Isnin, November 25, 2013

REZEKI

SEBELUM bersara wajib dari perkhidmatan dengan kerajaan kira-kira setahun lebih yang lalu, beberapa orang kenalan menasihati saya supaya bertimbang masak-masak agar tidak nanti  terjepit di segi kewangan di kemudian hari.  Malah beberapa orang mereka menasihati saya merebut peluang yang membolehkan kakitangan awam menyambung tempoh perkhidmatannya sehingga ke umur 60 tahun.

Saya faham dan memaklumi segala isi dan kandungan nasihat mereka. Apa lagi bila beberapa mereka itu bercerita bagaimana beberapa kawan yang sebelum ini memilih untuk bersara dalam usia wajib seperti saya akhirnya terpaksa memanjat tangga pejabat dan syarikat swasta lain untuk mencari pekerjaan. Puncanya, begitu menurut mereka, kerana tidak mampu untuk terus menampung hidup dengan wang pencen yang tidak seberapa yang diterima saban bulan.

Secara peribadi saya memang sudah berkira dan mencongak sendiri bagaimana untuk mengatur hidup saya hanya dengan pendapatan  yang diperoleh daripada wang pencen bulanan saya sekitar RM 2000 sebulan semata-mata itu.

Memang dilihat di atas kertas dan dengan perkiraan logik kos kehidupan masakini yang saban hari meningkat, mana mungkin saya mampu meneruskan hidup dengan pendapatan yang hanya sebanyak itu.

Namun saya selalu percaya, jika saya berusaha keras dan rajin serta fokus dengan kerja penulisan saya, saya yakin Allah SWT akan menolong dan membantu saya. Malah kerana ingin menumpukan sepenuh masa dan waktu terhadap kerja penulisan saya itulah yang mendorong saya memilih untuk bersara begitu mencapai usia wajib 55 tahun dan tidak mahu menyambung lagi tempoh perkhidmatannya hingga ke usia 60 tahun.

Saya sedar dan tahu, selain menulis, saya juga punya ilmu dan pengetahuan mengenai deklamasi dan teater. Jadi nanti selepas bersara, saya berkira-kira saya tidak akan hanya menulis sepenuh masa, malah akan mempraktikkan semula ilmu dan pengetahuan saya mengenai deklamasi dan teater yang saya miliki itu.

Dengan begitu, selain menulis, yang jika disiarkan di akhbar  atau majalah saya hitung-hitung bisa saya perolehi secara puratanya sekitar RM 200 ke 300 sebulan, saya kira beberapa teman yang saya kenal juga akan membantu memberikan saya peluang untuk berceramah dan mengendalikan bengkel mengenai penulisan, deklamasi dan teater, yang pendapatannya secara purata mungkin sekitar RM 500 ke RM 1000 sebulan.

Begitulah perkiraan dan harapan saya.

Memang di segi menulis, perkiraan dan harapan saya itu terpenuhi. Sehingga kini, secara purata saya memang boleh mencapai pendapatan sekitar RM 200 ke 300 sebulan itu dengan menulis di pelbagai genre: cerpen, sajak, rencana, naskhah teater, berita dan cerita rakyat.

Namun tidak di segi berceramah dan mengendalikan bengkel. Tidak saban bulan saya dijemput atau dipanggil untuk berceramah atau mengendalikan bengkel oleh kawan-kawan yang berwibawa untuk memanggil dan menjemput sesiapa yang mereka fikir patut, boleh dan layak untuk mengendalikan bengkel serta berceramah.

Saya fikir dan berkira, kawan-kawan saya ini memang tahu bahawa saya kini sudah bersara dan hidup sepenuh waktu menghambakan dirinya kepada kerja seninya semata-mata, dan sekali lagi saya tegaskan, kerana mahu menumpukan sepenuh perhatian kepada kerja seni inilah yang mendorong saya memilih untuk bersara pada usia wajib. Untuk itu, saya fikir tentulah kawan-kawan saya ini dapat memberikan saya ruang untuk berkhidmat dan menyumbangkan tenaga dengan cara menyampaikan ceramah atau pun mengendalikan bengkel-bengkel.

Sungguh. Saya tidak meminta banyak. Cukuplah memberikan saya ruang dan peluang sekali dalam sebulan dan kalau misalnya terjadi sampai dua kali dalam sebulan, itu pun saya fikir masih lagi memadai buat saya kerana pendapatan yang saya perolehi pun tidak sampai RM 10,000.

Namun begitulah. Harapan saya itu hanya tinggal harapan. Tidak saban bulan saya diberi peluang untuk berceramah dan mengendalikan bengkel.  Dengan alasan, misalnya untuk memberikan juga peluang kepada orang lain, saya tidak diundang dan diberikan ruang itu kepada orang yang lain, walau pun orang yang lain itu sebenarnya sudah punya pendapatan tetap bermula dengan angka dua atai tiga setiap bulan.

Saya mengatakan ini kerana alasan inilah yang disebutkan oleh seorang kawan itu kepada saya. Walau pun nama saya disebut dan dipinta oleh pihak penganjur sebuah sekolah yang menganjurkan suatu acara, tetapi kerana alasan saya sudah banyak kali tampil dan muncul serta kerana mahu memberikan peluang kepada orang yang lain, nama saya telah digugurkan.

Saya menyebut ini bukanlah kerana kesal dan marahkan sesiapa. Saya sedar, rezeki, ajal dan maut semuanya dengan ketentuan Allah SWT. Saya tidak berasa sesal dan marah kerana tidak diberi peluang. Saya sedar, harapan dan cita-cita seorang manusia tidak semestinya akan tercapai seperti apa yang dia harap dan cita-citakan jika bukan kerana Allah SWT yang akan memakbul serta memberikan ruang serta peluang kepada seseorang manusia.

Walau apa pun, walau tidak setiap bulan, saya masih tetap bersyukur kerana masih ada kawan dan pihak yang tetap sudi memberi saya ruang dan peluang untuk berceramah dan mengendalikan bengkel.

Saya tidak ingin bersedih dan berasa kecewa kerana tidak dapat mengatur hidup seperti apa yang sepatutnya kerana tidak mencapai apa yang saya harap dan cita-citakan sebelum bersara pada usia wajib itu.

Terima kasih Tuhan. Terima kasih para sahabat dan pihak yang berbaik hati dan sudi berbudi kepada diri saya yang kerdil dan kecil ini.

November 26, 2013

@MARSLI NO - Penulis lepas dan sepenuh masa yang sering berpergian ke mana-mana secara bersendirian, demi untuk merangsangkan daya kreatif dan kreativiti

2 ulasan:

mohamadkholid berkata...

sahabat, rezeki hanya dr Nya. saya tak sabar tunggu 13 tahun lagi... cemburunya!

imlan adabi berkata...

Saya tak sangka usia anda sudah sampai tahap bersara. Harap anda le bih tenang dan sukses. Isteri saya bersara april tahun lalu kerana menderita sakit buah pinggang. harap saya juga dapat bersara dengan aman. tapi saya jauh daripada sastera kerana tak tahan dengan kemelut yang ada