Ahad, Oktober 23, 2016

SEKALI LAGI

SAYA yakin ketika pengelola ruang sastera itu memberitahu saya kisah itu, dia tidak berbohong. Saya yakin amat.

Kisahnya, seorang sasterawan yang lebih berusia, yang melawat ke pejabatnya, telah mencemoh dan mencebir karya saya yang telah dipilih untuk disiarkan pada bulan tersebut.

Antara lain, atau kurang lebih sasterawan veteran itu berkata: “Apa ke benda cerpen macam ini. Hanya kisah bunyi bising dalam otak? Mengarut sungguh”

Marah? Sedih? Kesal? Bohonglah kalau saya katakan saya langsung  tidak berasakan apa-apa di dalam perasaan. Namun untuk sampai terlalu berlamaan memikirkannya, tentulah tidak.

Saya memang tidak ingin membuang terlalu banyak waktu memikirkan soal apa kata dan gunjing orang terhadap diri atau karya saya.

Walau seingat saya, saya tidak pernah berkata apa-apa pun yang buruk mengenai karya sasterawan yang satu ini, namun saya tidak mahu bersedih hati memikirkan segala kata gunjingnya.

Biarkanlah segala kebaikannya diberikan ganjaran yang setimpal oleh Allah SWT.

Saya sedar dan tahu betapa perjalanan saya untuk mencapai dan merealisasikian cita-cita melahirkan paling tidak sebuah maha karya, masih terlalu jauh.

Apa lagi bila menyedari betapa saya ini hanyalah anak kampung yang pendidikan akademiknya tidaklah setinggi mana, jika hendak dibandingankan dengan sasterawan veteran tersebut. Tentulah  kehebatan, kecerdikan dan kepandaian saya ini dengan dirinya bagaikan langit dengan bumi perbezaannya.

Sekali lagi, saya tidak ingin berasa terlalu sedih kerananya. Dan saya pun memang tidak boleh menghalang dia atau siapa pun menghina dan mencebir karya saya.

Katalah apa sahaja. Saya akan tetap begini-begini juga. Dan saya tahu diam tak diam, saya lihat serta perhatikan jalur dan gaya penceritaan yang saya mulai sekitar tahun 1989 itu, kini menjadi tiruan dan ikutan (gaya dan cara penceritaan), oleh khususnya para pengarang daripada Sabah dan Sarawak.

Namun saya tidak pernah pun berasa bangga atau menganggap diri sebagai sesuatu yang istimewa. Kerana, saya datang dan hadir ke tanah sastera ini, hanya dan kerana mahu berkarya serta terus berkarya. Tanpa peduli apakah kehadiran saya hanya sebagai penulis atau pengarang.

Gelar apa pun tidak penting. Yang penting adalah saya perlu menulis dan terus menulis.

Dan mereka yang masih juga belum menemui jalan kebenaran serta suka menghina-hina dan mencebir-cebirkan karya orang lain itu, meski siapa pun dirinya, semoga diberikan taufik serta hidayah oleh Allah SWT.

Oktober 23, 2016


MARSLI N.O  dilahirkan di Estet Bukit Pahang, Kerteh, Terengganu dan membesar serta mendewasa di Kuantan, Pahang. Mulai menulis sekitar tahun 1970-an dan kini sudah menghasilkan 8 kumpulan cerpen, 6 kumpulan puisi, 3 novel, 2 proses kreatif dan satu kumpulan drama pentas. Secara peribadi, demi untuk mendapatkan gugahan serta gerakan untuk terus berkarya dan berkreatif, beliau sering berpergian secara bersendirian ke mana-mana dengan motorsikalnya. Mulai April 2013, beliau diktiraf sebagai Munsyi Dewan (Sastera) oleh Dewan Bahasa dan Pustaka.

Tiada ulasan: