Khamis, Mac 20, 2014

BELAJARLAH MENYANTUNI PELANGGAN ANDA

SAYA tidak fikir dia yang membuka perniagaan alat tulis dan buku-buku di sekitar pekan di mana saya tinggal itu tidak mengharapkan pelanggan datang ke premis atau kedainya. Saya tidak fikir begitu, kerana sebagai "peniaga" dia pasti sahaja mengharapkan pelanggan masuk ke kedainya dan berbelanja sedikit atau sebanyak memberikan dia hasil serta laba untuk dia terus menghidupkan hayat perniagaannya.

Tetapi bila melihat nota di muka pintu kedainya, yang ditulis dengan huruf sebesar 20 poin, membuat saya sejenak tercenung dan berfikir: apa perlunya dia mencatatkan nota sedemikian di muka pintu kedainya? Sebagai peniaga bukankah dia sepatutnya mengalukan pelanggan masuk dan bukan menyatakan ayat-ayat kurang mesra yang boleh menghalau niat pelanggan untuk masuk ke kedainya.

Saya sangat pasti. Kedai itu memang menjual peralatan tulis menulis dan buku-buku (sebagiannya novel-novel popular yang menggamit perhatian saya untuk melihat lebih dekat). Saya pasti sebagai pemilik kedai itu (tidak pedulilah sebagai penyewa atau memang miliknya)  dia tidak tidur baring bersama keluarganya di dalam ruang kedai itu dan andai mahu bersolat atau sebagainya yang memerlukan ruang yang terpelihara kesuciannya, saya fikir dia bisa mencipta sebuah ruang di bahagian paling belakang kedainya. Itu pun kalau kedainya itu memang tidak punya ruang belakang yang khusus.

Kerana itulah, membaca nota yang jelas terpampang di pintu masuk ke kedai itu, yang menyuruh pelanggan menanggalkan kasut dan meninggalkannya di luar kedai, bagi saya adalah suatu perbuatan kurang cerdik bagi seorang pekedai menjual alat tulis dan buku-buku, apa lagi di sebuah pekan yang didatangi pelbagai bangsa, kaum dan agama. Saya bertambah mengatakan kurang cerdiknya pemilik kedai itu kerana di seberang jalan, sebuah kedai yang mengaku di papan tanda kedainya sebagai penjual buku-buku dan peralatan agama Islam tidak pun menyuruh pelanggan meninggalkan kasut yang dipakainya di luar kedai sebelum masuk ke dalam kedai! 

Saya tidak fikir pemilik kedai alat tulis dan buku-buku yang menghendaki sesiapa yang mahu berurusan di dalam kedainya mestilah meletakkan kasutnya di luar (walau dituliskan dengan kata 'sila') itu seorang yang tidak tahu berfikir (kalau pun bukan bodoh). Tetapi jika dia boleh berfikir dan bukan orang yang bodoh, kenapa dia meletakkan juga nota itu di muka pintu kedainya?

Saya fikir ini sebagiannya merupakan lanjutan dan warisan daripada amalan kata hikmat "layan diri" yang semakin berleluasa dipamer serta diamalkan dikalangan para peniagaku yang berbangsa Melayu serta beragama Islam juga.  Meski premis perniagaannya hanya di bawah pohon ceri, namun kerana budaya serta amalan layan diri itu, pelanggan yang datang mahu memberikan mereka rezeki dilayan bena tidak bena dan ketika mahu membayar diminta membayar dikaunter yang mencatatkan nota "Sila bayar di sini !!!!" dengan empat atau lima tanda seru!

Saya fikir amalan menyuruh pelanggan meninggalkan kasutnya di luar kedai pun asasnya kurang lebih serupa juga, yang tidak lain tidak bukan bermula dan bertolak daripada budaya "malas". Malas untuk setiap hari perlu menyapu habuk dan mengmob di lantai kedainya.

Kerana itu jugalah, premis perniagaan yang menjual tudung, selendang dan jubah, atau baju kurung, pun menyuruh pelanggan meninggalkan kasut atau alas kaki yang dipakainya di luar kedai. Seolah-olah di dalam kedai itu mereka tidur dan baring serta langsung tidak boleh dipijak. Begitu juga dengan kedai menjual komputer dan peralatannya, asal pemiliknya adalah Melayu, kebanyakannya "memerintahkan" pelanggan yang mahu berurusan di kedainya juga berbuat hal yang sama.

Tetapi kenapa di kedai yang perniagaannya serupa dan pemiliknya selain Melayu tidak pula menyatakan perintah sedemikian rupa kepada para pelanggan yang mahu ke kedai mereka?

Saya tidak punya jawaban mengenai itu. Hanya buat saya,  premis perniagaan tetaplah premis perniagaan dan perbuatan "memerintahkan" pelanggan menanggalkan kasut sebelum memasuki peremis mereka adalah perbuatan yang tidak mesra dan tidak mengalukan pelanggan.

Saya mungkin tidak mendatangkan wang atau berbelanja sehingga puluhan atau ratusan ringgit jika saya masuk ke kedai mereka, atau sekadar hanya membeli sebatang pen, tetapi yang pasti, saya tidak akan berurusan dengan kedai yang pemiliknya adalah sebangsa dan seagama dengan saya yang sungguh tidak mahu menyantuni pelanggannya, yang meleltakkan nota perintah sedemikian rupa di muka pintu kedainya begini.

Dan kerana itu juga, jangan menuduh saya tidak mahu menolong perniagaan bangsa sendiri, ketika pada waktu sama, anda tidak pernah cuba untuk menghormati saya sebagai pelanggan atau bakal pelanggan anda.

Tidak hairanlah perniagaan milik bangsa lain maju dan semakin maju, sedang perniagaan mereka (walau tidak semua)  hidup segan mati pun tak mahu!

Mac 20, 2014

@MARSLI NO - Penulis lepas dan sepenuh masa yang sering berpergian ke mana-mana secara bersendirian, demi untuk merangsangkan daya kreatif dan kreativitinya. Beliau bisa dihubungi lewat email marslino@yahoo.com

Tiada ulasan: