Sabtu, September 18, 2010

TANPA MEMBACA, MANA MUNGKIN SAYA DAPAT MENULIS

MENULIS bagi saya adalah suatu keseronokan yang  sekaligus mendatangkan rasa bahagia. Terutamanya kerana dengan menulis saya dapat menyata dan meluahkan segala sesuatu yang ingin saya luah dan kongsikan dengan orang lain yang sudi mendengar serta membaca.

Tetapi saya tidak menjadi penulis secara tiba-tiba. Walau minat atau cita-cita itu, akibat pengaruh atau lingkungan keluarga, memang mungkin sudah ada di dalam diri saya,   tetapi rasa saya, jauh dan lama sebelum itu, ada proses lain yang telah saya lewati sebelumnya. Kalau tanpanya, saya rasa, sampai kini saya tidak akan mampu menulis dan menjadi penulis seperti hari ini.

Proses lain itu maksud  saya, tidak lain adalah proses bagaimana saya belajar mengenal huruf demi huruf dan kemudian, menanamkan minat yang mendalam terhadap bahan-bahan bacaan sehingga menjadi suatu amalan dan tabiat.

Tanpa proses itu,  saya rasa, saya tidak akan mampu menulis dan menjadi penulis  seperti hari ini. Dan proses membaca itu bagi saya, bukanlah sesuatu yang ditunaikan secara ala kadar atau apa adanya, asal sahaja namanya membaca dan bila datang rasa ingin sahaja.  Sebaliknya, ianya suatu amalan dan tabiat yang boleh saya katakan sampai ke  tahap yang agak ekstrim.

Saya katakan begitu kerana saya masih ingat ketika saya masih kecil,   ketika dibawa menemani nenek bertandang ke rumah jiran, jika dihidangkan juadah dan minuman, saya tidak begitu suka menyentuhnya. Sebaliknya, saya lebih tertarik dan meminta tuan rumah agar sudi mengizinkan saya membelek longgokan majalah atau akhbar milik mereka yang tergeletak di  ruang tamu. Perbuatan saya ini, selalu sahaja mendapat upah cubitan di peha dengan alasan memalukan orang tua. 

Ketika itu saya memang belum mengenal huruf dan tidak pandai membaca.  Namun ketertarikan terhadap huruf dan gambar-gambar di dalam majalah atau akhbar selalu memancing rasa ingin  tahu saya.

Tahap paling ekstrimnya, saya masih tidak lupa bagaimana kalau berjalan di bandar, saya selalu dimarahi dan dihalang oleh ibu saya agar tidak memungut helaian kertas akhbar atau majalah yang dijumpai di jalanan. Kata ibu saya, perbuatan mengutip cebisan kertas begitu adalah perbuatan orang gila.

Kemudian, ketika memasuki sekolah dan semakin pandai mengenal huruf serta boleh membaca, tuntutan saya terhadap bahan bacaan menjadi agak melampau.  Andai  diajak ibu atau nenek saya menemani ke bandar dan melewati kedai buku, saya akan merengek agar  diizinkan singgah dan apa sahaja buku yang saya nampak dan terpajang di depan mata, yang boleh saya baca tajuk atau judulnya, akan saya minta dibelikan ibu atau nenek.

Kerana itu, selalu saya dimarahi ibu atau nenek, dan malah ditempelak oleh penjual buku bahawa buku yang saya minta agar dibelikan itu bukan untuk bacaan kanak-kanak se usia saya.

Tetapi keghairahan saya terhadap bahan bacaan tidak pernah luntur. Kerana keghairahan itu, saya sanggup bertandang ke rumah pemuda bujang yang menjadi jiran di barisan berek  saya,  setiap waktu lapang selepas sekolah.  Puncanya, di dinding berek  pemuda ini dideretkan  komik-komik atau novel miliknya, seperti deretan yang saya lihat di gerai menjual majalah di bandar dan sesiapa sahaja boleh membacanya asalkan meletakkan kembali ke tempat asalnya setelah sudah membacanya.

Malah, kerana keghairahan itu, saya pada suatu hari dimarahi pemuda itu  kerana didapati membaca sebuah novel yang belum sampai dengan umur saya yang baru di darjah dua sekolah rendah.

Saya rasa, ketertarikan saya kepada bahan bacaan kerana sejak kecil saya sudah didedahkan dengan majalah  dan komik yang dibeli oleh almarhum bapa saya saban bulan kalau dia turun ke bandar selepas hari gaji.   Walau hanya seorang penoreh getah di sebuah estet di daerah pedalaman, bapa saya tidak lokek membeli majalah (hiburan dan filem) dan komik.


Malah, saya ingat saya mempunyai  kenangan yang indah dengan bapa saya bila saya dibawanya sama ke bandar pada suatu kali dan singgah di sebuah gerai menjual majalah.  Saya masih ingat, selain membeli beberapa keping tiket loteri, almarhum bapa saya membeli sebuah majalah dan komik.

Ketika sudah mulai bekerja dan mempunyai pendapatan sendiri, saban bulan saya selalu berhemat untuk membeli buku  dan majalah. Malah keborosan saya membeli sampai tiga atau empat majalah bila setiap kali ke bandar, menjadikan saya  pembekal bahan bacaan yang tidak rasmi kepada jiran yang tinggal di hadapan berek. 

Tetapi saya tahu dan sedar juga, keghairahan terhadap bahan bacaan kadang menjadikan saya pelik dan ganjil di mata  kawan-kawan sebaya atau yang lebih berusia di estet tempat saya hidup dan mencari rezeki. 

Mereka selalu bertanya dan kadang-kala seperti menyindir juga, apakah saya mahu masuk belajar ke universiti bila melihat saya banyak membeli buku dan majalah sastera, yang menurut mereka   sebahagiannya amat memeningkan kepala dan susah untuk mereka fahami isi kandungannya.

Kerana dianggap pelik dan ganjil itu jugalah, ketika mulai hidup berkongsi berek dengan teman sebaya, saya dibiarkan tinggal seorang diri di sebuah kamar dan mereka pula berkongsi seramai tiga orang di dalam sebuah kamar yang lain di sebelah.  Di kamar, ketika saya asyik dengan buku dan berlatih menulis, mereka di sebelah pula mendengungkan lagu dan muzik dari kaset.

Ketika itu, selain novel yang saya anggap sastera dan majalah sastera yang saya anggap sebagai buku panduan menulis saya, buku karangan Hamka berjudul "Falsafah Hidup" yang saban hari saya baca dan letakkan di meja, menjadi buku panduan yang meredamkan gelisah jiwa remaja saya dan sekaligus juga menjadi buku bantu penguat semangat jiwa dan diri.

Sesekali ada juga teman yang singgah berkunjung ke kamar saya,  tumpang membaca novel, atau membelek apa yang sudah saya tulis dan saya biarkan tergeletak di meja dan selalu bertanya apakah saya becita-cita mahu menjadi ahli falsafah kerana membaca "Falsafah Hidup" karangan Hamka itu.

Tentu sahaja saya tidak pernah ambil peduli dengan segala ocehan mereka.  Saya tetap juga membeli  buku dan majalah sastera jika setiap kali saya turun ke bandar selapas hari gaji. Walau gaji sebagai buruh kilang di sebuah estet tidaklah sebesar mana, namun  saya berhemat demi untuk sebuah buku dan majalah.

Ini merupakan tahun-tahun awal saya berusaha membentuk diri saya menjadi penulis. Saya tahu, hanya sebagai seorang pelajar yang tercicir  selepas hanya setahun   di  sebuah sekolah menengah, tiada siapa yang akan membantu saya untuk menjadi penulis kalau bukan dengan usaha saya sendiri.

Saya tidak pernah mahu bersedih dan mengenang lara nasib diri yang kehilangan bapa di usia yang masih kanak dan mulai bekerja menafkahi dirinya sendiri sejak usia tiga atau empat belas tahun sebagai buruh ladang di sebuah estet milik bangsa penjajah.

Saya membaca dan membaca dan kemudian belajar sendirian bagaimana untuk menulis cerpen, novel dan sajak.  Saya sedar saya orang yang tidak tinggi pelajarannya dan saya  belajar bersendirian bagaimana agar tidak mudah patah semangat.

Saya tahu dan sedar apa yang sudah saya tulis belum pun sampai ke tahap magnum  dan saya tidak pernah mahu menyombongkan diri saya dengan apa yang masih sedikit saya kerjakan itu. Malah saya tahu dan sedar, kalau dibandingkan dengan sesiapa pun di segi jumlah, karya saya sendiri pun masih tidaklah sebanyak mereka yang lebih kemudian dan lebih rajin berkarya berbanding diri saya itu.

Hanya satu, selalu saya katakan kepada diri, di segi ilmu saya sedar saya memang tidak memiliki ilmu yang tinggi. Kerana itu, modal saya hanyalah kejujuran dan ikhlas dengan karya saya sendiri. Saya hanya bercerita dan berkisah mengenai sesuatu yang saya benar-benar tahu dan seboleh mungkin berusaha untuk mengelak dari berlagak  lebih tahu atau menyombongkan  keterlaluan cerdik dirinya sendiri  ketimbang orang lain.  

Kata saya kepada diri, biarlah saya tetap menjadi diri saya, seperti apa adanya.

Apa yang baru saya capai sehingga hari ini, tidak lain adalah suatu proses  yang diadun dengan rasa yakin, pengalaman, kejujuran dan banyak dibantu oleh apa yang sudah dan telah saya baca.

Saya mengaku, sebagai penulis, membaca  bagi saya peribadi adalah suatu keperluan.  Malah, tidak keterlaluan rasanya kalau saya katakan keperluan untuk terus menerus membaca  itu tidaklah terhad hanya kepada siapa yang mahu menjadi penulis,  malah perlu juga diamalkan terus menerus oleh manusia yang lain dalam kehidupan sehariannya.

Tentu sahajalah, begitu usia kian meningkat dan pengetahuan menjadi kian bertambah, bahan dan apa yang dibaca itu semakin menjadi luas dan pelbagai.

Saya tidak lagi membaca bahan yang sastera, tetapi sudah semakin menjangkau ke pelbagai bidang yang lain.

Malah bahan bacaan saya tidak hanya buku dan majalah atau akhbar, tetapi menjangkau juga bahan-bahan yang dapat saya capai di ruang siber.

Ketika ini, usia saya kian dewasa dan kedudukan kewangan diri bertambah baik. Saya sudah berpindah kerja di bandar dan menyewa rumah sendiri, segala yang sudah saya baca, atau yang saya rasakan penting untuk saya jadikan bahan rujukan, akan saya kumpul dan dokumentasikan sebaik mungkin sebagai bahan rujukan.  

Malah kerana menyedari dan insaf saya bukanlah penulis yang menuntut di universiti dan berilmu  tinggi,  bahan-bahan rujukan berupa guntingan akhbar di dalam fail dan koleksi  rencana dari internet yang telah saya jilidkan menjai teman dan pembantu setia saya ketika menulis.

Hari demi hari, atau ketika sedang tertekan fikiran sehingga tidak didatangi  ghairah untuk menulis, saya mengisi waktu  mengemaskini bahan dokumentasi yang saya miliki. Ketika begitu, sering juga saya didatangi ilham untuk menulis sesuatu yang lain  dan "ilham" ini segera saya catatkan untuk ditulis lebih teliti kemudian nanti.

Malam ini, saya seperti selalu berkurung di kamar ini.  Kerana tidak berasa terlalu ghairah untuk menulis, saya beralih merenung guntingan akhbar dan deretan fail dokumentasi milik saya. Sejumlah fail dan guntingan akhbar saya kemasi. Baru saya benar-benar sedar,  saya rupanya sudah memiliki 174 fail pengarang tanah air yang saya kategorikan muda  dan belum mapan,  tujuh fail mengenai pengarang dunia, satu fail induk yang memuatkan guntingan maklumat sasterawan Indonesia, 54 fail sasterawan tersohor mapan tanah air, kurang lebih 40 fail am pelbagai judul dalam semua kategori dan terakhirnya; 80  jilidan kertas kerja dan rencana yang saya dapatkan dari internet sebagai bahan rujukan.

