tetapi selalu saya katakan kepada diri. Biarlah apa reaksi orang lain. Saya hanya ingin berkawan dengan dia dan saling berkongsi cerita suka dan duka mengenai dunia yang kami gulati ini. Tidak lebih dari itu.

Mungkin cara kami berkawan agak melampau.  Berbual hingga santak ke pagi. Dari cerita ke cerita yang lain. Meninggalkan di rumah ada orang yang menanti.

Tetapi kami hanya duduk berbual. Kadang di bangku taman, kadang di trotoar jalan.  Dunia kami bukan di disko atau kelab dangdut, tetapi hanya kata, idea dan kisah.  Kami mungkin pembual dan pengangan. Tetapi bual kami ada tujuan.

Dari bualan sedemikian rupa banyak saya menjalin kisah menjadi cerita dan puisi. Malah memang sejak mula memang kami sepakat saling berbagi cerita dan berita  secara demikian, untuk nanti kami masing-masing kembangkan menjadi sebuah karya.

Kerana itu jugalah, bila dia semakin lama semakin saya lihat perlahan dan malas berkarya , maka dengan niat mahu melihat dia kembali bangkit dan kembali gencar berkarya, seperti janji-janji yang sama kami tekadkan dahulu dan bukan kerana mahu menunjukkan sombong, saya mencabar dia dengan banyak cara:  kadang nasihat, kadang rungutan dan bila itu pun tidak mampu membangkitkan dia, saya membentak dan mengherdik.

Saya tahu cara saya itu boleh melukakan hati orang.  Tetapi saya sanggup melakukan itu kerana saya yakin dia sudah cukup mengenal saya. Bukan sehari kami berkawan. Mustahil dia tidak tahu dan faham kenapa saya melakukan itu. Tidak lain sekadar untuk menggerakkan dia.

Tetapi saya tahu hidup bukanlah seperti apa yang kita selalu idam-idamkan. Dan kalau sesuatu yang terjadi, saya sudah cukup bersedia untuk merelakan.  Menerima tanpa perasaan terlalu luka.

Saya kira, saya sudah menunaikan peranan saya sebagai seorang kawan. Menasihat dan menegor jika perlu. Tidak terlalu memuji dan mendewakan dia. Kerana saya tahu pujian itu boleh memusnahkan dia. Cuma itu.  

Tidak mengapa. Saya tetap begini juga.

Siapa sahaja boleh menghalang dengan pelbagai cara untuk merenggangkan keakraban kami. Saya tidak mengharapkan apa-apa. 

Kerana, saya fikir dia juga boleh berterus terang dengan saya seperti saya selalu berterus terang dengan dia sejak dahulu.

Saya kira, tidak perlu orang kedua dan ketiga memberitahu betapa dia terluka dan tersinggung dengan cara saya menegor dan menasihati dia. Saya tahu dia  memang agak perahsia ketika di luar. Tetapi saya tahu dia masih belum bisu dan boleh mengucapkan itu sendiri dari bibir dia.  Saya berani mengatakan itu kerana selama ini kami saling berbagi dan berkongsi mengenai banyak rahsia.

Saya memang keras dan tegas dalam banyak hal. Tetapi tiada siapa tahu, mungkin juga orang yang paling rapat dengannya sendiri,  bahawa kami pernah berjanji untuk mengharungi ini semua dengan cara begini.   Berlaku keras dengan diri sendiri untuk mendapatkan sesuatu di dunia ini.  

Tidak apa-apa. Seorang perempuan memang selalu mencemburui keakraban suaminya dengan seorang yang lain ketika di luar.  Hanya, saya tidak pernah berkonflik mengenai itu kerana sejak mula perkahwinan kami sudah menyelesaikan masalah itu.

Saya tidak berniat mengutuk mana-mana perempuan.  Saya menyebutkan ini berdasarkan apa yang sudah menjadi pengalaman.  Perempuan adalah penawar dan pendorong, tetapi sekaligus juga boleh jadi penghadang.

Bayangkan andai di tengah malam buta saya masih menekan papan kekunci di bilik komputer, tiba-tiba datang seorang perempuan menjengah dan menyergah.   Atau waktu lain  terjadi perkelahian kerana  di dalam sebuah cerpen saya memuji dan memuja seorang wanita lain.  Angkara cemburu terjadi perang besar. Rumah tangga berantakan.

Tetapi Alhamdulillah. Saya tidak pernah mengalami itu. Kami sudah berjanji untuk saling memahami sejak mula perkahwinan. Saya dianugerahi Allah seorang isteri yang sangat baik dan mengerti dunia tulis menulis saya.  Saya tidak pernah diganggu ketika menulis atau berkarya. Apa lagi untuk bertanya dan menyoal anu dan ini.

Kerana itulah saya bersikap biasa-biasa sahaja.  Saya faham rasa cemburu adalah normal di hati siapa pun dia, lelaki mahupun perempuan.  Apa lagi bila melihat orang yang paling rapat dengan kita begitu akrab juga dengan orang yang lain, walau sesama jenis dan minat. Bukan sahaja cemburu, pasti jugalah boleh mungkin andaian dan prasangka juga.

Tetapi seperti saya katakan di awalnya. Saya tidak ingin merebutnya dari sesiapa.  Seorang boleh datang dan boleh pergi. Boleh menjadi kawan dan boleh menjadi tidak. Saya tidak apa-apa.

Kawan tetap kawan. Walau prinsip dan falsafah saya mengenainya mungkin agak ganjil atau keterlaluan, tetapi saya selalu meletakkan kejujuran dan keikhlasan sebagai teraju. Saya tidak akan mengeji seorang yang saya nobatkan sebagai kawan ketika di belakangnya   tetapi akan mengatakan apa yang ingin saya katakan langsung di depannya.

Memang dia mungkin tersinggung dan ketika itulah kejujuran dia akan teruji. Kalau benar dia jujur katakanlah berterus terang apa yang dia tidak bersetuju.

Apakah sangat erti sebuah persahabatan, terutama di zaman benda dan kepentingan diri menjadi kiblat ini,  bukankah?

Kisah  orang sanggup mati dan mengorbankan harta benda untuk seorang kawan kini hanyalah omong kosong.

Saya tidak ingin mengharapkan apa-apa dari siapa pun yang bernama manusia. Andai satu waktu saya tidak disenangi atau diterima, saya pun tidak ingin bersediah dan berduka keranannya.

Hidup hanyalah angin dan air. Berlalu dan mengalir. Bukan saya tidak mempercayai sesama manusia. Tetapi saya lebih percaya biarlah segalanya ditentukan Allah. Hidup dan mati.  Kawan dan kahwin.

Saya tidak akan bersedih atau terkilan. Kalau misalnya satu waktu saya pernah menderma, bukan kerana dia saya anggap sudah begitu miskin dan terdesak, tetapi hanya sebagai tanda ingatan dari saya sebagai seorang kawan yang jauh dan tidak mampu selalu datang melawat (ikhlas atau tidak biarlah Allah menentukan)  dan derma saya itu dikembalikan, saya masih tidak mahu mengandaikan apa-apa.

Mungkin ada rahsia dan hikmahnya kenapa Allah menurunkan ujian ini ke atas diri saya.


Mei 16, 2010


Tiada ulasan: