Ahad, Januari 20, 2013

MENIKMATI PUISI SI DARWIS RIDZUAN HARUN


Oleh MARSLI N.O
marslino@yahoo.com

Buku Si Darwis
Pengarang Ridzuan Harun
Penerbit  Institut Terjemahan & Buku Malaysia

RIDZUAN HARUN atau nama penuhnya Mohd Ridzuan Harun lahir 1 Jun 1975 di  Kebun 500, Pokok Sena, Kedah. Pendidikan awalnya di Sekolah Kebangsaan Haji Idris, Tajar, Kedah.

Tahun 1988 hingga 1992 Ridzuan mendapat pendidikan menengah di Sekolah Menengah Jabi, Pokok Sena sehingga Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan dari tahun 1993 hingga 1994 belajar di Sekolah Menengah  Dato' Syed Omar, Alor Setar sehingga STPM.  Namun begitu, Ridzuan gagal memperolehi sijil penuh.

Kegagalan itu tidak mematahkan semangat Ridzuan. Percubaannya kali kedua menerusi sekolah swasta pada tahun 1996 telah berjaya dan beliau berhasil menggenggam segulung sijil penuh STPM.

Dengan sijil penuh STPM itulah yang kemudiannya melayakkan Ridzuan melanjutkan pengajiannya ke Universiti Putra Malaysia (UPM) dari tahun 1997 hingga 2000 di bidang  Bacelor Sastera (Pengkhususan Bahasa dan Linguistik Melayu) dan kini beliau sedang menyambung pengajiannnya ke peringkat sarjana di universiti yang sama.

Tetapi sebagai penyair, dari manakah sebenarnya Ridzuan Harun bertolak dan bermula? Selepas tampil dengan antologi puisi pertamanya “Suluk Cinta”  yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 2008, tahun 2012 ini Ridzuan Harun tampil lagi dengan antologi puisi kedua beliau ”Buku Si Darwis” yang diterbitkan Institut  Terjermahan dan Buku Malaysia.

Dalam pengantar buku puisi terbarunya ini, yang dijuduli sebagai “Catatan Si Darwis Puisi”, Ridzuan Harun mengakui betapa beliau memilih ruang dan jalan yang payah untuk mencintai puisi..

Bagi  Ridzuan Harun, menulis puisi bukan suatu kerja mudah. Namun begitu, beliau tetap percaya dan sepenuhnya meyakini betapa: “Penyair harus berdiri di hadapan bangsa, di hadapan zamannya – menjadi perenung, pencatat, menjadi cermin nusa; bahkan menjadi “pengingat”.

Untuk dan kerana itulah melalui antologi yang memuatkan 50 puisi hasil cipta beliau sekitar tahun 2006 hingga 2011 ini  Ridzuan Harun menampilkan puisi-puisi yang sebahagian besarnya memaparkan gelodak resah dan gelora yang sesekali keras mendebur pantai emosi kepenyairannya bila berhadapan dengan persoalan maruah bangsa, bahasa dan madsa depan negaranya.

Malah sikap dan tegasnya pendirian Ridzuan Harun  sebagai penyair yang diakuinya sebagai perlu memikul peran sebagai “pengingat” ini ketara dinyatakan melalui susun atur puisi-puisinya di dalam antologi ini, dengan mengawalinya melalui puisi berjudul “Di Bawah Bulan Berwarna Emas Kudoakan Kau Sejahtera Selalu, Bahasaku” sebagai puisi pertama mendepani pembaca.

Melalui puisi ini, Ridzuan Harun menyatakannya melalui simbol betapa bahasa adalah:  kunang-kunang, sumbu, kandil, pelita, lentera, dian, suluh dan matahari, yang sentiasa didoakan agar sejahtera sentiasa.

Memang jika dibaca secara permukaan atau apa yang tersirat, puisi ini tidak lebih sekadar sebuah puisi berisikan doa dan harapan daripada seorang penyair Melayu  agar bahasa miliknya sentiasa sejahtera.

Tetapi lantaran apakah yang mendorong doa dan harapan itu dilontarkan penyair di dalam puisinya ini? Apakah ini berarti bahasa Melayu sedang diancam oleh sesuatu sehingga wujud kebimbangan di hati penyair dan mendorong puisi ini dizahirkan?

Secara tersirat dan tidak langsung Ridzuan Harun, dengan menggunakan objek-objek sebagai pembanding dan simbol,   ingin menyatakan betapa bahasa Melayu mempunyai kekuatannnya yang teramat hebat. Namun kepekaan mata batinnya sebagai seorang penyair,  yang melihat dan meneliti  apa yang sedang dan sudah melanda bahasa Melayu,  mendorong Ridzuan melahirkan rasa bimbangnya  secara tidak langsung melalui doa dan harapan.

Tidak hanya soal bahasa yang menjadi titik tolak kebimbangan Ridzuan Harun. Persoalan politik bangsa dan negara juga turut menenerjah sensitiviti kepenyairan Ridzuan.

Di dalam antologi ini, puisi-puisinya seperti “Politik Malaysia, 2009” di halaman 19, “Aduhai Tanah Air” (20), dan serial sajaknya di bawah judul “Sifir Politik” dengan jelas menyerlahkan pendirian Ridzuan yang mempercaya betapa penyair:  “....  harus berdiri di hadapan bangsa, di hadapan zamannya – menjadi perenung, pencatat, menjadi cermin nusa; bahkan menjadi “pengingat”.

Sebagai pemerhati, perhatian Ridzuan di dalam puisinya “Politik Malaysia, 2009” jelas tertumpu kepada situasi di tahun 2009, yang dinyatakannya sebagai: “...terasa kita sedang menangisi demokrasi tercalar/ atau terasa kita/ sedang mentertawakan demokrasi.”

Namun begitu, Ridzuan  Harun di dalam puisinya ini tidak meletakkan diri di pososi penghukum atau pengikut buta seperti mana-mana kelompok yang sentiasa ingin memenangkan kelompoknya semata-mata. Ridzuan sebaliknya memilih untuk menjadi lebih terbuka dan kembali kepada hakikat diri kemanusiannya dengan melontarkan tanya kepada Sang Maha Pencipta dengan tanya: “Tuhan, iktibar apakah ini?”

Atau dalam puisinya “Aduhai Tanah Air”, Ridzuan melihat dan menyatakan rasa bimbangnya bila melihat pertelingkahan yang terjadi di antara sesama, baik politikus mahupun agamawan, yang menurut hemat Ridzuan tidak lain kerana: “...kerana sebidang kuasa/ dan sebaris penghormatan yang dikejar.”

Peristiwa sosial seperti kehilangan adik Sharlinei, kehilangan Pulau Batu Putih, pemergian Zubir Ali turut tidak lepas dari mata perhatian Ridzuan.

Ridzuan juga tidak melupakan untuk menyatakan sesuatu mengenai penyair yang dikaguminya, T. Alias Taib dalam puisinya “Puisi Adalah Peta Perjalanan Hidupnya”. Menurut hemat Ridzuan, segala khazanah puisi yang ditinggalkan oleh T. Alias Taib melayakkannya diibaratkan sebagai “... songket berkilau/ dari jauh pun tampak sinar dan serinya.”

Perjalanan dan kunjungan juga turut menyentuh sensitiviti kepenyairannya, yang diutarakan antaranya melalui puisi “Percakapan Kepada Mudsi (iii)” di halaman 14, “Tanjung Rhu, Petang Runduk (41)”, “Catatan di Beting Pasir” (43) dan  “Tanjung Rhu, Lewat Malam” (44).

Antologi puisi “Buku Si Darwis” buah tangan penyair Ridzuan Harun dapat ditanggap sebagai sebuah pengukuhan pengakuan seorang penyair yang kian menampakkan sosok keperibadian kepenyairannya.

Justeru itu jugalah, Ridzuan tidak lupa menurunkan sejumlah puisi bersifat renungan dan rekrospektif dirinya, seperti di dalam puisi”Belajar Menjadi Rama-Rama dan Merpati” di halaman 56, “Memilih Diam” (57), “Sebahagian Autobiografi” (58), “Kepada Ridzuan” (63), “Darwis” (64) dan “Buku Si Darwis” (65).

Ternyata, melalui antologi puisi keduanya ini Ridzuan sudah cukup bersiap sedia dengan penampilan puisi-puisinya. Dengan kesedarannya sebagai “darwis puisi”, Ridzuan menyedari dan insaf akan kehadiran dirinya. Ridzuan harun bukan seluruhnya seorang darwis, tetapi sudah mulai berjalan dan menuju ke arah yang lebih jauh di tengah peta kepenyairan Malaysia.

END

2 ulasan:

benuasuluk berkata...

Sdr. Marsli,
terima kasih banyak. Mohon izin dari sdr. untuk saya salin dan tampal di dinding blog saya.

MARSLI N.O berkata...

Sdr RH: silakan. Saya hanya menuliskan. Menurut tanggapan dan pandangan saya.

MARSLI N.O