Khamis, September 23, 2010

KENAPA MENCUCI SEJADAH?

SUDAH lama sejadah itu bersama saya. Saya terima dahulunya sebagai hadiah perkahwinan. Sudah agak lusuh dan banyak benang baldunya yang tanggal. Namun saya berasa sayang untuk membuang atau tidak menggunakannya lagi. 

Bagi saya, sejadah yang satu ini adalah sejarah yang sama usianya dengan usia perkahwinan pertama saya ini. Kerana itu jugalah, walau sudah beberapa sejadah baru dibeli oleh isteri, ibu atau saya terima sebagai hadiah, sejadah yang satu ini tetap menjadi sejadah kesayangan kegunaan saya.

Walau sekadar alat dan alas ketika sedang bersolat, saya percaya orang lain juga tetap seperti saya: meletakkan sejadah miliknya di tempat yang tidak sampai dilangkah atau menjaganya  agar tidak sampai ditimbuni debu dan habuk.

Memang sejadah sekadar alat dan alas. Tetapi bagi saya, malah saya percaya bagi orang lain juga, sejadah sekaligus juga adalah lambang  bagi sebuah kepercayaan, keyakinan dan  kepatuhan seorang yang mengaku beragama dan hanya satu tuhannya, yang sentiasa perlu dipelihara dari segala noda dan perbuatan yang boleh sampai diertikan sebagai  telah dan boleh "mengotorkannya".

Memang "Mencuci Sejadah" (disiarkan di halaman 54, majalah Dewan Sastera, September 2010) hanyalah sebuah sajak perlambangan, yang bebas dierti serta dimaknai pembacanya sebagai apa sahaja. Walau mungkin makna penyair dengan makna yang dimiliki  pembacanya tidak sama dan serasi, namun sebagai penganut faham kebebasan berlandaskan agama dan moral, saya tetap menghormati kelainan dan ketidakserasian itu.

Sebagai penyair, saya selalu menghormati hak dan kebebasan orang lain sebagai pembaca. Jadi kelainan dan ketidakserasian makna antara saya dengan pembaca tidak pernah merusuhkan saya. 

Kerana itu jugalah maka saya tidak akan  sampai ke tahap untuk menuduh mereka sebagai seorang pembaca yang bebal dan tidak mengerti dunia sajak, semata-mata kerana mereka memiliki makna yang lain terhadap sajak ini, yang sekaligus juga, pada suatu tahap yang agak melampau merubah satu atau dua kata di dalam sajak saya itu. 

Saya tidak akan sama sekali sampai mempunyai anggapan demikian terhadap mereka.

Lewat sajak "Mencuci Sejadah" ini, memang saya mahu menyata dan menyampaikan sesuatu.

Ianya berhubung dengan kepercayaan dan keyakinan agama milik saya, yang mempercayai bahawasanya Tuhan saya hanya Satu dan kata sebutannya juga bukan suatu ucapan yang boleh dipermainkan untuk sebuah retorik keagamaan lain yang jelas langsung tiada kena mengena dengannya.

Walau di mata banyak orang saya mungkin dianggap sebagai hanya seorang penyair kerdil yang sebenarnya tidak apa-apa, namun itu tidak bererti agama saya boleh diludahi.

Seperti juga orang lain yang mahu hak dan agamanya dihormati, saya juga demikian.

Saya harap ini dapat dimengerti oleh sesiapa sahaja yang cuba berlagak tidak tahu dan mengerti. 

Malah, jangan mudah menuduh saya fanatik atau ekstrimis bila saya katakan betapa kerana agamanya, siapa pun dia, sanggup mati kerana agama dan tuhannya.  Tetapi, itu tidak bererti, dia boleh pula sewenangnya mengganggu dan cuba mempermainkan agama dan kepercayaan milik orang lain pula.

Memang saya tidak mahu terlibat dengan duga dan hujah bodoh yang sengaja dicuba-cuba untuk memperbodohkan. Kerana itulah saya menyebutkan seluruhnya di dalam sajak ini:

MENCUCI SEJADAH

Aku tahu berbeza kita di jalan
Tidak mungkin seiring
Atau seganding berpimpin
Niat dan hendak

Kerana satu kiblatku adalah
Sebuah rumah bernama kaabah
Dan kau memilih sujud
Ke arah berhelah

Cabarku membara
Ketika kau melontarkan muntah
Dan ludah
Ke atas sejadah

Aku tahu segala helah
Dan hujah murah
Walau memesong pemuka
Bodoh dan lemah

Mengajak teduh di bawah kubah
Retak dan pecah.

Oktober 21, 2009
  
Memang sebuah sajak hanyalah sebuah sajak, yang tidak akan mungkin mampu meruntuh bukit dan gunung-ganang. Malah memang sejak dari dulu saya tidak pernah mempunyai harapan dan cita-cita muluk, misalnya untuk melihat bagaimana sebuah sajak  sampai dapat meleburkan sebuah kuasa dan pemerintahan  yang angkuh dan sombong, atau paling tidak  pun, dapat  menyedarkan sejuta manusia yang bodoh. Saya tidak pernah pun mempunyai harapan dan cita-cita sebegitu.

Sebagai penyair saya hanya mahu menyatakan sesuatu.  Tidak lebih dari itu.  Kemudiannya, begitu sajak itu selesai saya tulis dan dibaca khalayak,  bererti saya sudah pun  menunaikan sesuatu yang saya fikir merupakan sebuah tanggungjawab saya sebagai seorang peribadi.

Atau katakan pula ketika sajak saya itu disiarkan di sebuah majalah, terjadi misalnya penggalan atau kata yang diubah berbanding dengan teks asal sajak saya,  saya sedikit tidak ingin mengatakan bahawa ini sesuatu perbuatan yang melampau, yang boleh menyebabkan diri manusia saya tiba-tiba  telah berubah menjadi seekor baghal.

Sama sekali tidak.

Walau apa pun yang terjadi, saya masih tetap saya. Akan kembali ke dalam kamar diri, berhening sendiri, berfikir dan merenung dan menulis terus menulis.

Walau kemudiannya, andai sajak yang saya tulis itu disiarkan di mana-mana majalah atau akhbar akan menerima nasib diubah atau dipenggal lagi, saya masih tetap tidak mahu mengambil sikap marah dan bersedih kerananya.

Saya katakan begitu kerana saya tahu tidak ada gunanya untuk berbuat hal yang demikian.   Tugas saya sebagai penyair hanyalah menulis dan menyatakan segala sesuatu. Namun untuk menentukan kecerdikan atau kebijaksanaan orang lain, saya tahu itu bukan tugas saya.

Walau apa pun, saya tetap ingin berterima kasih. 

September 23, 2010

Tiada ulasan: