Sabtu, Januari 14, 2012

MAMPUSLAH


BAYARAN RM 30.00 untuk sebuah karya di zaman canggih di abad 21 ini bunyinya macam tidak masuk akal. Tetapi jangan lupa, kadar bayaran sebegitu masih berlaku. Bukan hanya untuk sebuah karya, malah untuk sebuah sajak pun masih berlaku.

Walau pun begitu, kesudian pemilik akhbar atau majalah berkenaan untuk tetap membayar karya penulis yang disiarkan mereka, walau pun kadarnya mungkin rendah atau macam tidak masuk akal, masih dapat dikatakan perbuatan yang bertanggungjawab dan tidak terlalu menghina penulis.

Saya katakan begitu berdasarkan pengalaman. Di samping banyak syarikat atau pemilik akhbar yang sungguh bertanggung jawab terhadap penulis di segi bayaran terhadap karya penulis  yang mereka telah pilih untuk siarkan, terdapat juga sejumlah  pemilik akhbar dan majalah yang memang tidak  bertanggungjawab dan punya rasa kasihan belas terhadap penulis. 

Saya katakan begitu berdasarkan apa yang dialami sesudah puluhan tahun menulis. Pengalaman diperhina dan dipermainkan penerbit yang menyiarkan karya saya yang tidak mahu membayar walau pun sedikit saguhati atau honorarium sudah lali saya alami.

Pelbagai cara permainan dan sandiwara mereka. Yang memang sejak mula sudah diduga memang tidak berniat untuk membayar bila akhbar atau majalah mereka tidak mahu membayar karya penulis yang mereka siarkan.

Bila dihantar surat menuntut sedikit bayaran saguhati secara baik dan sopan, tiada mereka berikan jawapan.  Setelah di telefon dan di tolak panggilan ke sana dan ke mari, akhirnya dikatakan surat tuntutan bersama salinan karya tidak mereka terima. Bila dirayu-rayu barulah berjanji hendak membayar dan meminta nombor akaun bank untuk dimasukkan bayaran.  

Tetapi berminggu-minggu ditunggu, bayaran tidak juga dimasukkan. Bila dihubungi lagi lewat telefon, baru mengaku syarikat mereka ada masalah kewangan. Bila ditelefon lagi pada minggu-minggu berikutnya, nada yang menjawab semakin meninggi dan membentak-bentak.

Ini antara pengalaman yang saya alami. Pengalaman menulis pelbagai artikel budaya ke sebuah tabloid memang berakhir secara begitu. Tetapi dalam keadaan syarikat menghadapi masalah kewangan, orang yang bercakap dengan saya itu khabar yang disampaikan oleh seorang petugas di dalam syarikat itu yang kebetulan adalah kawan saya,  gajinya bermula dengan angka 4.

Pengalaman seperti itu bagi saya memanglah tidak pernah membuat saya untuk merajuk dan tidak mahu lagi menulis dan menghantar karya.  Cuma jauh di sudut hati, saya fikirkan apa kesannya kepada teman-teman muda yang baru ingin menapak sebagai penulis.  Saya harap mereka juga tidak akan mudah kecewa dan merajuk tidak mahu menulis andai terkena juga.

Bagi seorang yang memilih menjadi  penulis, menulis adalah tetap menulis. Saya percaya itu. Lainlah kalau dia sudah menjadi kaya dan bergelar Datuk atau Tan Sri.

Itulah asam garam dunia penulis. Diperhina dan dipermainkan memang bukan perkara langka. Jadi bersedialah untuk tidak mudah kecewa dan patah semangat. Menulis tetap menulis.

Dalam keadaan sedemikianlah, saya juga selalu bertemu dengan alasan-alasan bodoh di kalangan mereka yang rasa saya memang niatnya tidak mahu membayar penulis yang karyanya telah mereka siarkan.

Paling bodoh adalah alasan ini: syarikat kita menyiarkan karya penulis kerana hendak beri peluang kepada mereka sebagai penulis baru.

Peluang kepala hotak kau. Kalau tidak mahu bayar cakap sahaja terus terang. Tunggulah, sampai masa mampuslah syarikat kau itu. Tidak percaya tunggu dan lihatlah.

Dan selalunya memang begitulah. Tidak berapa lama, syarikat sebegitu akan mampuslah. Walau kononnnya telah dibeli oleh syarikat besar.

Tidak percaya? Tunggu dan lihat.

Januari 14, 2012

3 ulasan:

Lily Abdullah berkata...

Ya..saya sangat bersetuju dengan tulisan ini.

Apa mereka fikir. penulis boleh menanak nasi pakai pasir.

Apa minyak petrol bisa digantikan dengan air?

Tapi bak kata saudara kerana minat dan cinta "Apa-apa pun,menulislah"

Agar jiwa tidak kosong dan patah.

NASSURY IBRAHIM berkata...

Lebih malang lagi ada karya tidak mendapat honorarium. Selamat berkunjung ke maniyamin.blogspot.com

MKriza berkata...

Tuan terima kasih atas perkongsian. Saya yakin saya akan melalui benda yang sama. Malah saya pernah melaluinya. Zaman berubah tapi mentaliti tidak berubah. Kadang-kadang terfikir saya, apa tujuan saya menulis? Saya juga mahu duit dan kaya. Emm...