Khamis, Januari 26, 2012

KATA LALUAN


KALAU guna yang bahasa Inggeris, "password" kan lebih ringkas dan tepat. Tetapi pedulilah. Kerana ada yang di dalam bahasa emak bapa saya Melayu, sebab itu saya gunakan yang Melayu. Dan kau pun janganlah mengada-ada hendak komen aku buat silap bila cakap bahasa Melayu dan bukan bahasa Malaysia. Suka hati akulah.

Ini kisah pagi semalam. Beberapa kali cuba menziarahi seorang sahabat penyair. Mesej ralat yang dipaparkan menyebut: "blog ini telah dipindahkan".

Baru di sebelah malam sahabat ini mengaku betapa dia akses atau masuk ke blognya awal tadi pagi dengan katalaluan miliknya dan tanpa mengklik butang keluar atau logout, blognya itu ditinggalkan begitu sahaja.

Saya bukan pun pakar komputer atau belajar khusus mengenai teknologi maklumat. Tetapi pengalaman mengajar saya betapa perbuatan sahabat penyair ini memang sengaja menempah nahas.  Apa lagi sebelum ini, sebuah blog lain milik sahabat ini, yang ditinggalkannya tanpa ditutup akaunnya, juga pernah diceroboh dan dimuat turun dengan pelbagai artikel yang mengarut serta memalukan oleh entahkan siapa.

Ini sebenarnya prinsip yang sangat asas. Masuk dengan kata laluan dan perlu pastikan setelah selesai kemudiannya untuk keluar dan menutup kata laluan secara rasmi.

Memang kita sebagai manusia biasa mudah tertipu. Kisah akaun email yang diceroboh, akaun bank yang tiba-tiba susut atau hadiah yang dijanjikan tidak kunjung tiba setelah sejumlah wang tunai dimasukkan ke akaun bank atas nama tertentu.

Saya sendiri seringkali menerima email yang sama dengan nama email saya, yang menawarkan jualan dengan harga istimewa pil Viagra atau Cialis dan sesekali alat untuk memperbesarkan alat kemaluan lelaki. Atau dengan nama email yang sama juga, seringkali saya menerima maklumat iklan produk-produk kesihatan lain berkaitan dengan seks dan tenaga kelakian.

Dan tidak mustahil, satu hari nanti bakal ada teman atau sahabat saya yang menerima email supaya mereka menghulurkan sejumlah derma ke dalam akaun bank atas nama tertentu, kononnya sebagai bantuan terhadap diri saya yang kononnya sedang ditahan di sebuah negara antah berantah atau sedang menghadapi kesulitan kewangan yang amat mendesak.

Bagaimana "mereka" ini boleh menceroboh?

Seingat saya, kurang lebih lapan atau enam tahun yang lalu saya pernah menerima email yang berselindung atas nama "verify email yahoo" yang mengatakan andai saya tidak mengirimkan maklumat kata laluan, email saya tidak akan dapat diakses. 

Dan di situlah tololnya saya waktu itu. Percayakan itu, saya memberikan maklumat yang dipinta "mereka".  Tetapi bila menyedari itu adalah perangkap beberapa bulan kemudiannya, saya menukar  kata laluan email saya kepada kata laluan baru.  Setidaknya, walau "mereka" boleh menyamar dengan nama email "marslino" saya, tetapi mereka tidak boleh menceroboh email peribadi milik saya sewenangnya.

Saya sedar juga, perbuatan menggunakan hanya satu kata laluan untuk semua akaun: email, blog, FB, twitter, tagged, YM dan segala macam akaun di internet atau siber, memang mengundang  bahaya. Hujah saya, bila satu akaun dibuka dengan kata laluan yang sama itu, pada waktu sama akaun lain boleh diakses oleh orang lain yang langsung tiada kena mengena, yang mungkin berniat tidak baik.

Melalui email juga saya sering menerima email yang mengaku dirinya hartawan, atau pemerintah sebuah negeri di Afrika yang telah digulingkan dan memiliki berbilion khazanah di dalam bank, atau juga email daripada mereka yang berwajah Melayu tetapi kini menetap di luar negara yang mengajak menjadi rakan kongsi perniagaan, atau daripada "mereka" yang mengaku mewakili bank tertentu yang meminta nombor akaun dan pin laluan daripada saya dengan tujuan untuk kemaskini dan pengaktifan akaun.

Saya tahu itu semua hanyalah bohong dan bertujuan hendak menipu. Malah dalam satu email yang mengajak menjadi rakan kongsi, foto wajah gadis Melayu yang digunakan sebagai penyamaran "mereka" adalah foto isteri adik ipar saya di zaman remaja.

Memang pelbagai cara penipuan dilakukan "mereka" dan siapa sahaja yang kurang waspada, pasti akan terkena.  Tidak sahaja melalui internet atau siber, melalui khidmat pesanan ringkas (kpr) di telefon bimbit juga, penipuan juga berleluasa. Pesanan untuk mengirim video hangat atau menyambut pelbagai tawaran seolah-olah suatu iklan dan promosi bukan perkara langka lagi. Tetapi, sebaik sahaja diklik "ya" atau "y" bermulalah adegan sebenar  yang sangat menyakit hati, setiap lima minit "kpr" dari penyedia perkhidmatan berkenaan akan muncul di kotak mesej telefon menyatakan ada kiriman dan baki kredit dipotong dengan sekian jumlah atau dimasukkan ke dalam penyata bil di hujung bulan nantinya.

Tentu sahaja dengan segala kecanggihan teknologi, cara penipuan pastinya akan lebih canggih, advance, dalam pelbagai bentuk rupa serta media. Penipu sentiasa ada di mana-mana.

Tetapi ini tidak bererti dunia kini hanya dipenuhi para penipu dan manusia yang baik hati serta budinya sudah pupus dari muka bumi. Saya tidak maksudkan begitu.

Saya hanya bercerita secuil pengalaman yang sudah saya sendiri lalui secara saya selaku seorang peribadi. Dengan harapan,  ada yang dapat dikongsi dan sedikit memberi manfaat kepada pembaca lain.

Cukuplah. Itu sudah memadai. Kerana saya tidak ingin meminta banyak dari kehidupan yang terlalu pemurah ini. Terima kasih, Tuhan.

Januari 25, 2012

2 ulasan:

Tetamu Istimewa berkata...

Nampaknya selepas ini saya perlu berhati-hati kerana saya selalu juga tinggalkan blog tanpa menutup akuan blog dulu kerana internet yang lembab menyebabkan saya malas hendak menunggu akhirnya biarkan ia begitu saja.

Terima kasih Tuan Masli kerana berkongsi.

Naim berkata...

Ya. Hackers ni mmg licik.

Baru-baru ini ada kes mereka dapat memintas urusniaga tauke Jubin sehingga peniaga tersebut rugi lebih setengah juta RM. Mereka guna modus operandi sama iaitu menghantar emel menggunakan akaun emel peniaga bagi meminta bayaran dibuat.


Huh! Dunia siber sekarang macam2 boleh berlaku. Kita kena hati-hati.