Tajuk: 3 Kuntum Hujan
Khamis, Mei 23, 2013
3 KUNTUM HUJAN: BERCERITA DENGAN PUITIS DAN TANDA-TANDA
Tajuk: 3 Kuntum Hujan
Penulis:
Darma Mohammad
Penerbit:
Institut Terjemahan dan Buku Malaysia
(ITBM)
Tahun
Terbit: 2013
Jumlah Muka Surat: 237 Halaman
Harga: RM25.00
Nombor Resit: ITBM02000552
BERCERITA DENGAN PUITIS DAN
TANDA-TANDA
MENJADI sasterawan adalah pilihan dan seorang
individu yang memilihnya, telah memilihnya dengan kesedaran untuk
menerima dan menanggung segala beban serta risikonya secara bersamaan. Kerana,
seorang sasterawan yang dalam erti kata sebenarnya tidak lain dan tidak bukan
merupakan juru bicara dalam masyarakatnya, mahu atau tidak, selain
menyatakan segala sesuatu yang menyentuh hati serta perasaannya, sekaligus juga
harus memikul tanggungjawab untuk menyampaikan pesan-pesannya kepada
masayarakat.
Peranan atau tanggung jawab ini
mesti dipikul serta dilaksanakan seorang sasterawan dengan penuh rasa cinta
demi untuk melestarikan hakikat betapa sebuah karya sastera, selain perlu
dipapar dan dihidangkan dengan penuh keindahan, pada waktu sama tidak boleh
tidak perlu juga memberikan manfaat kepada khalayak pembaca atau masyarakatnya.
Dalam proses menyata dan menghidang
perasaan serta buah fikirannya ini, di samping menyampaikan pesan-pesan
yang penuh dengan unsur-unsur keindahan, selain pilihan genre, seorang sasterawan
juga bergulat dengan persoalan yang berhubungan dengan cara dan teknik untuk
menyatakan serta menyampaikan pesan-pesannya itu kepada khalayak pembaca atau
masyarakat.
Di sudut inilah kelihatannya Darma
Mohammad selaku seorang sasterawan yang mengarang dan sekaligus juga penyair
membuat pilihan ketika berusaha menyampaikan pesan demi pesannya di dalam 23
cerpen yang dikumpulkannya di dalam 3 Kuntum Hujan ini.
Sebagai pengarang cerpen yang
sekaligus juga menyair, Darma Mohammad memilih jalan yang sedikit berbeza
dengan banyak pengarang cerpen lain yang bukan penyair.
Jika kebanyakan pengarang cerpen
aliran konvensional dan bukan penyair memilih untuk menyatakan segala sesuatu
sebagai suatu tiruan dan salinan realitas serta menyampaikan maknanya secara
langsung atau polos dan kita selaku pembaca akan dapat segera memahami atau
membina suatu makna yang jitu dan tunggal, namun hal ini tidak berlaku
pada Darma Mohammad.
Darma Mohammad memilih jalur atau
aliran yang lain. Walau pada permukaannya cerpen-cerpen beliau di dalam
kumpulan 3 Kuntum Hujan ini seolah-olah bertolak daripada sesuatu yang real dan
beraliran realisme, namun beliau tidak menyampaikan amanat atau pesannya kepada
khalayak dan masyarakat secara langsung dan polos.
Membaca cerpen-cerpen Darma Mohammad
di dalam kumpulan 3 Kuntum Hujan ini merupakan satu pengembaraan kejiwaan yang
menuntut kita selaku pembaca mencari maksud serta maknanya lewat petunjuk dan
petanda yang berserakan di sana-sini.
Pada bahagian yang lain pula,
sesekali, kita perlu pula menyusun dan mengatur sendiri potongan demi potongan
tanda tersebut untuk mendapatkan makna. Namun makna yang ditemui pada
permulaannya tetap bukan sesuatu yang jitu dan tunggal. Begitu pembacaan
dilanjut serta diteruskan lagi, kita selaku pembaca akan menemui pula
tanda-tanda baru yang akan menyampaikan makna lain yang lebih baru di dalam
kumpulan cerpen 3 Kuntum Hujan ini.
