Sabtu, Disember 15, 2018

PENGUMUMAN

Mei 11, 2016 (Rabu). Nota Subuh. 
(Cuplikan dari nota Kembara Solo Malaya 10-17 Mei 2016)

Kurang lebih jam 5.50 pagi, azan Subuh mengejutkan aku dari lena.

Inilah bagusnya menginap di hotel bajet berhampiran surau atau masjid. Letih dan mengantok bagai mana pun, kupaksa juga diri untuk bangkit, ke bilik air di luar untuk berwudhu dan menunaikan perintah yang yang wajib ditunai. 

Terasa malu dan hina diri untuk meneruskan tidur tatkala mendengar lantang berkumandang seruan "jaga itu lebih baik daripada tidur" dari corong pembesar suara surau berhampiran. 


Letih, mengantok, rasa kurang selesa dan pelbagai duga lagi, aku tahu akan sentiasa menguji diri di sepanjang kembara sendiriku ini. Kupinta dengan harap dan doa, semoga Allah SWT memberikan aku kekuatan dan sentiasa melindungi diriku yang kerdil ini di sepanjang kembara ini.

Sebagai pengembara yang baru bermula, yang ingin belajar melihat lebih dekat dan lebih jauh tanah airnya sendiri, aku bergerak bertatih-tatih sendirian di kembara ini. Aku tahu akan banyak duga dan ujinya. Aku redho dan pasrah.

Apa pun yang terjadi dan akan kuhadapi seterusnya nanti, kuserahkan seluruh jiwa dan ragaku hanya kepada Dia yang maha mengetahui segala urusan-Nya.

Kerana dengan kembara ini, aku ingin benar-benar menghayati dan memahami makna sunyi yang sejati. Dengan sunyi ini, aku ingin bermuhasabah menilai kebodohan dan kekurangan diriku sendiri. Insyaallah. Kerana inilah tujuan kembara sendiriku ini. Aamiin

Selepas sarapan pada jam 7.30 pagi tadi, aku kembali ke kamar hotel ini. Bersantai berbaring, membaca dan menulis, sambil menikmati dingin hawa daripada alat pendingin hawa yang seadanya. 

Sengaja aku tidak mahu menggesa-gesakan diri, walau kutahu jarak antara Kuala Terengganu ke Machang, menurut Google sekitar 132 kilometer dan lama perjalanan sekitar 2 jam lebih. Atau kalau berdasarkan cara aku menunggang motor, yang sering berhenti mencatat dan merakamkan foto, sekitar 3 jam lebih.

Sejak mula bergerak semalam pun, aku memang berniat untuk mengembara sesantai yang mungkin, tidak ingin terlalu tergesa-gesa, kerana aku ingin lebih menikmati keindahan alam tanah airku ini sedalamnya dan merakamkan foto untuk kenangan diriku peribadi di kemudian hari.

Memang bergerak secara begini akan memakan banyak waktu dan perlukan agak lebih wang kerana aku akan agak lama dan kerap berhenti di banyak lokasi. Bajet hotel dan makan tentunya yang menuntut peruntukan yang lebih.

Tetapi apa salahnya berbelanja lebih sedikit. Aku tidak mengembara mengejar nama tempat dan lokasi, tetapi aku mahu mengenal dan belajar memahami setiap lokasi yang aku singgah, walau hanya sekilas. Seperti membaca sebuah buku yang agak tebal. Tidak dapat membaca semua isinya, dapat menyentuh dan mencium baunya pun sudah memadai.

Lagi pula, sebagai pemilik diabetic, aku memang punya kelemahan untuk berjalan di terlalu awal pagi. Kebisaannya, selepas solat Subuh dan sarapan, untuk mengelak rasa mengantok yang amat berat di tengah perjalanan nanti, aku perlu sekejap tidur sekitar jam 9.00 pagi.

Sebagai panduan mencari arah destinasi perjalanan, aku menggunakan peta konvensional dan peta maya kepunyaan Google.

Tetapi awas, tak semua petunjuk peta Google boleh dipercayai, perlu semakan semula. Contohnya hotel yang kusewa kamarnya ini kini. Google mengatakan letaknya di Jalan Sultan Ismail, walhal sebenarnya di Jalan Sultan Zainal Abidin.

Dan kini sudah jam 9.48 pagi. Aku perlu sekejap tidur untuk rehatkan mata. Nanti jam 11.00 pagi aku akan meneruskan perjalanan.

@ MARSLI N.O kini adalah penulis sepenuh masa dan memilih untuk percaya sepenuhnya kepada dirnya sendiri. Beliau sering mengembara sendirian dengan motorsikal 250 atau 175ccnya. Dengan motto: aku kembara, menulis di jalan dan tidor di jalan.

Tiada ulasan: