Rabu, Januari 06, 2016
KENAPA RUANG AMAUN DIKOSONGKAN?
KETIKA
masih bertugas menjaga peti tunai
pembayaran baki bayaran deposit masuk wad pesakit, di sebuah hospital kerajaan
satu masa dahulu, pegawai atasanku selaku berpesan dan mengarahkan:
"Sebelum minta mereka tanda tangan sub baucer penerimaan baki bayaran,
jumlah dengan angka dan perkataan yang dikembalikan mestilah ditulis terlebih
dahulu. Ini untuk mengelak berlaku penyelewengan. Misalnya, baki dia RM 200,
kau pakat dan minta rasuah dengan dia, kau beri dia seratus dan kau songlap
seratus. Ini perbuatan salah." Pesan dan procedure ini kuingat sampai
kini.
Tapi
di acara baca sajak yang aku salah seorang pembaca sajak yang dibayar RM 100
atau RM 200 oleh penganjur, banyak kali berlaku, di mana aku disuruh tanda
tangan sebagai akuan menerima bayaran, tetapi ruang amaunnya dibiarkan kosong,
tanpa mencatat pun jumlah akaun yang dibayar kepada aku dan pembaca sajak yang
lain sebanyak RM 100 atau 200 itu.
Itu
di majlis yang kononnya kendalian organisasi di sebelah sini. Tahun lepas, saya
ke satu acara pihak sebelah sana pula. Kejadiannya pun sama juga. Ketika
diminta tanda tangan senarai bayaran untuk pembaca sajak, pun saya lihat ruang
amaunnya dibiarkan kosong.
Apa
ini? Sebenarnya berapa amaun mereka nak bayar pembaca sajak? Kenapa tak tulis
terang terang di senarai itu? Atau sebenarnya mereka sengaja bayar ciput, lepas
itu tuntut balik dari para pemberi dana dengan amaun yang lebih besar dan
lebihan itu akan masuk ke poket peribadi mereka?
Saya
pernah berpersatuan dahulu dan selalu nampak bendahari persatuan guna taktik
begini. Itu di persatuan peringkat kampungan dan anggota kerja sukarelanya
terdiri mereka yang hanya lulusan darah enam atau SRP dan tak pandai pun nak
berfalsafah dan berkhutbah mengenai moral di dalam karya dan ucapannya?
Saya
tahu mereka menipu secara licik. Hujahnya mudah. Kalau mereka kata tak tulis
amaun itu awal awal kerana sebok dan nak cepat, dah jelas mereka berbohong. Apa
yang susahnya? Kalau nama, nombor kad pengenalan pembaca sajak boleh ditaip
dalam senarai penerima bayaran, kenapa tiba ruang amaun mereka tinggalkan?
Apa
pun dalih dan alasan yang mereka hendak berikan, bagi saya mereka jelas telah
menipu, bukan sahaja pembaca sajak yang terlibat, tetapi juga pihak yang
memberi dana, semata mata kerana mahu menyonglap dana selebihnya ke dalam saku
peribadi mereka atau bersama konco konco mereka.
Kerana
Itulah kini, semakin lama semakin saya rasa tak tergiur untuk pergi membaca
sajak. Puncanya itulah. Penyair hanya jadi alat orang yang jahat dan
berkepentingan, yang bila menulis dan bercakap, selaku menyebut soal maruah,
moral, kesopanan dan nilai nilai murni di dalam karya. Kadang kala pula,
sudahlah bayarannya hanya RM 100, cara bayarannya pun main pakai kepal dan
salam kaut sahaja!
Saya
tahu mereka yang keparat ini boleh kembali menafikan dan kembali menempelak
saya pula. Apa sahaja boleh mereka katakan. Tetapi saya sudah tidak hairan
dengan tempelak dan apa pun.
Misalnya,
saya tak lagi diajak membaca sajak kerana bacaan sajak saya asyik menjerit dan
melalak sahaja. Atau saya tidak lagi diajak kerana sikap saya sendiri yang
bongkak dan sombong. Atau kalau tidak pun, mereka akan kata, selain saya masih
ramai lagi yang boleh baca sajak lebih bagus dan hebat!
Sebabnya,
tanpa perlu mengharapkan belas manusia seperti mereka, untuk mengajak saya
membaca sajak, saya telah dan pernah dibayar dan disponsor untuk ke Korea,
Manila dan Singapura, hanya untuk membaca sajak dengan bayaran yang mahal!
Sedang
mereka? Hanya sekedar melalak dan bertempik di bawah tempurung negeri sendiri,
atau paling paling hanya ke Indonesia. Dan itu pun pergi kerana mereka sendiri
yang mengeluarkan segala kos tambang, makan dan penginapan ketika di sana.
Januari
5, 2016
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan