Rabu, November 07, 2012

TERBUKA


BOHONGLAH kalau tidak tersentuh dan terasa bila mendengar khabar itu. Tetapi sudah lama saya mengajar diri untuk tidak terlalu lama mengenang dan mengingatinya. Soal apa yang disebut orang mengenai diri saya bukan baru kali ini saya dengar disampaikan oleh mereka yang akhirnya bertemu dan melihat langsung bagaimana saya bercakap dan menyatakan fikiran secara terbuka.

Tentu bila diberitahu akan tetap terasa. Namun hanya sekadar itu. Mengangguk dan menyatakan bahawa saya memang tahu dan dapat mengagak. Tetapi tidak ingin melanjutkan lebih lama. Cukuplah sekdar di situ.

Kerana saya tahu dan sedar, untuk apa memberikan kebahagian kepada orang lain yang tanpa rasa belas sanggup memijak hati dan perasaan lain semata-mata untuk mendapatkan sesuatu buat dirinya? Untuk apa memusnahkan diri sendiri semata-mata tidak sudah memikirkan segala hasad dan perbuatan orang lain terhadap diri?

Saya tahu, andai saya dimasukkan ke pusat rawatan pesakit jiwa, misalnya, kerana tiada sanggup lagi menahan goncangan kejiwaan kerana memikirkan segala kata hina dan kejian orang terhadap diri saya, tiada siapa pun yang akan meratap atau menaruhkan simpatinya terhadap diri saya. Malah yang akan bertepok ria dan suka tentulah ada.

Kerana itulah saya memilih untuk melawan dengan cara saya sendiri dan mencari pencerahan ke tempat yang lebih azali.

Kenyataannya, manusia adalah makhluk yang sulit untuk sepenuhnya diberikan percaya. Kerana itu saya kembali kepada Sang Pencipta, mengadu dan meminta pertolongannya.

Dan hari ini, saya sepenuhnya yakin dan sedar,  andai dahulu saya  memilih hanya meratap dan menangis di depan pintu-pintu yang selalunya bisa saya masuki tetapi tiba-tiba telah ditutup oleh beberapa oknum yang berasa dirinya punya kuasa dan hak untuk berbuat sewenangnya terhadap orang lain, pastilah saya sudah tidak lagi berada di sini.

Dan saya malah semakin tidak peduli dengan segala kata hina serta keji itu.

Kerana saya tahu, bukan mereka yang menghidup atau mematikan saya. Begitu juga dengan rezeki. Juga bukan mereka yang menjadi penentu.

Mereka tentu sahaja tetap boleh mendabikkan dada  ke mana-mana dan memperagakan segala kelebihan yang kononnya mereka miliki. Biarkanlah. Kerana manusia, bila sudah hilang rasa malu dan maruah diri, sanggup mengaku tahu buat segala perkara yang sebenarnya mereka tidak tahu di depan orang atau khalayak yang juga memang tidak tahu. 

Saya tidak mahu ambil peduli kalau memang itu pilihan mereka. 

Terus-terang, saya kini terlalu sebok dan hanya ingin mengurus soal diri saya sendiri. 

November 7, 2012


Tiada ulasan: