Jumaat, Januari 13, 2012

BERPISAH DAN BERTEMU


SETIAP kali bertemu dan hati tergetar, selalu saya peringatkan diri agar tidak mudah percaya dan menerima. Sungguh saya tidak mahu percaya serta terlalu mudah menerima. Sebabnya mudah dan jelas, saya takut itu hanyalah fatamorgana, yang sementara dan sia-sia. Lalu seperti selalu, saya juga kemudiannya yang sendiri akan   menjadi kecewa.

Tetapi itu hanya kehendak dan niat. Bila tiba waktu dan saatnya datang, saya mudah pula menjadi lupa diri apa yang sudah selama ini cuba saya jauhi.  Saya menjadi terlalu lemah dengan kebaikan dan  lemah lembut. Apa lagi jika bersama kebaikan itu diucapkan juga ruang serta harapan.

Ternyata sekarang saya kecewa lagi. Dan saya perlu berjalan lagi mencari sesuatu yang pasti dan abadi. Saya tidak ingin salahkan sesiapa. Kerana luka apa pun,  akhirnya bukan untuk hanya diratap serta ditangiskan.  Saya belajar untuk lebih bersimpati dan menjadi lelaki yang lebih mengerti. Walau kerananya saya sentiasa akan diuji.

Kepada yang pernah sekejap hadir ke dalam hidup saya, jangan risaukan apa-apa.  Lelaki yang berani dan sejati tidak perlu diberitahu bila waktunya mesti pergi. Kerana, dia tahu memilih sendiri waktunya. Sama ada untuk terus menjadi penanti atau memilih jalan lain yang lebih menyendiri.

Januari 13, 2012.

3 ulasan:

Tetamu Istimewa berkata...

Tahniah Tuan puisi Dunia Bayang di Dewan Sastera, Januari 2012.

MARSLI N.O berkata...

Sdr Mohd Helmi Ahmad: Puisi yang sekadarnya sahaja. Tetapi terima kasih kerana sudi membaca dan memaklumkan. Kepada Sdr juga, saya ucapkan selamat terus berkarya.

MARSLI N.O

Tetamu Istimewa berkata...

Saya belum lagi membacanya Tuan. Dari bulan November hingga sekarang belum dapat menatap Dewan Sastera. Entahlah di mana silapnya. Bila ke kedai dijawabnya belum sampai.