Ahad, Januari 15, 2012

BERLAKU


PERISTIWA adalah segala benda dan perkara yang sudah berlaku serta menjadi kejadian. Kebodohan dan kecerdikan adalah pilihan, sama ada secara sedar mahupun tidak. Begitu juga keangkuhan dan keegoaan.  Hasrat untuk menipu rakyat diselindungkan dengan laungan atas nama pembelaan, maruah dan nasib masa depan. Tetapi maruah apa, masa depan siapa? 

Atau mereka yang menulis karya mendakwa menulisnya atas nama ilmu dan berlagak gaya sebagai intelektual. Bukankah  tahu kucing pun ilmu juga dengan kepintaran  serta kelicikan hujah. Apa lagi bila punya sejumlah pendokong yang taksub.

Siapa yang berkuasa untuk memutar jarum takdir dan merubahkan kejadian? Kita penerima tetapi diberikan akal untuk berfikir: menerima atau menolak. Di sebaliknya adalah makna-makna yang tersembunyi dan akan hanya dimengerti dengan otak yang berfikir.  

Seperti pagi ini, semakin jelas kebodohan sendiri. Ketika mata yang dianugerahi Tuhan diguna hanya untuk melihat keindahan di permukaan. Atau bersama ikut di dalam gerombolan ya yang dengan sengaja menjadikan matanya buta.

Tetapi menangis dan membebel sendiri juga tidak memberikan apa-apa. Si pelahap dan para penyunglap datang dan tampil  dengan gaya serta caranya sendiri dan kemudian, pulang dengan perolehan masing-masing.

Kau mempercayai Tuhan kerana ingin selalu menjadi dirimu sendiri. Tetapi para penyunglap itu juga mengaku mereka juga memiliki tuhan dan mempercayainya sepenuh hati. Jadi siapakah di antara kau dan mereka yang lebih bertuhan?

Peristiwa yang berlaku akhirnya disebut menjadi kejadian demi kejadian. Apa yang berlaku, yang penting kau memilih menjadi apa?

Siapa peduli pilihanmu adalah hidup bergalang dosa sepanjang hayat. Siapa peduli.  Kau yang memilih dan bukan orang lain.

Bercintalah terus andai itu menjadikan kau berasa selalu muda dan bahagia. Tetapi kalau kecundang kerana kebodohan sendiri, jangan salahkan sesiapa.

Cuma, bertaubatlah sebelum terlambat tatkala asyikmu melayan segala yang bejat atau menjadi budak syahwat.

Jangan risau. Aku cuma berkata-kata kepada diriku sendiri.

Januari 15, 2012

Tiada ulasan: