Jumaat, Julai 19, 2013

KHAZANAH NEGARA

TERFIKIR saya.

Kita punya beberapa sasterawan hebat yang diberikan gelar negara atau Sasterawan Negara (SN) yang telah pergi meninggalkan kita buat selama-lamanya. Saya menghitung-hitung: Kamaludin Muhammad (Keris Mas), Datuk Dr. Usman Awang, Muhamad Abdul Biang (Arena Wati) dan S Othman Kelantan.

Tetapi saban tahun, sempena tanggal lahir atau pemergiaannya, apakah yang diperbuat oleh kita untuk mengenang segala jasa dan khazanah peninggalannya yang tidak ternilai harga dan mutunya itu?

Saya tidak fikir kita tega untuk menjadi bangsa yang terlalu bodoh dan pandir untuk membiarkan berlalu bagaikan angin segala yang kita miliki ini. 

Kita tentu tidak ingin dicemoh  sebagai bangsa yang tidak pernah tahu dan mahu menghargai segala warisan miliknya dengan cara sentiasa berusaha memelihara dan  menjaga khazanah warisan bangsanya daripada segala gejala dan usaha  pencemaran pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab, yang boleh sampai menjatuhkan martabat serta kemurnian peribadi pemilik serta bangsa yang mewarisinya.

Berlebihan lagi, kita tentulah tidak mahu dan rela untuk dituduh sebagai bangsa, yang kerana tidak pernah mahu dan dan pandai menjaga serta memelihara segala khazanah warisan yang dimiliknya itu, akan ditohmah sebagai bangsa yang tidak punya apa-apa kehebatan  dan lebih malang lagi, tidak memiliki para manusia pemikir di kalangannya.

Atau lebih terang lagi bersuluh, kita dituduh sebagai bangsa yang bodoh!

Julai 19, 2013

1 ulasan:

Rositah Ibrahim berkata...

Malang sekali kita rakyat kecil yang hanya punya suara. Malang sekali kita kekurangan pemikir dalam kalangan mereka yang punya kuasa....