Selasa, Mac 26, 2013

BUKU DIY

SAYA masih tidak lupa. Tahun 1981, ketika semangat menulis dan ingin melihat karya terbit dengan segera dalam bentuk buku terlalu menggebu-gebu, saya sanggup mengayuh basikal kurang lebih sejauh 30 kilometer meredah pekat malam untuk ke kedai zerox atau fotokopi.

Di sana, di kedai fotokopi, saya mengupah mereka menfotokopi dami buku puisi yang sudah saya siapkan di rumah dalam beberapa salinan, yang kemudiannya dijilid dengan mesin staple sebagai sebuah buku yang sangat sederhana bentuk dan layoutnya, dalam hitam putih dan berkulitkan kertas fotokopi yang biasa sahaja.

Mungkin itu satu kegilaan di masa muda, atau mungkin juga sikap terlalu terburu-buru. Tetapi rasa saya, kerja memfotokopi dami buku atau majalah yang kemudian diedarkan kepada kawan-kawan dekat ini secara begini  bukan hanya dikerjakan oleh saya sahaja. Teman-teman yang menerbitkan "zine" atau majalah secara underground sekitar tahun itu juga melakukan hal yang sama dan saya pernah beberapa kali melihat dami  zine mereka ini di kedai tempat selalu saya memfotokopi.

Salah sebuah buku saya yang diterbitkan secara DIY 
Menerbitkan buku atau majalah yang memuatkan karya sendiri dan  teman-teman dekat dan kemudian diedarkan serta dibaca di kalangan sesama sendiri juga sebenarnya bukan pun suatu perbuatan yang boleh mendatangkan dosa atau sampai boleh dianggap sebagai perbuatan jenayah yang menyalahi undang-undang.

Ini sebenarnya adalah sebahagian dari upaya untuk berekspresi dan memanifestasikan perasaan, ide, buah fikiran kepada khalayak, yang kerana sifatnya terbatas, dalam kalangan yang juga terbatas. Di antara sesama, saling bertukar dan berbagi. Sebagai pengulangan dan penerusan kepada suatu tradisi penerbitan secara DIY yang sebelumnya dengan teknologi  seklostil di tahun 1970-an, di mana karya ditaip terlebih dahulu di atas kertas stensil dan kemudian dicetak atau digelek di mesin penggelek, sama ada yang menggunakan tenaga elektrik atau yang digelek secara manual.

Secara peribadi, menerbitkan buku secara DIY memang mendatangkan rasa nikmat dan puas yang sulit untuk saya jelaskan. Pengalaman menyusun helai demi helai kertas, menjilid, memotongnya supaya sama dan sepadan, sungguh merupakan pengalaman yang punya kenikmatannya tersendiri.

Segalanya bermula dengan suatu idea yang kemudiannya disusul dengan berbulan dan malah bertahun-tahun mengumpulkan karya yang difikirkan sesuai untuk dikumpulkan di dalam sebuah buku. Setelah itu melalui pula proses merancang jumlah halaman, susun letak, hiasan kulit dan sebagainya.

Malah bukan tidak pernah berlaku juga "kemalangan" ketika menyiapkannya. Jari telunjuk saya pernah beberapa kali menjadi habuan mata pisau pemotong atau blade dan sekali pernah ke klinik untuk dijahit lantaran lukanya yang terlalu dalam dan darah terlalu deras menetes.

Saya sedar dan tahu memanglah buku yang diterbitkan scara DIY begini akan menjadi lambat prosesnya dan menyebabkan  kosnya juga menjadi agak tinggi. Kerana itu jugalah ketika menjualnya, saya terpaksa meletakkan harga yang agak mahal juga berbanding dengan buku-buku yang dicetak secara benar denganmesin pencetak.

Namun saya percaya, siapa sahaja yang mengetahui dan pandai menghargai sesuatu yang langka, pasti akan mencari dan membeli buku saya yang saya terbitkan secara begini. Di setiap buku yang saya terbitkan secara begini, di sana ada keringat, darah dan jiwa saya bersamanya. Saya tidak hanya menjual sebuah buku yang mengandungi kata-kata, tetapi juga menjual roh, jiwa, keringat dan darah saya bersamanya.

Kepada kawan-kawan yang berminat untuk menerbitkan buku secara DIY begini, saya sedia berkongsi maklumat dan saling bertukar pengetahuan dengan yang lain. Mungkin kawan-kawan lain punya pengalamannya yang tersendiri dan sudi berkongsi pula dengan saya serta teman-teman lain di sini. Mungkin satu hari nanti, kita bersama boleh anjurkan satu festival kecil yang mempamer dan menjual buku-buku yang diterbitkan secara DIY begini.

Kepada kawan-kawan dan pembaca: Jom, kita terbitkan buku secara DIY!

Mac 26, 2013

1 ulasan:

Tetamu Istimewa berkata...

Tahniah, Tuan Marsli N.O yang begitu kental dalam menerbitkan buku sendiri. Insyaallah, jika ada rezeki akan saya dapatkan beberapa buah buku Tuan yang lain lagi. Ada beberapanya belum lagi dimiliki.