Jumaat, September 17, 2010

RIDZUAN HARUN: MENJADI PENULIS TANPA SEDAR


RIDZUAN HARUN  atau nama penuhnya Mohd Ridzuan Harun lahir 1 Jun 1975 di  Kebun 500, Pokok Sena, Kedah. Pendidikan awalnya di Sekolah Kebangsaan  Haji Idris, Tajar, Pendang.

Tahun 1988 hingga 1992 Ridzuan mendapat pendidikan menengah di Sekolah Menengah Jabi, Pokok Sena sehingga Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan dari tahun 1993 hingga 1994 belajar di Sekolah Menengah  Dato' Syed Omar, Alor Setar sehingga STPM.  Namun begitu, Ridzuan gagal memperolehi sijil penuh.

Kegagalan itu tidak mematahkan semangat Ridzuan. Percubaannya kali kedua menerusi sekolah swasta pada tahun 1996 telah berjaya dan beliau berhasil menggenggam segulung sijil penuh STPM.

Dengan sijil penuh STPM itulah yang kemudiannya melayakkan Ridzuan melanjutkan pengajiannya ke Universiti Putra   Malaysia (UPM) dari tahun 1997 hingga 2000 di bidang  Bacelor Sastera (Pengkhususan Bahasa dan Linguistik Melayu).

Tamat pengajian dari UPM, Ridzuan bekerja sebagai penyelia di sebuah setesen minyak di Kajang sehingga tahun 2002. Pada waktu sama usahanya untuk bertugas atau berkhidmat di mana-mana lokasi atau jabatan yang sesuai dengan bidang pengajian serta kelulusannya tetap diteruskan juga.

Usahanya  tanpa jemu  berjaya dan mulai 2002 Ridzun diterima bertugas sebagai Pegawai Kebudayaaan di Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan (kini Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan).

Jawatan tersebut telah menempatkan Ridzuan di Akademi Seni  Budaya dan Warisan Kebangsaan atau ASWARA  (dahulunya Akademi Seni Kebangsaan) dan  kini di Jabatan Penulisan institusi yang sama..

Sebagai penulis, karya Ridzuan berupa puisi dan cerpen  tersiar di pelbagai media seperti Dewan Siswa, Dewan Sastera, Dewan Budaya, Tunas Cipta, Wanita, Karya, MASA, Berita Minggu dan Mingguan Malaysia.

Di dalam kumpulan bersama pula, karya Ridzuan turut dimuatkan di dalam “Perjuangan” (DBP, 1996), “Ilustrasi Sekeping Hati” (DBP, 1997) dan “Di Tangga Alaf” (MKN, Kedah, 2000).

Tahun 1995, sajak Ridzuan “Bicara Buat Guru” yang dikirim ke majalah Dewan Siswa (ketika itu  dieditori oleh Hassan Alias) telah disiarkan. Penyiaran sajak ini benar-benar menggembirakan Ridzuan dan semangat menulisnya semakin berkobar.

Tahun 1996 sajak tersebut telah dinobatkan sebagai salah satu  di antara pemenang Hadiah Sastera Siswa-Bank Rakyat 1995. Sajak ini kemudiannya terpilih sebagai salah satu sajak untuk teks KOMSAS “Seuntai Kata Untuk Dirasa”.

Penyiaran pertama sajak ini dan kemenangan tersebut diakui Ridzuan secara peribadi membuatkan dia tetap berasa terhutang budi kepada Hassan Alias, editor pertama yang memberi perhatian terhadap karya sajaknya ketika itu.

Tahun 2008, kumpulan sajak beliau “Suluk Cinta” diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka. Kumpulan setebal 114 halaman ini  memuatkan 85 sajak beliau yang ditulis sekitar tahun 1997 hingga 2007.

Namun begitu, meski  telah melahirkan sebuah kumpulan sajak,  pernah menang hadiah dan karyanya dipilih antara yang menjdi teks KOMSAS,  Ridzuan mengaku dia sebenarnya memasuki dunia tulis menulis ini, atau dalam kata hebatnya sebagai penyair, secara tidak sedar atau tidak sengaja.

“Sedar-sedar saya sudah  berada di dalamnya. Tetapi itu pun Cuma di pinggiran,” begitu penyair yang selalau bersikap merendah diri ini mencatat dalam wawancara siber dengannya.

Tetapi ketertarikannya ke dunia tulis menulis ini diakui ada hubung kait dengan dunia masa kecilnya yang selalu berasa sunyi. Kebetulan juga bapa saudaranya ber sekolah aliran sastera dan  ada beberapa buku sastera yang  membuka keinginannya  untuk menyelak-nyelak dan membaca.

Keseronokan membaca di peringkat tidak tahu apa-apa mengenai sastera itu menimbulkan rasa kagum di dalam hati Ridzuan. Baginya ketika itu, penulis yang boleh mengarang cerita mestilah manusia yang  luar biasa.

Pesona awal bacaannya adalah novel. Kemudiannya baru berpindah ke sajak. Sajak “Gadis di Kuburan” karya Usman Awang dan “Meditasi” Kemala menjadi lahapan bacaannya.

Teks “Bunga Gerimis” yang digunakan  di sekolah, tetapi tidak disentuh ajar guru, konon susah untuk  menjawab soalan SPM, juga dibaca  Ridzuan sampai lunyai.

Dari situ timbul gerakan di dalam dirinya untuk cuba menulis dan ruangnya adalah di dalam halaman kosong buku catatan sekolah yang sudah habis di gunakan. Halaman kosong itu  dipotong-potong dan dijadikan buku nota untuknya  menulis sajak.

Ketika itu Ridzuan di Sekolah Menengah Jabi, Pokok Sena. Hasil tulisannya selalu ditunjukkan kepada guru sasteranya bernama Hassani Dali. Ridzuan semakin menjadi bersemangat menulis kerana dorongan guru sasteranya itu.

Memang pada mulanya Ridzuan berminat menulis novel. Namun menyedari menulis novel bukanlah pilihannya, begitu menanjak remaja, Ridzuan berasa sajak lebih memukau beliau.
Bagi Ridzuan,  sajak itu mempunyai magisnya yang tersendiri,  mampu menjadi terapi batin yang sangat sempurna dan boleh  menjernihkan jiwa manusia. 

Secara seriusnya, Ridzuan mengaku tahun  1995 adalah permulaannya terlibat ke dunia sajak. Dunia ini lebih sungguh-sungguh digulatinya selepas perkenalannya dengan penyair Rahimidin Zahari ketika Minggu Penulis Remaja (MPR) yang disertainya pada tahun MPR 1996.

Malah dorongan  Rahimidin Zahari jugalah yang menyebabkan dirinya berasa yakin untuk mengirimkan manuskrip kumpulan sajaknya “Suluk Cinta”  untuk pertimbangan penerbitan di Dewan Bahsa dan Pustaka.

Ridzuan mengaku,  sebahagian besar puisinya  yang dikumpulkan di dalam “Suluk Cinta”  menjurus kepada percakapan diri dengan pencipta untuk mencari kesempurnaan; boleh disebut seperti perjalanan penyair dalam meraih cinta-Nya, walaupun bertolak dari isu peribadi sendiri. Selebihnya ada juga hal-hal semasa dan sejarah.

Sehingga kini, kumpulan sajaknya “Suluk Cinta” telah dibicarakan oleh S.M Zakir di Diskusi Mantan Minggu Penulis Remaja (MPR) pada 2 Ogos 2008 di Dewan Seminar, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur  dan Zaen Kasturi.

Jika S.M Zakir melihat kumpulan sajaknya ini dari aspek puitika Melayu, Zan Kasturi pula melihat kumpulan sajak ini dari aspek psikologi harapan

Secara beterus terang Ridzuan mengaku dia tidak mahukan  apa-apa dari puisi. Sebaliknya, cukuplah dia sahaja yang memberi, walau sedikit; puisi perlu terus hidup kerana puisi selamanya akan kekal sebagai puisi.

Menurut hemat Ridzuan, di Malaysia puisi tidak diletakkan di tempat yang sewajarnya. Dunia sastera kita terbiar jauh ke belakang  dan di sekolah  sastera perlahan-lahan   dibunuh. Di segi jualannya pula, buku sastera juga  agak perlahan jualannya.

Bagi Ridzuan, tiada apa yang seronoknya menjadi penyair selain kerseronokan bermain  dengan kata-kata.. 

Sumber Siaran:  Siasah Bil 0217 12 – 18 September 2010

2 ulasan:

benuasuluk berkata...

Sdr. Marsli yang baik hati,
saya sangat hargai usaha dan kerja sdr. Terima kasih kerana memilih saya; yang selama ini selesa berada di pinggir. Saya hargainya; dan sekali lagi terima kasih. Tulisan sdr. memberikan saya inspirasi baru.

MARSLI N.O berkata...

Sebagai pengumpul data, saya juga berterima kasih atas kerjasama dan pengertian Sdr. Andai dapat memberikan sedikit sesuatu kepada Sdr, saya ucapkan syukur. Saya ucapkan selamat terus berkarya dan maju jaya.

MARSLI N.O