Sabtu, Disember 28, 2013
SAYA AKHIRNYA DIPERSALAHKAN JUGA
SETELAH mencecah
usia lebih setengah abad ini baru saya tahu dan kembali terkena. Kalaulah saya
tahu sejak mula dan awal akan begini jadi serta kesudahannya, saya pasti tidak
ingin terlibat dan apa lagi hendak menolong dahulunya.
Kisahnya begini.
Beberapa tahun yang
lalu, seorang yang mengaku tidak begitu tahu mengenai internet dan membuka
akaun email bersungguh meminta bantuan saya untuk membuka suatu akaun email
atas nama dirinya.
Kepada dia ini
sudah saya katakan apa tidakkah nanti di kemudian hari bila timbul apa-apa
masalah saya tidak dipersalah atau dituduh sebagai khianat. Kerana, tegas saya,
email peribadi adalah sesuatu yang sangat bersifat peribadi, percayakah dia
kepada saya untuk satu akaun email atas nama dirinya itu?
Mungkin kerana dia
berasa terlalu terdesak waktu itu. Apa sahaja alasan yang saya berikan, dia
tetap juga meminta saya membantu membuka suatu akaun email atas nama dirinya.
Dengan niat tiada
lain semata-mata kerana mahu menolong orang yang kesusahan dan memerlukan
bantuan, saya pun membuka suatu akaun email atas nama dirinya. Setelah akaun email
tersebut berhasil diwujud atau dicipta, segala
maklumat mengenai akaun email itu saya salinkan kepada dia serta menyuruh dia
menyimpannya sebagai rujukan di kemudian hari dan paling penting, saya ingatkan
kepada dia supaya segera menukarkan kata laluan untuk email itu setelah dia
berjaya dan semakin mengusainya.
Entah berapa belas tahun
sudah. Saya pun sudah lupa dan tidak pernah ambil tahu lagi mengenai email dia
yang satu ini. Hinggalah sebulan yang lalu saya menerima pesanan ringkas di
telefon yang bertanya mengenai jawapan bagi beberapa pertanyaan ketika
mendaftar untuk membuka akaun email tersebut.
Tentu sahaja saya
terkejut dan terpinga-pinga. Kenapa pula email dia maka saya pula yang
dijadikan tempat bertanya? Inilah yang membuat saya berasa seolah dipersalahkan.
Jika dahulu dia bersungguh meminta dan menolong, kini bila email miliknya tidak
dapat dia akses, mungkin kerana sudah terlalu lama tidak dia aktifkan, saya
pula dijadikan tempat dia melepaskan geram dan tuduhan.
Memanglah dia tidak
menyebutnya secara langsung bahawa saya yang berbuat sesuatu terhadap emailnya.
Tetapi bila dia menuding bahawa sayalah dahulu yang membuat dan mencipta email
atas nama dirinya, sangat terasa kepada saya, bahawa yang ingin dihalakan salahnya
adalah diri saya.
Saya tidak sudah
berfikir dan bertanya ke diri sendiri. Kenapalah dia ini begitu bodoh dan bebal
sangat? Mustahil selepas berbelas tahun dia masih tidak mampu menguasai
internet yang paling asas? Bukankah dahulu sudah saya serahkan semua maklumat
dan kenapa dia sendiri tidak menyimpan segala maklumat berhubung email atas
nama dirinya itu?
Saya tidaklah ingin
terlalu terkilan. Malah sebenarnya sudah cukup maklum mengenai tabiat manusia
begini kerana ini bukanlah kali pertama saya menerima nasib yang sedemikian:
ketika susah kitalah yang dipinta menolong, tetapi setelah senang dirinya kita pulalah
yang dijadikan musuh.
Beginilah tabiat
manusia. Setelah tapak dan taring sendiri dirasakan semakin tajam dan kukuh,
siapa yang dahulu tempat dia meminta bantuan dan tolong, pastilah akan dia
lupakan. Itulah resamnya.
Kerana itu jugalah
saya langsung tidak ingin bersedih!
Disember 28, 2013
@MARSLI
NO - Penulis lepas dan sepenuh masa yang sering berpergian ke mana-mana secara
bersendirian, demi untuk merangsangkan daya kreatif dan kreativitinya. Beliau
bisa dihubungi lewat email marslino@yahoo.com
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan