Khamis, Oktober 20, 2016

OTAK-OTAK YANG PECAH

Cerpen MARSLI N.O

TERLALU banyak yang menyesaki fikiran. Pertanyaan demi pertanyaan. Persoalan demi persoalan. Bergumpal. Menerjah. Menusuk. Menikam. Di dalam fikiran.

Saya tahu sebahagiannya memang tidak perlu untuk saya acuh dan  berterusan memikirkannya. Tetapi apa daya saya untuk menghindar serta menghalangnya.

Satu demi satu. Sedikit demi sedikit. Segala yang pada mulanya bermula dengan secebis demi secebis ingatan milik saya yang bergentayangan, mulai berbondong-bondong memasuki fikiran. Bergomol di dalamnya. Bergaduh dan bertekak sesamanya. Kerananya, saya jadi gelisah, serba tidak menentu. Hidup terasa terawang-awang. Bagaikan tidak berjejak di bumi nyata.

Saya sedar dan tahu siapa diri saya. Sesungguhnya tiada keperluan yang terlalu untuk saya memikirkan semua itu. Saya hanya pencacai, saya tahu. Pencacai yang hanya bergerak dan bertindak hanya bila diarah serta diperintahkan oleh siapa yang menjadi tuan saya.

Kerana itulah saya sedar dan tahu betapa memang tiada sebarang perlu serta gunanya untuk saya memikirkan terlalu segala sesuatu. Tiada perlu.

Saya hanya pencacai. Aturan hidup saya hanyalah akur dan menurut segala perintah dan arahan. Sebagai pencacai, saya tidak berhak mengatakan tidak. Segalanya saya laksanakan demi kelangsungan hidup saya. Sehingga kerananya, saya juga tidak pernah ambil peduli segala gunjing serta umpat kawan-kawan.

Kewrana bagi saya, apa yang mereka tahu? Andai perut saya mengkerekot menderita kelaparan, mahukah mereka memberikan saya wang untuk membeli makanan yang enak serta menjadi kegemaran saya? Tentulah tidak sama sekali.

Andai suatu hari seluar yang saya pakai ke mana-mana ini koyak dan rabak, mahukah mereka memberikan saya wang untuk menempah sepasang persalinan yang baru? Sudah pasti akan tidak.

Kerana itulah saya tidak ambil peduli dengan segala umpat serta keji mereka. Saya tahu ramai mereka yang membenci serta menaruh dengki kepada saya. Kerana, walau hidup saya hanyalah sebagai pencacai, namun keadaan hidup seharian saya jauh lebih mewah dan bergemerlapan berbanding mereka yang kononnya hidup dan berdiri di atas kaki sendiri.

Apa peduli segala gelaran dan tohmah. Meski saya hidup hanya sebagai pencacai, saya tidak pernah sekalipun mengganggu dan menyusahkan hidup sekalian mereka.

“Kau pencacai!”
“Kau pencacai!”
“Kau pencacai!”
“Kau pencacai!”

Begitu terdengar bersipongan tempik dan teriak sekalian mereka.

Saya sedar dan  tahu, bukan saya yang memulakan segala persoalan. Tetapi mereka. Merekalah  sebenarnya yang bermasalah dan memulakan segala masalah.

Walau hidup saya lebih senang dan mewah berbanding hidup mereka, namun bukan hak dan milik mereka yang saya rampas dan ambil.

Walau sebagai pencacai banyak mudah, ruang dan peluang saya peroleh, tetapi kenapa hendak mereka berasa iri dan dengki? Kerana mudah, ruang dan peluang itu saya peroleh tidak lain sebagai ganjar yang diberikan oleh siapa yang menjadi tuan saya, untuk segala setia dan akur saya sebagai pencacai selama ini.

Andai saya ke mana-mana dengan kenderaan menjalar, itu pun kenapa hendak mereka jadikan sebab untuk mencemoh dan menuding saya? Kerana petrol dan segala keperluan kenderaan itu semuanya saya yang menanggungnya.

Atau andai saya saban hari sentiasa berganti kekasih serta pasangan, kenapa pula hendak mereka irikan, andai mereka sendiri tidak mampu untuk memiliki?

Jadi apa masalah mereka sebenarnya kalau tidak bukan kerana hasad, cemburu serta iri itu!

Saya tahu hanya pencacai. Saya tahu. Sekali lagi saya tegaskan: saya hanya pencacai. Saya tahu.

Kerana tahu dan menyedari akan hakikat itulah saya tahu semua itu tidak perlu saya terlalu memikirkan.

Tetapi segalanya tidak dapat dan mampu untuk saya hadang serta tahankan. Segalanya tetap berlayangan deras menerjah ke segenap pelosok dan ruang di dalam ingatan milik saya.

Namun perjalanan ini tetap dan perlu saya teruskan. Saya tahu saya kini hidup di zaman yang serba cepat dan sibuk. Di zaman ini, siapa yang leka dan hanya memilih menjadi penonton dan penunggu, pastilah akan menjadi mangsa suasana serta keadaan.

Kerana itulah, jika perlu, saya akan melompat dan berlari!

Saya tahu saya perlu dan mesti teruskan perjalanan ini. Dan mereka, persetankan semua mereka yang hanya tahu berhasad dan menggelembongkan perasaan mereka hanya dengan dengki serta kesumat.

Saya terus berjalan dan berjalan. Sesekali jika perlu, saya mesti melompat dan berlari. Dan saya amat waspada serta hati-hati. Saya tidak boleh sama sekali jatuh atau rebah di tengah perjalanan ini. Kerana, jika saya jatuh, saya tahu, tiada siapa yang akan menolong dan membantu diri saya. Malah, saya tahu, mereka tanpa sedikit pun punya rasa belas di dalam diri, akan beramai-ramai memijak saya sampai lumat dan hancur.

Ah, saya berfikir lagi. Sepatunya, sebagai pencacai, saya tidak perlu untuk terlalu memikirkan semua itu. Sebagai pencacai, hidup saya hanyalah akur dan menunaikan segala suruh serta perintah tuan yang memberikan saya segala mudah, ruang, peluang, kemewahan dan kenikmatan hidup saya.

Selain itu tidak perlu.

Tidak perlu berfikir. Tidak perlu kembali bertanya. Tidak perlu mempersoalkan. Tidak perlu kembali berhujah. Tidak perlu memiliki rasa khuatir serta cuak. Tidak perlu bimbang dan risau.

“Ya, tuan. Saya sentiasa setia, sedia dan akur melaksanakan segala perintah.” Itulah diri saya.

Krik, krik, krik. Krik, krik, krik. Terasa sesuatu bergerak-gerak di dalam otak pencacai milik saya. Saya menggeleng-gelengkan kepala saya ke kiri dan ke kanan beberapa kali. Tetapi Krik, krik, krik masih tetap terasa. Krik, krik, krik. Krik, krik, krik.

Saya bangkit dari pembaringan. Menggeleng-gelengkan kepala. Namun Krik, krik, krik itu tetap terasa bergerak di dalam otak saya. Krik, krik, krik. Krik, krik, krik.

Saya kejapkan kedua belah mata milik saya beberapa kali. Krik, krik, krik. Krik, krik, krik.

Saya bangkit dan tegak berdiri di tepi katil milik saya. Krik, krik, krik. Krik, krik, krik. Terasa bergerak-gerak lagi di dalam otak saya.

Saya melompat dan melompat. Namun Krik, krik, krik itu tetap terasa bergerak-gerak di dalam otak saya.

“Kau pencacai!”
“Kau khianati sahabat baikmu sendiri!”
“Kau terlalu pentingkan tembolok sendiri!”
“Kau lelaki keparat yang hanya tahu berjanji.”
“Kau jantan sial!”

Saya tahu tiada siapa yang akan peduli di tengah zaman kehidupan yang sebok dan  hiruk-pikuk ini. Saya tidak boleh jatuh. Saya mesti terus tegak dan berdiri. Perjalanan ini mesti saya teruskan. Hanya dengan setia, akur dan patuh hidup saya ini akan sentiasa dilimpahi mudah, mewah dan kenikmatan.

Tetapi krik, krik, krik. Krik, krik, krik. Saya tidak tahan lagi. Cukuplah. Saya tidak mahu berfikir lagi. Saya tidak mahu.

Lalu sekuat tenaga, saya hantukkan kepada saya ke dinding simen di depan saya.  Kini kepala saya pecah berkeping-keping. Otak saya bersemburan ke dinding dan sebahagian lagi meleleh ke lantai.

Saya terkial-kial sendirian di sini. Terawang-awang di suatu ruang yang saya tidak pasti entah di mana. Terawang-awang dan terawang.

Dan di lantai, saya melihat dengan mata dan kepala saya sendiri. Cairan otak saya yang meleleh di lantai itu kini telah berubah dan membentuk sebuah peta.

Peta berbentuk jantung itu, saya lihat semakin lama, semakin berwarna kumal dan hitam! Sambil nun di kejauhan, terdengar sayup-sayup lolong dan ratap tangis manusia yang entahkan siapa.

“Tolong!”
“Tolong!”
“Tolonglah, selamatkan bangsa ini!”
“Tolong!”
“Tolonglah!”

Sumber siaran: Dewan sastera, September 2016

*MARSLI N.O  dilahirkan di Estet Bukit Pahang, Kerteh, Terengganu dan membesar serta mendewasa di Kuantan, Pahang. Mulai menulis sekitar tahun 1970-an dan kini sudah menghasilkan 8 kumpulan cerpen, 6 kumpulan puisi, 3 novel, 2 proses kreatif dan satu kumpulan drama pentas. Secara peribadi, demi untuk mendapatkan gugahan serta gerakan untuk terus berkarya dan berkreatif, beliau sering berpergian secara bersendirian ke mana-mana dengan motorsikalnya. Mulai April 2013, beliau diktiraf sebagai Munsyi Dewan (Sastera) oleh Dewan Bahasa dan Pustaka. Beliau dapat dihubungi melalui email marslino@yahoo.com

Tiada ulasan: