Jumaat, November 30, 2018

ACARA

Belasan tahun yang lalu, saya berbual dengan seseorang yang terlibat dengan dunia perbukuan  di meja jamuan selepas satu acara.

Antara lain, ketika kami menyentuh mengenai satu persatuan pelukis yang sedang berura-ura mengadakan mesyuarat pemilihan ahli jawatan kuasa barunya, penerbit ini menyatakan hasratnya untuk masuk bertanding jawatan presiden dalam persatuan pelukis tersebut. 

"Awak bukan pelukis bagaimana boleh jadi ahli persatuan pelukis?" tanpa berselindung saya spontan bertanya kepada dia.

Pertanyaan saya di jawab oleh penerbit ini dengan jegilan bola matanya dan saya perasan dia mungkin atau memang tersinggung kerana tanya saya itu.

Saya langsung menguncikan mulut selepas itu dan sejak hari itu juga, jika kebetulan terserempak dengan dia, dia langsung tidak menyapa saya atau tidak sudi lagi membalas sapaan salam saya kepadanya. 

Saya sedar saya mungkin agak melampau kerana kembali bertanya begitu.

Namun bagi saya, pertanyaan saya itu suatu yang normal dan bukan menjadi suatu kesalahan yang besar pun. Bagi sayalah.

Hujah saya mudah saja. Seorang yang bukan pelukis, tetapi mahu masuk bertanding sebagai presiden sebuah persatuan pelukis, bagi saya samalah halnya dengan penjual sayur yang mahu bertanding jawatan presiden persatuan menjual daging.

Saya membuat perbandingan begini tidak lain dan tidak bukan kerana melihat apa yang berlaku dan menjadi amalan di bidang sastera dan teater ketika itu. 

Ketika itu, belasan tahun yang lalu, seorang yang selalu bercakap mengenai sastera, memberikan khutbah, petua, teori dan ajaran mengenai sastera serta segala selok belok mengenai sastera dan penulisan, bukanlah orang sembarangan.

Mereka ini, merupakan tokoh sastera dan penulis hebat serta terpandang di bidang sastera, akademik atau sebagai novelis, cerpenis dan penyair.

Ketika ini, Usman Awang, Kris Mas, A Samad Said, Arena Wati, Shahnon Ahmad, S Othman Kelantan, Hashim Awang, Ramli Isin, Rahman Shaari, T Alias Taib, Kemala, Dharmawijaya, Shafie Abu Bakar, Siti Zainon Ismail, Arbak Othman, A Rahim Abdullah, Anwar Ridhwan, Fatimah Busu, Zaini Oje dan Othman Puteh adalah nama dan tokoh yang sentiasa dihormati kerana pandangan bernas serta sikap prihatin menceramahi, membantu dan membimbing penulis di seluruh cerok dan pelosok tanah air.

Jika mengenai teater dan penulisan skrip pula, nama-nama yang selalu dirujuk dan tampil bercakap mengenainya adalah Syed Alwi, Zakaria Ariffin, Mana Sikana, Matari Raman, Samad Salleh dan Dinsman. 

Namun lama kelamaan, faktor waktu, usia dan takdir menyebabkan sebagian nama ini telah berpulang ke negeri abadi, sementara beberapa yang masih hidup seperti kian dilupa atau disisihkan.

Dari kalangan yang lebih berusia muda telah muncul pula sejumlah nama yang dianggap layak dan mampu meneruskan amanah yang sebelum ini dilaksanakan oleh tokoh-tokoh sastera, teater dan penulisan hebat tersebut. Nama-nama yang wajar disebut adalah S.M Zakir, Jasni Matlani, Mawar Shafie  atau Faisal Tehrani atau yang lebih berusia muda seperti Fahd Radzy, Wan Nor Azriq dan Roslan Jomel di bidang sastera, Namron, Halimi MN dan Rosminah Tahir di bidang teater.

Memasuki ke era abad 21, atau lebih jelasnya sekitar tahun 2010 ke atas, dunia sastera dan penulisan tanah air semakin rancak dan dimeriahi dengan ramai kehadiran bakat teater dan tunas sastera serta penulisan.

Di era inilah semakin ramai manusia pandai sastera yang menunjukkan keahlian serta kemahiran masing-masing. Malah kadang terasa situasinya lebih cenderung ke aspek pertunjukan dan bukan dalaman karyanya.

Ketika ini jugalah saya semakin sedikit demi sedikit memilih untuk berada di luar hiruk pikuk dan memilih untuk hanya berkarya diam-diam. 

Memang secara peribadi dengan sengaja sejak beberapa tahun belakangan ini saya memilih untuk tidak hadir ke banyak perhimpunan, majlis, seminar dan acara teater, sastera atau yang dikatakan sebagai sastera.

Dengan perhitungan atau kesimpulan tertentu, saya punya sebab dan alasan tersendiri kenapa memilih demikian, yang tidak terlalu ingin saya sebutkan secara terbuka pada mulanya.

Tetapi kian lama ternyata apa yang menjadi sebab dan alasan saya itu dahulu kian terbukti benar dan tidak bersalahan kini. Dengan beberapa contoh dari beberapa acara, walau tidak sebagai kesimpulan, namun itulah yang ternyata berlaku. 

Misalkan belakangan ini sering amat, tanpa rasa silu dan segan, mereka yang bukan ahli dan bidangnya bercakap di pentas seminar dan mengkhutbahi khalayak.

Misalnya bercakap dan menasihati orang lain mengenai puisi mengalahkan professor atau penyair tersohor, sedangkan yang bercakap ini buku puisinya masih tidak seberapa dan sekadar apa adanya sahaja.

Atau misalnya yang lain, tanpa segan dan silu juga, mereka tampil ke pentas menasihati orang lain agar menulis begini dan begitu, sedang usia dan pengalaman menulisnya sendiri bak berburu di padang datar.

Tentu sahajalah banyak hujah dan alasan boleh direkacipta untuk membela dan kembali menghujat.

Namun kegalauan dan kekeliruan di dunia sastera masakini antara puncanya, bermula bila mereka yang bukan benar-benar ahli dan tahu mengenai bidangnya tanpa segan dan silu bercakap menuturkan khutbah dan petua hikmahnya.

Kebodohan ini kemudiannya dilanjutkan pula oleh oknum dan aparat penganjur yang berterusan memberikan mereka ruang dan peluang yang berlebihan.

Lalu kian berlanjutanlah kebodohan dan kekeliruan sedemikian.

Dan mangsanya tentulah mereka yang sedang atau masih teraba-raba mencari tempat berpijak dan pegangan!

November 23, 2018

@ MARSLI N.O kini adalah penulis sepenuh masa dan memilih untuk percaya sepenuhnya kepada dirnya sendiri. Beliau sering mengembara sendirian dengan motorsikal 250 atau 175ccnya. Dengan motto: aku kembara, menulis di jalan dan tidor di jalan.



 

Tiada ulasan: