@MARSLI NO - Penulis lepas dan sepenuh masa yang sering berpergian ke mana-mana secara bersendirian, demi untuk merangsangkan daya kreatif dan kreativitinya. Beliau bisa dihubungi lewat email marslino@yahoo.com
Selasa, April 08, 2014
BEGINILAH MELAYU (1)
KETIKA saya melangkah masuk ke gerai makan di bawah pokok itu memang saya niatkan di dalam hati bahawa saya datang untuk makan di gerai itu bukan hanya mahu makan secara percuma di situ.
Tetapi seusai makan dan mahu memanggil pelayannya untuk mengira berapa yang perlu saya membayar, saya terperanggah seketika bila melihat terpampang satu nota besar tertulis di kaunter yang di belakangnya sedang duduk memanggung kaki seorang wanita: SILA BAYAR DI KAUNTER.
Jauh di dalam hati saya merungut sendiri. Saya datang ke gerai ini sebagai pelanggan dan mahu mendatangkan wang kepada pemiliknya. Tetapi kenapa demikian caranya pelanggan dilayan serta dirai? Pelanggan diarah datang menyembah taukeh warung yang duduk di bangku tinggi sambil memanggungkan kaki, semata-mata untuk memberitahu apa yang telah dia makan dan membayar harganya di situ.
Beginilah Melayu. Baru menjadi taukeh warung sudah berlagak sombong dan berangin tinggi. Patutlah sebelumnya tadi pelayan yang berkali-kali saya meminta datang untuk mengira membuat tidak tahu atau memekakkan telinga!
Memang perangai sombong Melayu yang tidak bertempat ini selalu dapat dijumpa bila ke gerai atau restoren milik mereka. Dengan dalih arahan LAYAN DIRI pelanggan dibiarkan mencedok dan mengambil sendiri apa yang hendak mereka makan, walau hanya kitalah satu-satunya pelanggan ketika itu!
Saya sebenarnya tidak sangat berasa terkilan dengan perintah dan arahan yang sedemikian jika gerai atau restoren itu memang bersifat ekslusif, tertutup dan berhawa dingin. Namun keadaan ini tidak berlaku di premis yang walaupun bersifat ekslusif tetapi jika pemiliknya bukan Melayu. Sebut sahaja "bil" pelayan akan datang membawa kertas berisikan jumlah yang perlu kita bayar dan tidak pula merungut atau mengarahkan kita ke kaunter jika diserahkan bayaran kepadanya. Tetapi kalau restoren yang konon-konon "ekslusif" milik Melayu? Kalau kita tidak diarahkan membayar di kaunter, bukan nama restoren Melayulah!
Memang bagi sebagian orang perkara yang saya timbulkan ini kecil dan remeh. Namun sebagai pelanggan, saya selalu meminta hak saya dihormati kerana bagi saya pelanggan tetaplah raja dan saya tidak memakan secara percuma. Berdepan dengan warung dan restoren sedemikian, itulah kali pertama dan terakhir saya ke sana!
April 8, 2014
@MARSLI NO - Penulis lepas dan sepenuh masa yang sering berpergian ke mana-mana secara bersendirian, demi untuk merangsangkan daya kreatif dan kreativitinya. Beliau bisa dihubungi lewat email marslino@yahoo.com
@MARSLI NO - Penulis lepas dan sepenuh masa yang sering berpergian ke mana-mana secara bersendirian, demi untuk merangsangkan daya kreatif dan kreativitinya. Beliau bisa dihubungi lewat email marslino@yahoo.com
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan