Ahad, Disember 24, 2017

KERANA EJEKMU, AKU TEKADKAN CITA MENJADI PENULIS

Sebuah Nostalgia MARSLI N.O

SEBAGAI anak yang sudah kematian bapa, apa lagi kerana keturunannya Jawa dan bukan Melayu Terengganu, serta menumpang kasih seorang nenek yang sudah tua dan ibu pula tidak punya sumber pendapatan yang tetap, hidup masa kecil saya sangat sulit.

Kerana kesulitan hidup itu saya ke sekolah dengan baju dan seluar lusuh tidak berganti serta mengalaskan kaki dengan kasut sekolah yang sudah separuh haus tapaknya.

Untuk menjimatkan belanja membeli buku tulis pula, saya mengoyak baki halaman buku tulis lama yang masih belum digunakan dan ditampal ke dalam buku tulis sedia ada. Kerananya, suatu pagi, bila guru besar sekolah saya yang bijaksana masuk ke dalam kelas saya memeriksa buku tulis murid, saya telah diherdik dan ditampar di pipi kiri kerana "kesalahan" itu. Sehingga hari ini, saya masih terasa bagaikan kelmaren sakit tamparan di pipi ini!

Hobi menampal dan mengkitar guna semula baki halaman buku tulis yang masih belum digunakan juga telah mendorong saya menuliskan apa yang saya terfikir dan rahsiakan di dalam perasaan ke kertas.

Saya tidak tahu dan tidak pasti apa yang saya tulis ketika itu apakah cerpen, sajak atau novel. Yang penting saya berasa ingin menulis meluahkan sesuatu ke kertas. Saya menulis dan menulis. Setelah selesai, saya menuliskannya, saya berasa satu perasaan puas dan senang di dalam hati. Kerana itu jugalah saya terus menulis dan jika tidak selesai, saya sambung menuliskannya ketika menunggu guru datang mengajar dan cepat-cepat menyimpannya bila melihat cikgu muncul. Kadang-kala saya melihat cikgu, terutama seorang cikgu bernama Mat Zain, menjeling tajam ke arah buku tulis lama di tangan saya yang berisikan novel, sajak atau cerpen saya.

Sehinggalah pada suatu hari ketika subjek Bahasa Melayu dan karangan diajarkan. Saya terkejut dan sungguh tidak menyangka bila cikgu Mat Zain dengan gaya sambil menenyehkan telunjuk kanannya ke hidung dan menjeling ke arah saya yang duduk di bangku paling depan, antara lain berkata, "Bukan macam budak zaman sekarang, mengeja pun tidak berapa betul, tetapi ada cita-cita nak jadi penulis!"

Tetapi mungkin kerana waktu itu saya hanya seorang murid di darjah 5 dan berusia sekitar 11 tahun, kerana itu saya tidak berasa ingin marah dan mengamuk atau kembali menghamun cikgu Mat Zain kerana kata sindirannya itu.

Tetapi yang jelas, kerana sindirannya itu, saya semakin tidak ambil peduli dengan jelingannya bila setiap kali dia melihat saya khusyuk menulis cerpen, sajak atau novel saya di buku tulis lama yang saya gabungkan baki halaman kosongnya yang belum digunakan.

Malah kerana perangai degil dan sombong, saya semakin menunjuk-nunjukkan hobi menulis saya itu di depan cikgu Mat Zain!

Hinggalah saya meninggalkan bangku sekolah rendah dan berpindah belajar di sekolah menengah, saya sudah membuang cikgu Mat Zain dari ingatan saya, namun kata sindirannya tetap tidak saya lupakan.

Tetapi suatu hari, ketika pulang berbasikal dari bandar Kuala Terengganu, saya berehat berteduh di bawah pokok di tepi jalan, saya melihat cikgu Mat Zain mengayuh basikal sport Ralieghnya. Saya tidak menegurnya tetapi di dalam hati saya berasa kasihan bila melihat dia seorang cikgu sekolah rendah hanya menunggang basikal dan tidak menunggang sebuah Vespa atau memandu kereta Moris Minor.

Kerana miskin, saya tidak mampu meneruskan pelajaran menengah saya ke tingkatan dua dan seterusnya. Saya memilih meninggalkan kampung halaman untuk mencari nafkah hidup ke negeri Pahang. Semakin saya meningkat usia remaja dan semakin dihimpit kesibukan mencari nafkah, nama cikgu Mat Zain semakin saya lupakan.

Tetapi cita-cita dan hasrat saya untuk menjadi penulis tidak pernah saya urungkan. Saya terus menulis dan belajar sendirian melalui buku dan pembacaan. Saya sedar, kejayaan saya untuk menggapai cita-cita menjadi seorang penulis yang berjaya sepenuhnya tergantung kepada usaha keras saya sendiri dan bukan kerana orang lain. Kerana itulah saya terus menulis sambil belajar tanpa jemu.

Kini, sesudah berjarak 49 tahun dengan saat saya mendengar kata sindiran cikgu Mat Zain itu, saya masih tetap dan terus menulis. Bukan hanya itu, saya juga sudah menerbitkan belasan buku yang diterbitkan oleh beberapa penerbit bermaruah seperti DBP, Utusan dan ITBM.

Saya akui saya memang berasa marah dan diperlekeh oleh cikgu Mat Zain kerana kata sindirannya itu. Tetapi kerana kata sindirannya itulah secara diam-diam saya bertekad untuk membuktikan kepada cikgu Mat Zain betapa saya sebenarnya bukan budak berhingus yang berlagak hendak jadi penulis tetapi saya sebenarnya benar-benar memang seorang penulis!

Hari ini, ketika sedang menulis catatan ini dan selesai membaca kisah seorang guru disiplin di Nilai yang diseret ke mahkamah kerana dedikasi tugasnya sebagai seorang guru dan kemudian mahkamah telah membebaskannya, saya kembali terkenangkan cikgu Mat Zain dan kata sindirannya.

Saya fikir, sebanyak sedikit, sindiran atau ejekan cikgu Mat Zain itu turut telah membakar semangat dan sekaligus mencabar saya untuk tidak bermain-main dengan hasrat dan cita-cita saya untuk berjaya sebagai penulis.

Malah tidak berlebihan rasanya kalau saya ucapkan: " Cikgu Mat Zain, terima kasih kerana ejekkanmu. Hari ini aku memang seorang penulis!"

Disember 21, 2017

Tiada ulasan: