@MARSLI NO - Penulis lepas dan sepenuh masa yang sering berpergian ke mana-mana secara bersendirian, demi untuk merangsangkan daya kreatif dan kreativiti
Isnin, November 25, 2013
REZEKI
SEBELUM
bersara wajib dari perkhidmatan dengan kerajaan kira-kira setahun lebih yang
lalu, beberapa orang kenalan menasihati saya supaya bertimbang masak-masak agar
tidak nanti terjepit di segi kewangan di
kemudian hari. Malah beberapa orang mereka
menasihati saya merebut peluang yang membolehkan kakitangan awam menyambung
tempoh perkhidmatannya sehingga ke umur 60 tahun.
Saya
faham dan memaklumi segala isi dan kandungan nasihat mereka. Apa lagi bila
beberapa mereka itu bercerita bagaimana beberapa kawan yang sebelum ini memilih
untuk bersara dalam usia wajib seperti saya akhirnya terpaksa memanjat tangga
pejabat dan syarikat swasta lain untuk mencari pekerjaan. Puncanya, begitu
menurut mereka, kerana tidak mampu untuk terus menampung hidup dengan wang
pencen yang tidak seberapa yang diterima saban bulan.
Secara
peribadi saya memang sudah berkira dan mencongak sendiri bagaimana untuk
mengatur hidup saya hanya dengan pendapatan
yang diperoleh daripada wang pencen bulanan saya sekitar RM 2000 sebulan
semata-mata itu.
Memang
dilihat di atas kertas dan dengan perkiraan logik kos kehidupan masakini yang
saban hari meningkat, mana mungkin saya mampu meneruskan hidup dengan
pendapatan yang hanya sebanyak itu.
Namun
saya selalu percaya, jika saya berusaha keras dan rajin serta fokus dengan
kerja penulisan saya, saya yakin Allah SWT akan menolong dan membantu saya.
Malah kerana ingin menumpukan sepenuh masa dan waktu terhadap kerja penulisan
saya itulah yang mendorong saya memilih untuk bersara begitu mencapai usia
wajib 55 tahun dan tidak mahu menyambung lagi tempoh perkhidmatannya hingga ke
usia 60 tahun.
Saya
sedar dan tahu, selain menulis, saya juga punya ilmu dan pengetahuan mengenai
deklamasi dan teater. Jadi nanti selepas bersara, saya berkira-kira saya tidak
akan hanya menulis sepenuh masa, malah akan mempraktikkan semula ilmu dan
pengetahuan saya mengenai deklamasi dan teater yang saya miliki itu.
Dengan
begitu, selain menulis, yang jika disiarkan di akhbar atau majalah saya hitung-hitung bisa saya
perolehi secara puratanya sekitar RM 200 ke 300 sebulan, saya kira beberapa
teman yang saya kenal juga akan membantu memberikan saya peluang untuk
berceramah dan mengendalikan bengkel mengenai penulisan, deklamasi dan teater,
yang pendapatannya secara purata mungkin sekitar RM 500 ke RM 1000 sebulan.
Begitulah
perkiraan dan harapan saya.
Memang
di segi menulis, perkiraan dan harapan saya itu terpenuhi. Sehingga kini,
secara purata saya memang boleh mencapai pendapatan sekitar RM 200 ke 300
sebulan itu dengan menulis di pelbagai genre: cerpen, sajak, rencana, naskhah
teater, berita dan cerita rakyat.
Namun
tidak di segi berceramah dan mengendalikan bengkel. Tidak saban bulan saya
dijemput atau dipanggil untuk berceramah atau mengendalikan bengkel oleh
kawan-kawan yang berwibawa untuk memanggil dan menjemput sesiapa yang mereka
fikir patut, boleh dan layak untuk mengendalikan bengkel serta berceramah.
Saya
fikir dan berkira, kawan-kawan saya ini memang tahu bahawa saya kini sudah
bersara dan hidup sepenuh waktu menghambakan dirinya kepada kerja seninya
semata-mata, dan sekali lagi saya tegaskan, kerana mahu menumpukan sepenuh
perhatian kepada kerja seni inilah yang mendorong saya memilih untuk bersara
pada usia wajib. Untuk itu, saya fikir tentulah kawan-kawan saya ini dapat
memberikan saya ruang untuk berkhidmat dan menyumbangkan tenaga dengan cara
menyampaikan ceramah atau pun mengendalikan bengkel-bengkel.
Sungguh.
Saya tidak meminta banyak. Cukuplah memberikan saya ruang dan peluang sekali
dalam sebulan dan kalau misalnya terjadi sampai dua kali dalam sebulan, itu pun
saya fikir masih lagi memadai buat saya kerana pendapatan yang saya perolehi
pun tidak sampai RM 10,000.
Namun
begitulah. Harapan saya itu hanya tinggal harapan. Tidak saban bulan saya
diberi peluang untuk berceramah dan mengendalikan bengkel. Dengan alasan, misalnya untuk memberikan juga
peluang kepada orang lain, saya tidak diundang dan diberikan ruang itu kepada
orang yang lain, walau pun orang yang lain itu sebenarnya sudah punya pendapatan
tetap bermula dengan angka dua atai tiga setiap bulan.
Saya
mengatakan ini kerana alasan inilah yang disebutkan oleh seorang kawan itu
kepada saya. Walau pun nama saya disebut dan dipinta oleh pihak penganjur
sebuah sekolah yang menganjurkan suatu acara, tetapi kerana alasan saya sudah
banyak kali tampil dan muncul serta kerana mahu memberikan peluang kepada orang
yang lain, nama saya telah digugurkan.
Saya
menyebut ini bukanlah kerana kesal dan marahkan sesiapa. Saya sedar, rezeki,
ajal dan maut semuanya dengan ketentuan Allah SWT. Saya tidak berasa sesal dan
marah kerana tidak diberi peluang. Saya sedar, harapan dan cita-cita seorang
manusia tidak semestinya akan tercapai seperti apa yang dia harap dan
cita-citakan jika bukan kerana Allah SWT yang akan memakbul serta memberikan
ruang serta peluang kepada seseorang manusia.
Walau
apa pun, walau tidak setiap bulan, saya masih tetap bersyukur kerana masih ada
kawan dan pihak yang tetap sudi memberi saya ruang dan peluang untuk berceramah
dan mengendalikan bengkel.
Saya
tidak ingin bersedih dan berasa kecewa kerana tidak dapat mengatur hidup
seperti apa yang sepatutnya kerana tidak mencapai apa yang saya harap dan
cita-citakan sebelum bersara pada usia wajib itu.
Terima
kasih Tuhan. Terima kasih para sahabat dan pihak yang berbaik hati dan sudi
berbudi kepada diri saya yang kerdil dan kecil ini.
November
26, 2013
@MARSLI NO - Penulis lepas dan sepenuh masa yang sering berpergian ke mana-mana secara bersendirian, demi untuk merangsangkan daya kreatif dan kreativiti
@MARSLI NO - Penulis lepas dan sepenuh masa yang sering berpergian ke mana-mana secara bersendirian, demi untuk merangsangkan daya kreatif dan kreativiti
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
2 ulasan:
sahabat, rezeki hanya dr Nya. saya tak sabar tunggu 13 tahun lagi... cemburunya!
Saya tak sangka usia anda sudah sampai tahap bersara. Harap anda le bih tenang dan sukses. Isteri saya bersara april tahun lalu kerana menderita sakit buah pinggang. harap saya juga dapat bersara dengan aman. tapi saya jauh daripada sastera kerana tak tahan dengan kemelut yang ada
Catat Ulasan