Isnin, Mac 17, 2014

PERINGATAN

SESEORANG yang berada di depan atau di atas, jika kian ketara teledor dan bejat, perlu ditegor dan diperingatkan agar kembali ke jalannya yang asal.  Ini memang hubungan timbal balik. Jika yang di atas sebagai pemegang amanah yang diserahkan oleh yang di bawah, yang di bawah pula berkewajiban menyampaikan nasihat serta tegoran kepada yang di atas, juga sebagai suatu amanah.

Namun bagaimana sebenarnya di realitas dalam kehidupan bermasyarakat dan berpolitik bangsa kita? Apakah yang di bawah dapat dan boleh menyampaikan tegoran dan peringatan kepada yang di atas, sekiranya jelas dan nyata telah berlaku perlanggaran daripada garis dan  jalurnya yang lurus dan yang sewajarnya dituruti?

Kita boleh menjawabnya dengan ya dan boleh juga dengan tidak. Kerana, setelah terlalu lama menggengam kuasa, yang pada hakikatnya merupakan suatu amanah yang diserahkan oleh mereka yang berada di bawah, manusia selalunya mudah menjadi lupa dan mabuk. Kuasa tidak lagi dipegang sebagai amanah, tetapi sebagai ruang dan peluang untuk meraih segala kesempatan untuk diri sendiri.  

Peringatan dan tegoran yang di bawah kini bukan lagi keutamaan dan sesuatu yang perlu didengar dengan takzim, sebaliknya telah  berubah menjadi sesuatu yang dianggap mengganggu dan menjadi ancaman kepada kuasa yang sentiasa cuba dimapankan.  Yang di bawah kini bukan lagi mereka yang perlu dibenahi serta disantuni, sebaliknya, kerana peringatan dan tegorannya, mereka malah dianggap musuh serta ancaman yang perlu segera diberenggus dengan tindak yang kadang jauh daripada sifat maknusiawi.

Lalu tatkala di sana sini berkumandang tegor serta peringatan yang di bawah, namun berbuat bejat, serakah dan sewenang tetap juga berleluasa, maka bermulalah episod buram kehidupan bangsa dan semakin berleluasa tanya: layakkah lagi mereka terus diberi percaya?

Walau apa pun alasannya,  rasa kecewa bangsa bukan kerana lambang atau simbol, atau manifesto buatan manusia.  Ketidakpercayaan marhaen hanyalah apabila mereka kian berasa diperbodohkan dengan pelbagai janji yang tidak pernah ditunai, simsalabim kata-kata dan sunglapan demi sunglapan.

Betapa pun akhirnya dikoarkan sejuta laung ketuanan!

Mac 17, 2014


@MARSLI NO - Penulis lepas dan sepenuh masa yang sering berpergian ke mana-mana secara bersendirian, demi untuk merangsangkan daya kreatif dan kreativitinya. Beliau bisa dihubungi lewat email marslino@yahoo.com
 

Tiada ulasan: