Selasa, April 03, 2012

MAKAN


MEREKA yang berniaga dan berurusan dengan makanan sebahagiannya mungkin berfikir masak dan bubuhlah apa sahaja dalam masakan mereka, pelanggan yang datang bukan tahu membezakan mana yang sedap mana yang tidak.

Seperti apa yang saya alami kelmarin. Sesudah diberitahu apa yang saya pesan tidak lalu ditelan kerana terlalu masin, masakan itu di bawa ke belakang dan datang semula tidak sampai sepuluh minit.

Bila dicicipi, saya tahu masakan itu hanya di bilas sedikit dengan air atau entah dengan apa. Namun masinnya tetap terasa dan tidak menyelerakan langsung untuk ditelan.

Memang dahulu-dahulu pun saya banyak mendengar bagaimana tukang masak dan pembancuh minuman bekerja. Saya pernah dipesan  agar tidak memarahi mereka jika meminta minuman atau masakan disediakan semula.  

Saya diberitahu, jika berada di ruang memasak atau membancuh air yang terselindung dari pandangan kita sebagai pelanggan,  ada di antara mereka yang melepaskan geram amarahnya kerana di tegur dengan cara  meludah ke dalam minuman atau masakan.

Saya berasa kesal sungguh. Sudah diberitahu dan diminta agar dilakukan sesuatu dengan masakan itu dengan suara perlahan dan lembut, tetapi yang datang kembali ke meja saya tetap juga msakan yang rasanya terlebih disirami kicap masin atau garam.

Saya tetap membayar dan meninggalkan masakan itu di meja. Walau  mereka mungkin berfikir wang saya belum pasti menambahkan untung ke dalam kantung mereka, tetapi buat saya itulah kali terakhir saya akan ke sana dan tidak akan singgah lagi ke mana-mana cawangan milik mereka yang kononnya terkenal dan gah itu.

Kesan saya, orang Melayu yang berniaga masakan memang hanya fikirkan wang yang masuk dari kantung pelanggan seperti saya tetapi tidak pernah mahu berfikir bagaimana hendak menjaga hati dan perasaan pelanggan yang datang mahu memberi wang kepada mereka.

Sebagai contohnya, ketika datang mengambil pesanan, tanpa silu dan segan dengan selambanya pelayan yang bertugas duduk di kerusi di depan atau di sebelah pelanggan. Oh, sungguh kurang sopan dan kurang  hormatnya dia!

Sebab itulah rasa saya semakin hari semakin ramai orang Melayu berpindah ke kopitiam. Peduli apa dakwaan tiada sijil halal. Pokoknya layanan mereka baik dan tahu menjaga hati pelanggan.

Sebagai pelanggan kita  tidak berkira walau harganya agak sedikit mahal. Yang penting kita sebagai pelanggan berasa dihargai dan tidak dipermainkan.

Semakin hari, semakin jeran rasanya saya hendak singgah ke premis milik Melayu yang semakin kehilangan rasa untuk menghargai  pelanggan yang datang. Kita yang datang untuk memberikan mereka wang kadang terasa sangat dilayan macam kita ini pula yang mengemis sesuatu dari mereka: perhatian dan layanan sebagai pengguna.

Saya tahu, tidak makan di kedai mereka pun saya belum pun sampai ke tahap kebulur.  Walau mereka juga boleh berkata tanpa pelanggan yang "cerewet" seperti saya mereka pun tidak akan jatuh miskin.

Tetapi yang pasti, duit saya tidak lagi akan masuk ke kantung mereka lagi. 

April 3, 2012

1 ulasan:

jhnrdzi berkata...

Memang. Kadang-kadang itu yang kita kesalkan. Mahu menolong sesama kita orang melayu, tapi mereka pula buat-buat tak endah.

Padanlah ekonomi orang melayu merudum. Budi bahasa yang menjadi tunjang utama kita sudah tiada.