Selasa, Mei 11, 2010

MEMBACA DARI PERSPEKTIF LAIN


SAYA sebenarnya tidak terlalu meniatkan sesuatu yang terlalu muluk  ketika sedang menulis sesebuah karya. Katalah itu untuk mendidik, berdakwah atau yang semaksud dengannya. 

Saya sebenarnya takut untuk menyimpan niat yang sedemikian muluk kerana menyedari sendiri betapa sebagai manusia biasa yang sepatutnya dididik serta didakwah adalah diri saya sendiri dan bukannya orang lain.

Saya tidak malu mengaku ini kerana saya tahu betapa urusan mendidik dan mendakwah ini kalau pun benar wajib menjadi niat setiap penulis, dan saya memang pun tidak mengatakan itu suatu yang salah, biarlah lahir secara tidak langsung, penuh hemah dan bukan dalam sifatnya yang  sangat arogan, seolah-olah memaksa pembaca menerima sesuatu secara membuta tuli. Atau dengan cara berlagak-lagak seolah-olah pembaca terlalu bodoh untuk mengerti serta memahami.

Terus terang saya katakan. Ketika sedang menulis sesebuah karya,  jauh di sudut hati saya  hanya terselit suatu harapan  agar karya tersebut, begitu tersiar dan dibaca khalayak, dapat  sekejap menjadi cermin. Dari cermin itu, harap saya, pembaca dapat sekejap melihat dirinya sendiri sebagai manusia, dengan segala kebaikan dan keburukan dirinya.   

Apakah selepas itu mereka mahu berubah, atau telah terdidik dan terdakwah,  saya fikir biarlah itu menjadi urusan milik masing-masing peribadi dan bukan hak saya untuk pandai-pandai menentukannya.

Seingat saya dengan niat dan harapan yang serupa inilah  saya selalu menulis karya demi karya saya. Baik itu sajak mahupun cerpen.

Pada sisi yang lain, sebagai seorang yang menuliskan  karya, pastilah suatu dusta andai saya katakan saya berasa tidak perlu membaca apa pula tanggapan dan reaksi orang lain selaku pembaca karya saya yang sudah disiarkan di mana-mana.

Saya juga ingin dan mahu bercermin dari pendapat orang lain.  Tidak peduli apakah pendapat dan reaksi itu berupa kritik pedas atau pujian melulu. Walau tidak semestinya semua pendapat akan saya akuri dan terima, tetapi dari pendapat  dan reaksi begitulah selalunya saya menemukan pencerahan dan jalan berikutnya sebagai petunjuk memperbaiki  karya yang akan ditulis berikutnya.

Memang setiap pendapat dan reaksi berbeza menurut acuan pendidikan dan pemahaman seseorang.  Walau ada sebahagiannya yang tidak saya persetujui, namun  saya sentiasa mengajar diri agar menghormati  perbezaan dan kelainan tersebut. 

Tetapi membaca sebuah pandangan dari seorang yang tidak berkepentingan atau yang tidak  bermula dengan  suatu acuan di dalam fikirannya sejak mula, bagi saya peribadi akan terasa lebih menarik dan berbeza persepsinya.

Jika seorang yang berkepentingan melihat sebuah karya berdasarkan hukum  dan penetap acuan pula mencari apakah ada atau tidak hasrat serta keinginan di dalam karyanya,  pembaca kategori yang satu lagi pula hanya menyatakan apa yang dilihatnya tanpa sebarang prejudis.

Huraiannya walau tidak sedemikian tuntas seperti seorang pemilik teori yang berkepentingan, namun terasa jujur dan mengertinya.

Apa yang dinyatakan oleh pembicara begini tidak lain merupakan bancuhan pengamatan dan pengalaman peribadinya sebagai pembaca yang melihat teks secara per se dan bukan sebongkah peribadi yang perlu dicaing serta dirobek-robekkan dengan sengaja.

Lalu, membaca huraian seorang pembicara kategori ini terasa mulus dan jujur.   Kerana yang diliaht adalah teks sepenuhnya dan tidak sama sekali dihubungkan kaitkan dengan perkara di luarnya.

Saya hanya menyatakan apa yang saya rasa.  Mungkin di sana sini saya seperti memuji dan mungkin juga tidak. Tetapi itulah tanggapan saya selaku seorang yang menulis yang karyanya diberikan reaksi oleh seorang pembaca yang lain.

Reaksi Najibah A. Bakar terhadap kumpulan cerpen saya "Menanti Buraq" di BukuRia bagi saya adalah sebuah reaksi dari seorang yang menyatakan apa yang dilihat serta ditemui  di dalam karya tersebut secara per se.

Tulisan itu bagi saya berdiri di batas yang wajar.  Tidak memuji dan tidak juga mengeji .  Dan saya bercermin sesuatu dari tulisan reaksi itu.

Mei 11, 2010

Tiada ulasan: