Namun sampah tetaplah sampah. Walau disalut dengan label apa pun, tetaplah demikian sifatnya. Kerana sifatnya yang sampah, maka segala apa pun yang dipersembahkan atas nama sastera dan seni yang palsu itu, akan tetap terasa hambar dan langsung tidak mampu menyentuh takaran rasa dan jiwa, kecuali rasa mual, bosan dan menyampah terhadapnya.
Sastera dan seni sesungguhnya perlukan jiwa dan hati yang jujur tatkala mengucapkan segala sesuatu atas nama sastera dan seninya. Sesuatu yang kelihatan pada permukaannya terlalu mudah dan biasa, tetapi tetap akan terasa sentuhan dan usapan rasa sastera serta seninya ke takaran jiwa seni khalayak bila mana diucapkan dengan penuh rasa jujur.
Sesuatu yang extravaganza, bermegah-megah dan dengan lantang berkoar, belum tentu sebuah hasil sastera dan seni yang benar andai niat dan maksud persembahannya tidak lain hanyalah untuk menjilat-jilat dan mengampu segala pihak yang berkuasa dan mempunyai kuasa, atau membabi-buta menyokong sesuatu ideologi yang bukan bersifat sejagat, ingin dan menjadikan keriakan menunjuk-nunjukkan kemegahan dan kecantikannya sebagai matlamat.
Asas dan permulaannya, kejujuran dan keikhlasan itulah yang menentukan apakah sesuatu itu benar-benar sesuatu yang sastera dan seni. Walau siapa sahaja boleh mengaku keikhlasan dan kejujurannya dalam berseni, namun karyanya tidak akan mampu untuk menipu khalayak yang memang mencari sastera dan seni yang tulin.
Longgokkanlah seribu sampah atas nama sastera dan seni, namun yang kekal tetaplah segala sesuatu yang ikhlas, jujur dan seadanya untuk menyatakan apa yang menyentuh jiwa serta perasaan yang menghasilkannya.
Walau berselindung atas nama kehebatan ilmu bantu dan teori maha hebat, namun kebongkakan serta keriakan yang cuba diselindungkan itu, akan tetap terkesan juga.
Dan akhirnya, sastera serta seni yang demikian akan menjadikan diri serta peribadi penghasilnya tetaplah sampah juga.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan