Jumaat, Julai 12, 2013

KITA TERLALU APOLOGETIK ?


KITA, khususnya para politikus kampungan dan kawakan sering bercakap mengenai semangat perpaduan nasional atau kebangsaan. Puluhan tahun lalu, dasar kebangsaan atau nasional ini sudah pun ditetap serta diputuskan. Tujuannya tidak lain adalah sebagai suatu cara kearah memupuk perpaduan di kalangan bangsa yang pelbagai di negara untuk menyatu utuh dalam sebuah negara bernama Malaysia.

Aspek terutama yang dilihat sebagai alat atau tool kearah penyatuan serta perpaduan ini  adalah lewat bahasa dan sistem pendidikan yang menggunakan suatu bahasa kebangsaan sebagai pengantarnya, dengan bahasa Melayu yang sedia dimaklum sebagai bahasa kebangsaan sebagai mana ketetapan di dalam Perlembagaan Persekutuan negara.

Namun setelah lebih 50 tahun mencapai kemerdekaan, persoalan kebangsaan dan penyatuan ini masih seringkali berdepan problema akibat ulah segelintir oportunis politik tertentu, yang cuba menjadikan isu ini sebagai alat meraih sokongan pengundi serta simpatisan dari pihak bangsanya sendiri.

Tidak cuma di sistem pendidikan yang sampai kini hasrat mewujudkan sebuah institusi pengajaran yang dapat menggabung serta menyatukan semua anak bangsa dalam sebuah institusi dengan pengantar bahasa kebangsaan yang dapat menyatukan menempuh jalan buntu. Di sastera yang sepatutnya menjadi alat penyatuan kemanusiaan yang lebih bersifat sejagat  juga turut digeser isu dengan persoalan yang hampir kurang sama yang mana dikoarkan dengan tanda pengenal Melayu dan bukan Melayu.

Persoalan kita, perlukah ada lagi istilah dan pembedaan penulis bukan Melayu dengan Melayu sebegini? Bukankah sudah jelas bahasa kebangsaan negara Malaysia kita adalah Bahasa Melayu. Jadi, siapa yang menulis dalam bahasa Melayu adalah layak disebut penulis Malaysia. Tanpa mengira apa bangsanya. Sementara yang menulis dalam bahasa kaum atau bangsanya tetaplah kekal sebagai penulis kaum dan bangsanya.

Kenapakah setelah lebih 50 tahun merdeka dan semua sudah tahu dasar serta ketetapan kebangsaan itu, hari ini masih ada lagi yang bercakap mengenai penulis yang menulis dalam bahasa Melayu sebagai penulis bukan Melayu dan tidak disebut sebagai penulis Malaysia? 

Apakah kita sengaja membutakan diri dengan dasar kebangsaan atau nasional yang sudah puluhan tahun ditetap serta diputuskan itu? Apa masalah kita sebenarnya? Apakah kerana sudah kehabisan modal politik maka isu ini pun hendak dipermainkan oleh para oportunis itu? Kenapa kita tiba-tiba menjadi bangsa yang terlalu apologetik hanya kerana sebaris kata dalam sebuah novel atau kerana ada sebahagian oportunis yang tiba-tiba berkoar. 

Kenapa? 

Julai 12, 2013

Tiada ulasan: