Selasa, Mac 27, 2012
NASKHAH
SEBAGAI manusia yang sifatnya sentiasa di dalam alpa serta kekurangan, yang kebetulan diberikan sedikit bakat oleh Allah SWT sebagai penulis, saya selalu berusaha mengelak dan berikhtiar untuk menghindarkan perasaan riak dan takabbur di dalam diri.
Sebagai seorang penulis yang masih mencari kesempurnaan dalam meluruskan niat dan iktikadnya, saya sama sekali tidak ingin menyimpan perasaan betapa hebatnya diri sendiri dan apalagi untuk sampai ke tahap dengan pongahnya mendakwa dirinya maha hebat dan sentiasa betul, sama ada dalam setiap percakapan mahupun di dalam tulisannya.
Justeru itulah ketika berkarya, setiap sesuatu karya yang saya tulis, tidak bererti demi kepentingan sesuatu penerbitan langsung tidak boleh disentuh serta diubah oleh siapa sahaja yang membaca dan membuat penilaian terhadapnya. Ubahlah di mana yang dirasakan patut dan perlu selagi tidak sampai terlalu jauh memesongkan maksud asal yang ingin saya nyatakan sebelumnya.
Memang kadang-kala ada juga waktunya saya keberatan untuk menerima saranan dan teguran. Tetapi ini pun kemudiannya saya terima dan akuri juga, setelah saya berasa yakin dan diyakinkan dengan hujah dan alasan yang jitu kenapa sesuatu perubahan itu perlu.
Pendirian saya sebagai penulis ini rasanya sudah cukup jelas. Di antara saya sebagai penulis dengan orang lain sebagai pembaca atau juga penilai tiada siapa yang berhak untuk mendakwa dirinya lebih tahu dan superior. Masing-masing, penulis dan penilai, punya tanggungjawabnya sendiri dan saling memerlukan di antara satu sama lain.
Untuk dan kerana itulah maka saya selalu menyimpan rasa hormat yang dalam dan tinggi terhadap siapa sahaja yang sudi menjadi pembaca karya saya dan sekaligus membuat penilaian terhadapnya. Nilailah sehingga ke batas mana pun. Baik atau buruk, saya tetap dapat menerima selagi hujah dan alasannya jelas bukan bertolak dari perasaan bahawa dia lebih tahu ketimbang orang lain atau dengan hanya memberikan alasan yang sangat remeh dan tidak masuk akal.
Tetapi begitu pun demikian, walau rasanya saya sudah cuba seboleh mungkin bersedia untuk menerima dan dengan rendah hati cuba untuk mendengar kritik dan teguran orang lain, sesekali sering juga saya berdepan dengan sitausi yang boleh membuakkan rasa sebal dan mual di dalam hati. Saya tidak pasti apakah saya yang silap kerana masih dibuai rasa ego yang melampau, atau puncanya di pihak yang satu lagi.
Sebagai contohnya, beberapa hari yang lalu saya saya menerima teguran daripada seorang yang mendakwa dirinya seorang penilai naskhah yang mempertanyakan kenapakah sebuah naskhah teater yang saya tulis latarnya terlalu terhad dan berkisar hanya sekitar ruang tamu, kedai kopi dan di hadapan surau, sedangkan sudah jelas dinyatakan di dalam naskah itu bahawa latar kisahnya adalah sekitar tahun 1979?
Saya tidak pasti apakah memang dia tidak tahu atau sengaja buat-buat tidak tahu betapa ketika naskhah itu saya tulis sekitar kurun waktu itu panggung teater secanggih Istana Budaya belum lagi wujud dan kehidupan kumpulan teater amatur saya sendiri pun sangat miskin dan hanya mampu mementaskan teater dengan belanja tidak sampai RM 100.
Jadi, kenapa ini tidak pernah ingin difikirkan oleh seorang yang mendakwa dirinya sebagai penilai naskhah teater itu sehingga tergamak dia membayangkan supaya latar di dalam naskhah saya itu diperluaskan ke mana-mana, sedangkan apa yang saya tulis itu memang dengan sengaja ditulis sebegitu rupa untuk merakam suatu momen di dalam sebuah sejarah di kurun waktu tersebut?
Malah saya lebih lama terpana lagi bila seorang yang lain yang juga mengaku dirinya seorang penilai menegur bahagian lain di dalam naskhah saya. Katanya, kenapa watak-watak di dalam naskhah saya itu cuma dinamakan Satu, Dua dan Lembaga dan kenapa tidak langsung dinamakan dengan nama yang lebih khusus seperti Ali, Hussin dan nama watak Lembaga itu dinamakan sebagai Lembaga Hitam atau Lembaga Hijau?
Itu berkenaan watak, berkenaan latar dan masa pula, saya juga turut ditegur. Katanya, kenapa latarnya hanya Pada Suatu Tempat dan berkenaan masa hanya Pada Suatu Masa?
Sungguh sampai saat ini saya masih lagi terpana dan tidak pasti.
Saya tidak tahu dan pasti. Apakah saya terlalu ego atau ada sesuatu yang tidak kena dengan mereka yang lain?
Mac 27, 2012
Kategori:
Autobiografi 2012: Saya dan Penulisan
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
1 ulasan:
Salam,
Semua yang berlaku, berlaku pada suatu masa. Semua yang berlaku, berlaku pada suatu tempat.
Tidak perlu setiap kali yang berlaku itu perlu berlaku di mana dan bila, tetapi apa, mengapa dan bagaimana sesuatu itu berlaku adalah yang menjadi pokok segala-galanya.
Itulah yang seharusnya menjadi sebuah cerita (yang berlaku pada suatu tempat, pada suatu masa).
Salut komrad!
SA
Catat Ulasan