Selasa, Januari 05, 2016
RENUNGAN JANUARI 2016 #1
SATU
KERANA sudah bertekad
dan memilih untuk lebih bersendiri dan lebih mandiri begitu memasuki tahun 2016
ini, saya tidak berasa terlalu perlu dan penting untuk menceritakan apa-apa
yang ingin dan akan saya laksanakan sebagai seorang penulis di sepanjang tahun
2016 ini di sini secara terbuka. Sehinggakan kadang, boleh menimbulkan pula
kesan untuk terlalu menunjuk-nunjuk dan mengada-ada.
Sebagai penulis,
sudah pasti saya akan terus menerus menulis. Katalah itu buku, atau apa sahaja karya. Tetapi tidak terlalu perlu juga untuk saya
menceritakan di sini berapakah jumlah atau apakah bentuk dan genrenya. Biarlah
waktu dan hasil akhirnya nanti yang menentukan.
Selamat tinggal
semuanya: dunia galau dan kawan-kawan yang sombong, pengkhianat atau para
penggunjing. Semakin menjadi tua, semakin saya berasa ingin lebih menyendiri
dan semakin saya berasa tidak memerlukan apa-apa keriuhan lagi. Kepada yang
berminat dan menggilainya, saya tidak ingin menyalahkan anda. Silakanlah!
Dan saya sudah
memilih untuk terus berjalan: sendiri dan mandiri. Sendiri dan mandiri!
Januari 2, 2016
DUA
Aku memilih tetap
terus melawan dengan sajak-sajak, betapa pun dipandang hina dan tertindas.
Januari 2, 2016
TIGA
Fikir positif. Jangan
fikir negatif. Jangan asyik marah-marah. Sebelum marahkan orang lain, marahkan
diri sendiri dulu. Banyakkan tulis puisi dan jangan banyak tulis status diri di
FB. Apa lagi yang nak dibebelkan?
Baru hari ketiga
2016. Sudah mula bergentayangan pelbagai bebelan yang bertopengkan nasihat atau
peringatan.
Tidak mengapa. Aku
tak begitu tersentuh walau apa pun. Tetapi mengatakan langsung tidak, tentulah
suatu pembohongan. Macamlah kau tu malaikat. Langsung tiada perasaan marah dan tidak pernah tersentuh perasaan.
Aku berkata kerana
apa yang aku rasa dan alami sendiri. Kerana aku manusia biasa. Terlalu banyak
cacat cela. Juga kerana aku tidak mahu berlagak malaikat. Memberi nasihat dan
menunjuk sopan yang hebat. Tetapi jauh di dalam hakikat aku sembunyikan hasad
dan busuk yang pekat dan likat.
Sejujurnya sahajalah.
Aku hanya ingin menjadi diriku yang seadanya. Manusia yang tidak mahu berpura
dan berlagak. Jadi terserah. Bagaimana kau atau kalian membaca. Aku tidak kuasa
menghalang. Apa lagi mengemis simpati atau mengarah-arah. Begitulah dan
demikianlah aku. Tidak ingin berdusta. Tidak ingin berpura. Tidak ingin menipu.
Walau sesiapa.
Ya. Katakanlah. Kau
ini makhluk ketinggalan zaman. Tidak mengikuti musim dan perubahan. Lurus dan
bendul. Akan selalu ketinggalan. Atau akan lenyap ditimbus perubahan musim dan
keadaan.
Aku sudah menikmati
sepenuhnya zaman dan waktuku. Kalau hari ini itu sudah berlalu. Tiada pun kesal
di hatiku. Kerana demikian pilihan ketika sepenuhnya memilih. Dengan jiwa dan
dengan raga. Hanya ingin menjadi diriku.
Ini memang ruang yang
kupilih. Mencatat dan terus mencatat. Galau jiwa. Gelisah hati. Marah rasa.
Semua dan segala. Ini adalah buku harian jiwaku. Sebuah buku harian yang dengan
rela hati kukongsikan. Dengan beberapa teman terpilih dan terbaik.
Di ruang ini jugalah.
Aku merakam dan kemudian mentafsir kembali segala peristiwa dan kejadian.
Kemudian menjadi sperma. Yang bersenyawa di rahim imaginasiku. Bertukar dan
berevolusi pula lagi. Menjadi janin yang dikandungkan sekian waktu. Dan bila
tiba waktu kemudian dilahirkan. Sebagai bayi. Bernama cerpen atau puisi.
Tetapi kalau kerana
catatanku itu menggelisahkan kalian, aku akan kembali kepada permulaan. Biarlah
lagi aku tidak berkongsi. Dan diriku tetap menjadi penyendiri. Hanya aku
sendirian yang menuliskan dan membaca. Tanpa kalian atau sebarang kawan. Dan
hanya aku akan sendiri di sini. Tanpa kau. Tanpa teman. Tanpa sesiapa di sini. Kecuali
hanya aku. Bersendiri dan bersunyi di sini!
Januari 4, 2016
EMPAT
Tidak mengapa. Saya
tak akan mengemis lagi pengertian. Biarkan saja saya begini. Luluh dan hanyut
dengan kesendiriannya. Saya tahu inilah harga yang perlu saya bayar. Menjadi
penulis yang tak ingin berbohong dan bersandiwara. Memang mudah disalah
tafsirkan dan dituding prasangka. Tidak mengapalah. Kini saya pasrah dan redho.
Kerana hari ini, saya benar-benar menangis, ketika menulis catatan ini. Selamat
tinggal. Hari ini, saya memilih untuk menjadi penyendiri yang penuh.
Januari 5, 2016
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan