Khamis, Julai 05, 2012
ANTARA CERITA, CERMIN DAN KEBENARAN*
INILAH dunia dan hidup yang saya kenal: Kebejatan manusia di mana-mana tetapi kebaikan juga berbaur. Ketika boragas atau haiwan bertopengkan manusia mengacungkan serakah dan berbuat sewenang, pada saat sama para pahlawan dan penegak kebenaran yang berani juga bersedia untuk kembali membersihkan dunia dan meluruskan susila hidup ini agar tidak hanya diperintah serta dirajai penyangak.
Kerana itulah saya tidak terlalu ingin bersedih ketika berhadapan dengan kekejaman dan kebejatan hidup, sama ada kerana peraturan adil yang telah diselewengkan atau kerana perbuatan segelintir manusia.
Saya tahu, setiap kebejatan tidak akan selamanya menjadi raja. Setiap kesombongan akan ada balasan yang didatangkan dan pemerintah yang sebenarnya bukan makhluk yang bernama manusia, tetapi Allah yang maha Esa.
Percaya dan meyakini inilah maka saya tetap ingin meneruskan hidup saya sebagai manusia dan di dunia yang saya hidup serta kenal ini, saya ingin berkongsi sesuatu yang saya fikirkan wajar dan sesuai untuk saya kongsikan dengan manusia yang lain .
Sebagai penulis yang hidup dan bernafas di tengah-tengah kebejatan dan kebaikan ini, saya cuba merakamkan segala cerita, menurut tafsiran dan persepsi saya sendiri, tanpa rasa berpihak dan menghukum.
Kisah dan cerita di mata imaginasi dan daya kreatif saya hanyalah alat untuk saya bercermin melihat kembali diri saya sendiri: kejujuran, keikhlasan dan kemunafikannya sendiri.
Ketika bercermin inilah saya selalu menyoal diri sendiri: Kenapa manusia tidak pernah ingin bersyukur dengan segala anugerah yang diberikan Yang Maha Esa?
Saban hari, tanya ini sentiasa mendatangi diri dan kerananya saya menjadi gelisah dan resah. Kadangkala, gelisah dan resah ini menjadi igau dan mimpi ngeri yang mengganggu tidur di malam hari. Tanpa sedar saya meraungkan pekik dan jerit yang gelisah memecahkan hening di malam sunyi.
Saya tahu, segala gelisah dan rasa kecewa ini tidak akan kunjung usai, akan terus berdengung dan bergema menjadi tanya yang tidak berkesudahan.
Kerana itulah, agar tidak dibunuh oleh rasa gelisah dan kecewa, saya kembali menulis dan terus menulis. Walau saya tahu, segala yang saya harap dan impikan akan tetap kekal menjadi tanya yang berdengung dan meninggalkan gemanya di dalam fikiran.
Saya rindukan kebenaran itu. Betapa pun relatif dan subjektif.
Kuantan,
Mei 27, 2012
*Prakata kumpulan cerpen GUNTING yang diterbitkan oleh Institut Terjemahan dan Buku Malaysia, 2012 dengan kerjasama Persatuan Penulis Nasional (PENA)
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
2 ulasan:
Saya sudah membeli kumpulan cerpen ini. Belum sempat membacanya lagi. Moga terus prolifik menghasilkan karya. Tahniah.
Sdr Tetamu yang Istimewa: Terima kasih kerana sudi membeli karya yang tidak sepertinya itu. Harap sudi emailkan nomor telefon Sdr untuk saya hubungi.
MARSLI N.O
Catat Ulasan