Isnin, April 02, 2012
MAKHLUK BARU
BEBERAPA kawan sasterawan, seniman dan penyair bercakap mengenai munculnya satu jenis makhluk baru dalam dunia sastera tanah air. Terpinga-pinga saya mendengar dan sambil mencari-cari apakah makhluk yang mereka maksudkan itu. Jenuh juga bertanya kepada kawan-kawan tetapi semua mereka hanya senyum penuh makna dan diam-diam.
Akhirnya kelmarin saya menemuinya. Betullah apa yang dipercakapkan kawan-kawan itu. Memang makhluk baru itu ada.
Makhluk baru ini memang ganjil sedikit. Bila ke mana-mana, mereka hanya duduk berkumpul di dalam kelompok mereka sahaja dan kalau mahu berkenalan atau bertegur sapa, mereka nampaknya hanya pastikan orang yang hendak mereka sapa dan berkenalan itu hanya orang-orang yang terkenal dan hebat sahaja. Kalau yang selain itu nampak macam tidak dilayan sahaja.
Dari manakah makhluk baru ini datang? Saya tidak pasti sangat dari mana. Banyak kawan-kawan pun tidak begitu tahu dan pasti. Hanya beradasarkan pemerhatian, nampaknya gemerlap dan kemilau itulah yang menarik dan yang mendatangkan mereka ke mari. Selainnya tidaklah terlalu nampak sangat apa yang mereka bawa bersama.
Hendak dikatakan karya atau sasteranya, setakat ini saya sendiri tidak begitu pasti apakah ada yang mereka bawa bersama.
Mungkin ada tetapi tidak pernah mereka hebahkan. Atau mungkin juga memang langsung tiada.
Bagi saya, inilah realitinya dunia sastera kita. Datanglah siapa sahaja. Ini dunia kita yang memang dengan terbuka menerima sesiapa sahaja masuk dan berada di dalamnya.
Masuklah dengan dada lapang dan selalulah waspada. Di sini, dimangsa dan memangsakan bergerak seiringan. Hanya pilihan dan kekuatan jiwa dan raga sahaja memastikan akhirnya siapa yang benar-benar menjadi sasterawan, penyair atau seniman.
Yang selebihnya, hanya angin, debu dan para korban.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan