Isnin, Ogos 23, 2010

MENGENANG DIA, AKU DAN MEREKA

SENIMAN teater dan penyair besar  Rendra baru saja diperingati pemergiaannya dalam satu acara di sebuah universiti.

Agak istimewa rasanya perhatian diberikan oleh sebuah akhbar terhadap acara itu. Selang tidak sampai seminggu laporan acara itu sebelumnya disiarkan, laporan berikutnya menyusul lagi. Memang tiada apa pun yang menjadi kesalahan dan penyiaran itu pun kukira, alasannya tentulah disiarkan dengan angle yang berlainan.

Rendra memang seniman besar yang menyebarkan pengaruh, aura dan rasa kagum terhadapnya di hati banyak orang, sama ada di negeri ini dan apalagi di tanah airnya sendiri.

Di Indonesia sendiri, pemergian Rendra diingati dengan banyak cara. Selain ritual yang biasa dan selayaknya, juga penerbitan buku-buku mengenainya.

Ada beberapa buku yang diterbitkan dan saya baru sempat membeli dan membaca pantas  "Rendra: Ia Tak Pernah Pergi" (RM52.50) dan "Ketika Rendra Baca Sajak" (RM60.00 selepas potongan RM 40.00). Salah satu buku itu dikerjakan Edi Haryono, dokumentator dari Bengkel Teater Rendra yang rajin dan ulet. Memang ada beberapa buku lagi yang cuba saya dapatkan dalam waktu terdekat.

Memang tidak ada apa pun yang salah dengan acara mengenang Rendra di satu universiti itu. Juga tidak ada yang salah kalau pun kisah acara itu disiarkan saban hari  di sebuah akhbar berkenaan.

Mengingati dan mengenang dengan cara-cara yang patut serta wajar, setiap mereka yang hebat, baik dan berjasa besar memang perlu.  Semoga,  segala kebaikan, buah fikir dan karya yang ditinggalkannya akan kita sebut dan kenang kembali secara bersama.

Setidaknya, setiap kali kita bersama mengenang segala sumbangan buah fikir dan karya yang ditinggalkan sang tokoh, segalanya kembali semula menjadi hidup dan memperingatkan agar kita tidak terus menerus menjadi serakah dengan kuasa sehingga sanggup melupakan hakikat diri sebagai seoranag manusia.

Tetapi tidak hanya Rendra, saya juga terkenangkan  tokoh-tokoh besar sasterawan dan seniman di negeri sendiri. Bagaimana layaknya mereka diingat serta dikenang.

Saya terkenangkan Allahyarham Pak Sako, Pak Keris Mas, Usman Awang, S. Othman  Kelantan, Syed Alwi dan ramai lagi.

Bagaimana kita mengenang dan mengingati mereka?

Tentu sahaja akan ada jawapan-jawapan bijak dan cerdik. Atau sesiapa yang berasa tersinggung kalau dikatakan kurang pandai menghargai mereka yang telah pergi.

Akan muncul serentetan jawaban: kita sudah menganjurkan majlis bicara karyanya, karyanya sudah diterbitkan dalam bentuk mewah dan dibeli semunya oleh sesebuah institusi,  dan pelbagai lagi.

Itu untuk tokoh yang dianggap bersih dan tidak secara langsung semasa hidupnya dilihat terlibat dengan mana-mana pergerakan politik oposisi.

Lalu bagaimana dengan Ahmad Boestamam, Hasnul Hadi atau yang masih bersama kita, Kassim Ahmad?

Yang jelas kelihatan, politik lebih menguasai dan menjadi penentu. Siapa yang memegang kuasa akan menentukan ke arah mana hala dan tujunya.

Walau pun tidak secara langsung,  kita seperti dilarang memiliki ingatan bersama terhadap mereka, untuk mengenang segala buah fikir dan menghayati semangat  kebenaran dan perjuangan yang ditinggalkan dalam setiap karya.

Politik lebih menjadi panglima. Setiap tindakan dan pilihan, ditentukan oleh siapa yang memegang kuasa  dan kerana itu, jika ada institusi yang ingin melaksanakannya, selalu terhalang oleh soal  berpihak atau tidak.

Apa lagi tatkala kata menteri semakin berubah dan cuba dinobatkan oleh mereka yang buta dan tuli menjadi petua yang wajib dipatuhi tanpa peduli benar atau salahnya.

Lalu fungsinya menjadi terbalik. Sasterawan, ilmuan dan agamawan yang sepatutnya menjadi penasihat, dipaksa mengiyakan cakap menteri, walau tidak selalunya benar dan betul.

Kerana itu juga persoalan semakin menjadi ruwet. Masalah social, bangsa dan negara, hanya dimonopoli dan diurus oleh politikus dan segala suara selainnya semakin tidak mahu diambil peduli.

Demikian juga institusi kebahasaan, sastera dan budaya yang semakin dicemari semangat politikus atau semakin cuba diusahakan agar hanya ditadbir oleh mereka yang menyenangi dan sebulu sikap dan pemikirannya dengan para politikus.   
  
Saya sendiri membayangkan, bagaimana nanti seorang seperti saya setelah perginya? Saya punya jawaban sendiri. Saya tidak akan bersedih kalau pun nanti tidak akan dipeduli atau disebut mereka. 

Tetapi bagaimana nanti kalau oknum itu adalah Pak A Samad Said, Shahnon Ahmad atau Dinsman?

Ah, saya tidak ingin melanjutkan di bulan Ramadhan yang mulia ini.

Ogos 23, 2010 (Ramadhan tiga belas)

5 ulasan:

Naim berkata...

mungkin wajar ditubuhkan muzium karya.

Nantinya segala tinggalan sasterawan ini dapat diabadikan untuk tatapan generasi mendatang.

@naimisa

MARSLI N.O berkata...

Sdr Naimisa: Kalau untuk peribadi, rasanaya sudah banyak yang memulai diam-diam.

Tetapi mengharapkan institusi atau berwajib?

Ah, saya tidak mahu terus bermimpi sesuatu yang mustahil.

Contohnya, di Terengganu apa memilikinya? Nggak bukan?

MARSLI N.O

edolah berkata...

demikian akibatnya apabila pemimpin 'kemandulan' ilmu...material dan kebendaan agenda utama..hal-hal sebegini sengaja diabaikan !

MARSLI N.O berkata...

Sdr Edolah: Moga kita tidak selamanya bersekongkol.

MARSLI N.O

Fakeh berkata...

Cubalah google tajuk BANGSA MELAYU MENGIKUT ULAMA AHLU SUNNAH WAL JAMAAH, maka akan fahamlah kita tentang hakikat bangsa ini. Dan cubalah google pula tajuk-tajuk berikut agar kita kenal musuh dalam selimut yang mencari peluang dan ruang untuk mengkhianati bangsa ini, iaitu:-

(a) http://www.mediafire.com/?ne2dmyeinzo
(b) Jaringan Wahabbi Sdn Bhd
(c) Jom Kenali Dr Maza & Co
(d) Ahlul Bait Yang Dicerca
(e) Tok Ayah Zid Kedai Lalat
(f) Kuasa Tiang Kepada Cita-cita
(g) 40 Mutiara Hikmat Serambi Mekah

FAKEH KHALIFAH SAKA