Kesemua fail dan bahan dokumentasi ini, tersimpan rapi di kamar kecil tempat "persembunyian"  saya, yang memang terselindung dari tatapan pelawat  atau yang berkunjung ke rumah saya. Seingat saya, di kalangan rakan dan taulan, tidak sampai sebelah tapak tangan jumlahnya yang telah melihat khazanah milik saya ini.

Selain sebagai bahan rujukan peribadi, sebahagian maklumat ini saya olah dan proses kembali menjadi tulisan yang lain, yang  bercerita mengenai teman-teman atau bukan teman  secara apa adanya.

Saya mengaku, tanpa membaca dan dibantu juga dengan bahan-bahan yang memang dengan sengaja dikumpul sebagai bahan bantu dan dokumentasi,  saya tidak akan mungkin mampu menulis dan terus menulis.

Setiap kita memang perlu membaca dan sekaligus mematangkan dirinya hasil dari apa yang telah dibacanya.

Namun, andai  keperluan saya yang memang sangat peribadi  yang saya hebah-hebahkan ini,  andai  sehinggakan boleh menimbulkan kesan di mata penilaian orang lain sebagai kehendak untuk menunjuk-nunjuk, berlagak dan menyombongkan dirinya sendiri, bukanlah maksud saya untuk berbuat demikian.

Tulisan saya ini sekadar suatu pengakuan dari seorang penulis yang masih terus berusaha mencerdikkan dirinya sendiri melalui bacaan.  Tidak lebih selain itu. 

Jika ada yang selebihnya ditanggapi, terserah.

Saya juga tidak bermaksud mahu menyindiri sesiapa yang suka bercerita mengenai buku apa yang mereka beli dan baca sebagai mereka yang suka berlagak dan mahu menyombongkan diri.

Itu semua terserah mereka.

Kerana saya, sekadar ingin bercerita dan bukan ingin berlagak atau membanggakan  apa-apa.

September 18, 2010

6 ulasan:

JahRera berkata...

salam sdr Marsli,

sangat setuju.

Selamat menyambut Syawal.

MARSLI N.O berkata...

Salam kembali Sdr JahRera: Terima kasih atas reaksi dan tanggapan. Salam Idulfitri juga dari saya. Selamat terus berkarya buat Sdr.

MARSLIN N.O

Hashim Zabidi berkata...

Dimana ada kemahuan, disitu ada jalan. Jalan yg sdr lalui sangat menakjubkan. Tahniah dari saya sepanjang hayat.

MARSLI N.O berkata...

Salam Idulfitri Pak Hashim. Terima kasih atas kunjungan dan reaksi.

Al Ghazali Sulaiman berkata...

Salam Aidilfitri Pak Marsli,

Membaca entri terbaru Pak, membuatkan emosi saya mengocak dan menyuguh jiwa. Satu perkara yang membuatkan saya kagum dengan Pak ialah bagaimana acuan ikhlas dan kejujuran yang Pak sentiasa amalkan bagaikan sudah bersebati dalam denyut nadi.

Membaca susur hidup Pak sememangnya menyegarkan. Tidak dapat tidak, menjadi panduan yang amat berguna buat penulis pucuk seperti saya (kalaulah sudah boleh bergelar penulis) untuk terus mendukung keikhlasan dalam berkarya.

Semoga Pak akan terus bersemangat dan menulis tanpa henti. Doa saya akan menemani setiap langkah murni Pak.

MARSLI N.O berkata...

Salam hormat Sdr Al-Ghazali: Terima kasih atas respon dan reaksi. Saya hanya mampu bercerita apa yang saya tahu. Mohon maaf kalau ada yang menyinggung atau terkesan seperti mahu menyombongkan diri sendiri.

Buat Sdr selamat berkarya dan selagi yakin kepada diri sendiri, Sdr pasti akan berjaya jua.

MARSLI N.O