Sabtu, Mei 24, 2014
MAWAS DIRI
SEMAKIN usia menua semakin saya menjadi tidak terlalu mahu peduli dan menjadikan sebab untuk bersedih kerana perbuatan banyak manusia di sekeliling hidup saya.
Misalkan bila berdepan dengan orang yang suatu waktu pernah saya berikan kebaikan namun tiba-tiba berpura tidak mengenal atau langsung tidak menyapa ketika bertemu dengan saya di suatu ruang. Atau ketika berdepan dengan manusia yang suka menyombong dan membesar-besarkan dirinya seolah-olah dia sahajalah di dalam dunia ini yang paling pandai, paling bijak dan paling segala-galanya.
Misalkan yang lain, ketika tiada siapa yang peduli apa yang dia tulis dan terbitkan, maka sayalah yang mengulas dan menulis resensinya di tabloid nyamuk pada suatu waktu. Namun setelah dipilih untuk diterbitkan oleh penerbit yang hebat, dia terlupa untuk sedikit memberikan semacam kredit dengan menjemput kawan baik dan barunya untuk menuliskan pengantar.
Saya kiri penambahan usia ini semakin menjadikan saya manusia yang lebih tidak mahu ambil peduli dan tidak mahu terlalu berasa terganggu lantaran hal-hal yang sebegitu. Biarlah siapa pun hendak menyombongkan diri dan berlagak seperti tidak mengenal diri saya yang misalnya, pernah membayarkan duit hotelnya atau hal-hal lain yang memang tidak ingin terlalu saya sebut-sebutkan kerana tidak ingin dikatakan suka mengungkit benda yang diberi tidak pun sebesar mana.
Biarkanlah siapa pun mereka hendak berlagak dan menyombong di hadapan saya. Saya tidak berasa rugi apa-apa atau berasa telah dipermalukan kerananya. Suka hati dialah hendak berbuat apa pun. Apa lagi bila dikenangkan betapa di zaman muda dahulu bukan sekali atau dua saya pernah dipermalukan dan dihina seperti seekor anjing.
Misalnya, menunggu di depan pintu pagar rumah orang sejak waktu sebelum subuh hingga menjelang matahari pagi meninggi, sedangkan sebelum saya tiba, sudah pun saya memaklumkan lewat telefon bahawa nanti saya akan singgah untuk tumpang tidur di rumahnya dan dia pun tidak berkata tidak boleh. Ketika tiba, saya menelefon dari luar rumah dan nampak cahaya kebiruan dari telefonnya yang tidur di ruang tamu, sebagai bukti telefon itu tidak ditutup. Menunggulah saya sehingga ke pagi dan setelah menjelang pagi, dengan wajah tanpa sedikit pun menunjukkan rasa bersalah dia berkata tidak sedar atau terjaga ketika saya menelefon dan berpuluh kali mengucapkan salam di luar pintu pagar rumahnya.
Saya pun tidak meminta apa-apa yang keterlaluan dari sesiapa atau pihak lain jika saya sedar dan tahu itu bukan hak saya, kerana saya berada di dunia ini, atas nama sastera, tanpa perasaan ingin meminta yang keterlaluan dan berlebih-lebihan. Malah sejak awal, saya sudah pun kenal dan tahu, ini dunia yang penuh dengan muslihat dan manusia di dalamnya, di depan kita mulutnya memanglah manis, namun di belakang busuknya mengalahkan bangkai!
Kerana kesedaran sebegini sejak awal jugalah saya tidak mudah terpedaya dengan mereka yang pada zahirnya kelihatan hebat, bijaksana, penuh dengan wawasan dan sifat intelek. Mungkin saya terlalu sinis memandang. Namun saya tidak peduli dan tetap percaya diri dengan keyakinan sedemikian bila akhirnya segala dugaan saya terbukti benar: selagi bernama manusia, mereka itu tetap juga melakukan kebejatan.
Saya tidak salahkan orang di luar sastera andai berkata dunia ini penuh dengan tipu muslihat, kronisme kerana hakikatnya memang berlaku. Kalau yang menulis adalah kawan baikmu, maka kau pujilah melangit tinggi. Itu perkara biasalah.
Akhir kata, pergi mamposlah dengan para penyombong dan pelagak itu. Saya tetap begini juga!
Mei 24, 2014
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan