SAYA penyair dan penulis. Begitu
saya perkenalkan diri kepada kawan-kawan yang saya temui ketika menghadiri
beberapa kali pertemuan sastera di luar negara. Malah dengan perasaan yang “bangga”,
penyair dan penulis itu jugalah yang
saya catatkan sebagai pengenalan diri di
dalam kad nama saya, yang saya berikan kepada mereka dan sejumlah teman rapat
serta mereka yang lain yang berkepentingan serta berurusan di dunia ini, sama ada di luar negara atau di negara
sendiri.
Saya tidak terfikir atau berasa dengan mengaku dan memperkenalkan
diri saya sebagai penyair dan penulis sekaligus, maka itu akan menyusahkan mereka, pakar-pakar
sastera, sarjana atau pengkaji sastera tertentu untuk melabelkan saya dengan label apa:
Apakah novelis, penyair atau cerpenis.
Saya sedar saya menulis hampir di
semua genre sastera dan yang sudah disiarkan atau diterbitkan: Puisi, cerpen, novel, rencana, naskhah teater,
naskhah sitcom. Kecuali setakat ini yang belum lagi tersiar adalah naskhah
untuk filem dan drama radio.
Saya tidak ingin terlalu ambil peduli dengan label itu dan malah tidak pernah
berasa betapa tanpa label apa pun secara jelas maka itu akan menghalang
semangat saya untuk terus menulis.
Prinsip saya mudah sahaja. Tidak
perlu labelkan seseorang sebagai apa. Yang penting nilai dan bicarakanlah
karyanya. Jadi tidak perlulah misalnya mengatakan betapa kerana menulis dalam
banyak genre maka seseorang itu berhadapan dengan masalah untuk diletakkan dirinya
di kategori mana dan apa. Apa lagi untuk mengatakan betapa kerana itu karyanya
tidak berbobot dan kurang nilai seninya. Apa masalah sebenarnya?
Tetapi itulah yang saya pernah
baca apa yang ditulis sebahagiannya
mengenai diri saya. Kerana menulis dalam
banyak genre itulah maka saya kononnya menghadapi sesuatu masalah sebagai
penyair atau cerpenis.
Tentu sahajalah tatkala membaca
dan kemudiannya merenung kembali tulisan kajian itu saya berasa dan beranggapan betapakah bodohnya tanggapan yang sedemikian oleh seorang yang tentunya pastilah lebih bijak dan cerdik berbanding
manusia biasa yang tidak bersekolah tinggi seperti saya ini.
Kenapa mesti dipermasalahkan soal label. Sekali lagi. Apa masalah sebenarnya?
Pokok pangkalnya adalah apa yang sudah saya tulis itu. Bicarakanlah itu kalau mahu. Kalau misalnya ada waktunya karya tertentu dari genre tertentu
yang saya tulis itu dikesani lemah dan kurang bermutu, kelemahan itu adalah berpunca dari sikap
kurang teliti dan kurangnya kontemplasi saya sebelum menulis sesuatu karya pada
suatu waktu yang tertentu dan bukannya kerana saya tidak pasti mahu dilabelkan
sebagai apa.
Secara peribadi pun saya tidak
minta dan mengharapkan pujian terhadap kehadiran diri dan karya saya. Apa yang
sangat saya harapkan hanyalah semoga apa yang saya tulis dibaca, dihayati dan
dirasai khalayak pembaca, sama ada pembaca yang biasa mahupun pengkaji dan
penilai.
Akhirnya, saya akan tetap menulis
juga apa yang saya berasa hendak dan suka. Apa yang hendak dicakap serta
dilabelkan kepada diri saya, walau pun sedikit dan sekejap akan membuat saya
luka, tetapi itu tidak pernah mematikan semangat saya yang sentiasa membara
untuk bangkit dan melawan dengan cara saya sendiri.
Saya tidak fikir buat diri saya,
gelaran itu sangat penting. Tidak. Saya hanya ingin menjadi seadanya sahaja dan
segala pujian yang melangit itu berikanlah kepada sesiapa sahaja yang lain yang
terlalu mengidamkannya.
Berikanlah itu kepada mereka.
Jun 8, 2012
Tiada ulasan:
Catat Ulasan