Februari 24, 2014
Selasa, Februari 25, 2014
TUAH SUBSIDI
TERGERAK hati
hendak singgah ke kedai kopi Long Hamzah petang ini.
Sebaik sahaja duduk,
segera kupinta segelas teh kurang manis dan sekeping roti canai. “Kuah lebih
sikit, Long,” Kataku.
Akhbar yang kubeli sekejap tadi di kedai runcit Raja
kubentangkan di atas meja di depanku. Di muka depan akhbar, terpampang cerita
BRIM. Seorang pemuda yang kutahu menjadi ketua sebuah cawangan dan duduk di
meja di hadapanku, kusedar melirik ke arah berita yang sedang kutatap itu.
“Baguskan BRIM ni.
Kerajaan beri terus kepada yang benar-benar memerlukan. Bagi yang kaya dan
berkemampuan mereka tak merasa lagi pemberian kerajaan macam dulu, di mana bila
orang miskin dapat mereka pun sama mendapat. Kau tahu bagaimana caranya?” tanya
pemuda ketua sebuah cawangan itu kepadaku.
Beberapa orang tua yang duduk di
seberang meja, yang sedang rancak bercerita mengenai BRIM juga, seketika menghentikan bualan mereka dan
serentak memandang ke arah kami.
Aku hanya menoleh dan memandang kosong ke wajah
pemuda berusia sekitar 30an ini. Aku sebenarnya memang malas nak berdebat dan
bertekak dengan dia pasal ini. Apa lagi ketika
niatku singgah ke kedai ini hanya sekadar untuk menghilangkan rasa bosan dan
tidak ingin berfikir mengenai apa-apa.
Lagi pula, aku memang tidak begitu akrab dengan dia. Walau tinggal
sekampung, perkenalan kami hanya setakat saling bertukar pandang atau
bersalaman jika kebetulan bersua selepas solat di hari Jumaat di masjid.
Namun, tanpa aku
pinta kudengar lagi ceramah pemuda itu. “Caranya
begini. Bila kerajaan kurangkan pemberian subsidi maka secara tak langsung
mereka yang kaya dan berkemampuan tidak lagi dapat menikmati kemudahan ini.
Dengan cara begini beban kerajaan menjadi berkurang dan orang yang memang
miskin kerajaan bantu melalui pemberian BRIM ini.”
Entah kenapa aku
berasa agak terganggu dengan ceramah yang tidak kupinta ini. Kerana itulah,
begitu sahaja Long Hamzah meletakkan pesananku di meja, berawal dengan
bismillah, segera aku mencubit dan menyuap cebisan roti canai ke mulutku.
Namun ternyata
pemuda ini tidak jemu menuturkan ceramahnya. “Dengan cara pemotongan subsidi
beginilah maka kerajaan dapat menambahkan sumber pendapatannya dan rakyat yang
miskin dapat dibantu secara langsung.”
Kerana memang sejak
mula niatku tidak ingin berdebat dan berhujah dengan pemuda ini, maka kubiarkan
sahaja dia bercakap sekehendaknya. Kerana niat mula ku itu jugalah maka segala
apa yang terfikir dan terbetik di benak fikirku, hanya kubenamkan di dalam diam.
Walau sebenarnya
memang ada yang ingin aku katakan. Namun kukira biarlah aku hanya memilih diam.
Biarlah. Mungkin
pemuda ini tidak tahu atau memang sengaja tidak mahu tahu. Betapa, setelah harga
minyak dinaikkan, atas alasan bahawa kerajaan telah mengurangkan subsidinya,
maka berbondong-bondonglah peniaga menaikkan harga barangan dan yang mengeluh
serta rasa terbeban bukan hanya mereka yang kaya dan berkemampuan, tetapi
termasuk juga orang-orang tua yang duduk di seberang meja di depanku, yang tadinya
sedang rancak bercerita mengenai BRIM itu juga.
Mungkin pemuda
pejuang bangsa dan negara ini tidak tahu atau sengaja tidak mahu tahu betapa bukan
hanya harga barang keperluan yang dinaikkan para peniaga atas alasan kenaikan
harga minyak, malah sekecil benda seperti sebiji jeruk buah kana atau kedondong
yang dahulunya berharga dua puluh sen sebungkus kini telah mereka naikkan
menjadi tiga puluh sen sebungkus pula!
Biarlah. Kalau
sekalipun aku memberitahu pemuda itu mengenai ini, kukira, ketaksuban cara
berfikirnya itu tidak akan memungkin dia untuk melihat persoalan ini secara
lebih terbuka.
Yang jelas, aku
tentu sahaja akan dia tuduh sebagai penyokong puak pembangkang!
Februari 24, 2014
Februari 24, 2014
@MARSLI NO
- Penulis lepas dan sepenuh masa yang sering berpergian ke mana-mana secara
bersendirian, demi untuk merangsangkan daya kreatif dan kreativitinya. Beliau
bisa dihubungi lewat email marslino@yahoo.com
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan