Sabtu, Ogos 13, 2011

KULIT BUKU SAYA


ADA kawan yang memang tersohor nama dia sebagai pereka kulit buku yang cantik dan memukau di kalangan kawan-kawan menegor kulit buku yang saya reka dan bukunya saya terbitkan sendiri.

Saya tidak marah dan ambil hati sedikit pun sebab saya tahu memang pun kulit buku yang saya reka sendiri itu tidak secantik apa yang direka oleh mereka yang memang belajar dan pakar di bidang ini.

Saya tidak perlu berasa malu dan rendah diri kerana itu. Cakaplah apa orang hendak cakap, komenlah apa orang hendak komen. 

Saya bukan tidak mahu melihat buku saya dihiasai dengan kulit yang cantik dan memukau menurut ilmu seni rekaan dan daripada mata penilaian mereka yang mahir di bidang ini.

Hendakkan sesuatu yang bagus dan cantik mestilah dikerjakan oleh mereka yang memang pakar di bidang ini. Masalahnya, saya tidak mampu hendak membayar upah siapa yang mereka kulit buku saya.  

Kalau saya hendak minta tolong secara percuma pun, tiada siapa yang hendak tolong kerana saya bukan orang yang ada apa-apa jawatan serta kepentingan yang boleh kembali memberikan keuntungan kepada sesiapa yang telah menolong saya itu. Seperti misalnya boleh memungkinkan mereka membuat sesuatu persembahan acara di luar negara, atau diberikan projek tertentu di masa akan datang.

Malah saya pun pernah menerima tawaran seorang yang mahu tolong merekakan kulit buku untuk sebuah kumpulan cerpen yang akan saya terbitkan sendiri. Setelah rekaan itu siap dan ditunjukkan kepada saya, berterus terang saya katakan ianya kelihatan seperti kulit buku teks untuk anak sekolah rendah.

Ya, saya mungkin salah tanggap. Tetapi hati kecil saya berkata begitu. Bayangkan dengan latar belakang warna orange muda dan diterakan judulnya dengan font bersaiz 16 atau 14, tanpa hiasan gambar atau apa-apa sketsa. Langsung saya beritahu apa yang saya rasa: ini untuk buku teks!

Suatu ketika yang lain, ketika mendengar pengakuan seorang kawan yang dia sedia membantu merekakan kulit buku saya yang lain, saya berasa gembira bukan main. Kepada kawan ini terus terang  saya mengatakan saya cuma mampu membayar upah kerja dia sekitar RM 200.

Tetapi kemudian, selepas saya melihat rekaan kulit buku saya itu, saya benar-benar terduduk dek rasa kecewa serta tidak menyangka.

Kulit buku itu memang ada. Tetapi lain sangat daripada apa yang saya sangkakan. Tiada sedikit langsung dengan konsep yang saya bayangkan serta gambarkan kepada dia sebelum ini.

Memanglah dia boleh berdalih dan beralasan dengan mengatakan betapa rekaan itu menurut pemahaman dan imaginasi dia. Tetapi kalau hati saya sendiri berasa tidak senang dan terkesan seperti dibuat hendak tidak hendak sahaja, bagaimana pula?

Lain lagi kalau dia meminta kembali pendapat saya apa sebenarnya yang saya senangi dan bayangkan. Setidaknya tidaklah sangat di dalam hati berasa terkilan.

Tetapi saya memang sedar diri. Apa gunanya saya bertekak dengan dia yang tentunya boleh mengaku dirinya lebih tahu dan pandai di bidang itu berbanding saya. Lalu untuk tidak memanjangkan cerita dan kisah. Saya memilih mengalah dengan cara mendiamkan diri dan buku itu tidak saya terbitkan sampai kini.

Memang saya tahu bidang reka mereka dan lukis melukis ini bukan bidang kepakaran saya. Sejak dahulu, saya pun memang bekerja dan menerbitkan buku saya secara persendirian dengan tenaga empat kerat saya sahaja. Tidak menggunakan perisian komputer untuk menyusun halaman, menampal dan melekatkan dami. Semuanya dikerjakan dengan gunting tampal dan susun.

Saya tahu saya memang bukan pakar di bidang ini. Tetapi sementara hendak menunggu menjadi pakar atau menantikan malaikat datang membantu saya, saya memutuskan lebih baik saya berkeja sendiri, dengan kudrat sendiri, belanja sendiri, untuk mencetak dan menerbitkan buku saya sendiri.

Yang penting, apa yang hendak saya sampaikan kepada masyarakat pembaca, dapat saya sampaikan.  Soal bagus atau tidak, cantik atau tidak, biarlah diputuskan mereka yang membaca buku saya itu. 

Sebab, saya tidak ingin menjadi pengemis menagih simpati sesiapa. Kerana saya tahu, siapa mahu ambil peduli dan hendak menolong diri kita kalau diri kita tidak ada apa-apa dan bukan boleh mendatangkan laba apa-apa kepada pihak mereka.
Saya sudah jenuh melaluinya dan sudah sejak mula  memilih untuk terus mandiri.

Walau untuk itu saya menjadi terasing dan tidak diambil peduli di pihak mereka.

Saya juga tidak pernah mahu ambil peduli.

Ogos 13, 2011

 

3 ulasan:

Salle Sulieman berkata...

Assalamualaikum;

Saya berasa tertarik dengan entri Encik Marsli kali ini memandangkan saya bekerja dalam bidang penerbitan.Memang selalu ada percanggahan apabila melibatkan penebritan sebuah buku. Salah satunya ialah kulit depan. Pertikaian ini biasanya bersifat 3 hala- penerbit, penulis dan pereka. Pihak penerbit mahukan rekaan yang 'marketable' dan membawa kuntungan; pereka mahukan rekaan yang berseni dan bertautan dengan imaginasi; dan pengarang mahukan rekaan yang bersangkutan dengan isi kandungan bukunya.

Pendapat saya, adalah lebih baik berbincang dalam mencapai keputusan yang menguntungkan ketiga-tiga pihak. Dalam kes pengarang yang menerbitkan buku sendiri, hak sepenuhnya jatuh ketangan pengarang. Namun kadangkala pengarang perlu peka kepada rekaan terkini dan perlu menyerahkan kepada yang pakar. Kalau pun bukan untuk tujuan pasaran, paling yidak estetika sebuah buku itu terpelihara dengan wajah depan yang bermakna lagi menarik.

MARSLI N.O berkata...

Sdr Salle Suleiman: Saya sangat bersetuju dengan pandangan Sdr. Cuma di pihak saya yang otodidak, tentulah memerlukan bantuan daripada pihak yang memang menguasai bidang ini. Namun seperti saya katakan, saya tidak mampu membayar mahal. Dan kalau ada yang sudi, tentu saja saya sedia berunding dan sangat berterima kasih.

Wassalam,
MARSLI N.O
OGOS 21, 2011

Nimoiz T.Y berkata...

Pada pendapat saya, jika buku kita diterbitkan oleh pihak berwibawa, sudah tentu tidak ada masalah dalam aspek rekabentuk kulit buku. Sebabnya, mereka memiliki perekabentuk yang pakar dalam bidang.

Kalau terbitkan sendiri buku, itu hal kita. Tidak kisahlah orang nak komen apa pun. Yang penting buku kita. Jadi suka hati kitalah nak rekabentuk macam mana pun. Itu buku kita. Yang tukang komen tu, mereka ada buku ke tak? Komen sahaja lebih, tapi habuk pun tadak!

Yang penting buku kita, duit kita. Suka hati kitalah.