Sabtu, Februari 16, 2013
KEMAJUAN
SAYANG seribu kali sayang. Kita justeru tidak mengajak mereka menjadi lebih merdeka berfikir dan berkreatif sebaliknya menjadikan mereka sekadar bidak yang dimestikan menurut kehendak yang sudah dijadikan acuan.
Kita tidak menjadi lebih maju berbanding sepuluh tahun yang lalu tetapi sekadar mengulang-ulang kembali apa yang sudah sedia ada. Perdebatan kita masih seputar tema, watak, struktur dan kesopanan. Ketika realitas dunia semakin mendesak dan menekan, kita dipaksa agar tetap berbicara sopan dan menjadi pemberontak yang menyoalkan hak serta maruahnya menjadi dosa yang tidak bisa dimaafkan.
Mereka yang datang lebih kemudian dijadikan ternakan yang diajar menjadi takut dan terlalu penurut. Memilih bebas merdeka dan mandiri dimomokkan sebagai perbuatan kurang ajar. Atau bergayutlah di dahan konvensional sebagai jalan paling selamat.
Sastera ternyata kembali menjadi tempat berhimpun para oportunis. Dan para petualang itu, selalu berselindung dan bertopengkan atas nama akademik. Teori demi teori baru (kononnya) dibina dicipta untuk dijadikan kamar selamat tempat berlindung para pemilik otak yang tidak sudi lagi menerobos jauh keluar daerah sempitnya.
Sehingga dengan sengaja mereka melupakan betapa sastera adalah penerokaan demi penerokaan dan bukan sekatan yang diberikan baju indah bernama. Mereka menjadi salah kaprah di hadapan intelek dan karya sastera: antara yang mana wajar didahulukan atau sesuatu yang menyatu secara utuh dan menimbulkan kesan serta pesan tanpa mendiktekan.
Februari 16, 2013
Jumaat, Februari 15, 2013
BERJALAN
SEMAKIN mengerti segala tingkah dan muslihat manusia, semakin tidak pernah berasa menyesal ketika sejak mula memilih berjalan sendiri. Tidak perlu menyalahkan resam dan hakikat segala di dunia fana. Kau hanya dialu perlu kalau dapat dijadikan alat dan kuda. Setelah itu, pandailah kau membawa diri dan menuju hala. Berjalan sendiri. Berjalan sendiri.
Februari 15, 2013
Khamis, Februari 07, 2013
KEBONGKAKAN
SEMAKIN banyak membaca pendapat dan pemikiran orang lain di buku-buku, blog atau sebarang wadah dan media lain semakin saya tidak ingin menjadi orang lain.
Persetan dengan mereka yang berlagak hebat dan mengada-ada, suka menunjuk-nunjuk betapa mereka kononnya lebih bijak dan lebih banyak tahu, lebih banyak membaca ketimbang orang lain, lebih mengenal aliran-aliran pemikiran si anu atau si ini, bergerak dari falsafah ke falsafah dari pelbagai tokoh dan nama besar, yang kerananya tentulah menjadikan orang lain lebih bodoh ketimbang dibanding dengan dirinya dan untuk itu juga, dia menjadikan segala kehebatan serta kebijaksanaannya itu untuk menuduh, menuding dan mencerca orang lain, atas tiket akademik dan perkembangan ilmu, kononnya.
Saya hanya ingin menjadi diri saya sendiri dan memilih untuk meneruskan kebongkakan saya dengan cara saya yang juga sendiri. Bersikap tidak peduli kepada siapa sahaja yang berlagak dan mengada-ada kerana berpendapat hanya pendapatnya sahaja yang betul dan benar.
Saya hanya ingin menulis, bercakap, bergerak dan berdiri hanya dengan keyakinan saya sendiri. Tidak ingin memetik-memetik dan tidak ingin dengan bangganya bercerita betapa saya terlalu banyak tahu dan mengenal segala nama dan karya pengarang hebat di dunia, sedang sepanjang hidup saya tidak pernah sekali atau satu pun menuliskan sesuatu yang datang dan lahir dari pemikiran khas milik saya sendiri walau di mana pun.
Hidup hanyalah tenggang sementara menunggu kematian. Saya tidak mahu bazirkan waktu hidup saya hanya dengan meniru dan berdiri di bayah bayang orang lain, meski betapa pun hebatnya.
Segala yang bersamaan hanyalah kerana kebetulan. Kerana saya memang ingin menulis kan demikian.
Februari 7, 2013.
Langgan:
Catatan (Atom)