Tidak bersalahan jika dikatakan di
dalam kumpulan 3 Kuntum Hujan ini kita menemukan keremangan dan ketaksaan yang kian
memperkayakan makna setiap buah cerpen yang dibaca, bergantung kepada dari
sudut dan sisi mana ianya didatangi.
Darma Mohamad dengan penuh lihai,
ketika menukangi cerpen yang dikumpulkannya di dalam kumpulan 3 Kuntum Hujan
ini ternyata telah memadukan bakat kepengarangannya dengan bakat penyair yang
dimilikinya sehingga dengan demikian banyak ditemukan kata dan ungkapan yang
sangat berbau puitis.
Sebagai contohnya judul kumpulan
cerpen ini yang diberikan sebagai “3 Kuntum Hujan” sudah memberikan bukti yang
jelas. Selaku pembaca, kita pasti saja boleh bertanya lanjut mengenai kenapa
mesti diberikan penjodoh bilangan “kuntum” dan tidak “bilah”, sebagai
contohnya. Malah beberapa judul lain seperti “Bumi Mencari Langit” (halaman
169), “Kura-Kura Mencari Langit” (halaman 187) juga dapat dijadikan contoh.
Lanjut membaca cerpen-cerpen di dalam
kumpulan ini, akan kita temukan lagi kata-kata puitis ini seperti
“Biarlah guruh mengarang lirik-lirik lukanya” (halaman 13), “Membilang
gugus gerimis yang masih bergantungan di langit” (halaman 59), atau “Bau dusun
Merayap di mana-mana. Pohon-pohon berdiri” (halaman 170).
Tidak hanya melalui ungkapan tertentu,
keterikatan Darma Mohamad dengan dunia kepenyairannya turut diserlahkan beliau
dalam sebuah cerpen yang diberikannya judul “Pensajak dan Iklah” (halaman 25 –
33). Di dalam cerpen ini, Darma tidak hanya menyampaikan cerita kosong atau
melulu mengenai kisah percintaan aneh di antara seorang penyair (pensajak)
dengan seekor ikan bernama Iklah yang hidup di dalam sebuah akuarium, tetapi
sekaligus juga pesan-pesan yang sangat jauh dan dalam dengung maknanya bagi
seorang pembaca yang mahu berfikir.
Sebagai contohnya, di halaman 32,
antara lain Darma menerakan dialog yang kononnya diucapkan oleh Iklah: “
Sayang, manusia mempunyai lidah, tapi tidak semua yang berani berzikir,”
kata Iklah. “Malah, ramai yang menggunakan lidahnya untuk berdusta.”
Tentu sahaja ayat di dalam cerpen ini bisa mampu membuat kita jauh
dan lanjut berfikir, sekiranya kita ingin sama kembali berfikir.
Secara keseluruhan Darma di dalam
kumpulan 3 Kuntum Hujan ini memang tidak mengemukakan maknanya secara perse.
Sebaliknya, dengan warna kepuitisan yang kental dan pekat, Darma menyuguhkan
banyak keremangan yang menghantar kita ke daerah pemaknaan yang sangat tidak
terbatas. Makna hujan di dalam cerpen 3 Kuntum Hujan (halaman 161 hingga 168)
misalnya bukanlah hujan sebagai objek, tetapi suatu tanda yang menghantar
pembaca ke daerah makna yang lebih jauh dan berbaur surealis.
Kura-kura di dalam cerpen
“Kura-Kura Bermain Pedang” di halaman 179 hingga 185 bukanlah hanya
semata-mata kura-kura begitu selesai kita menamatkan bacaannya, kerana makna
(sindiran) yang disampaikan adalah kepada mereka yang membenci puisi.
Sementara di dalam cerpen “Lelaki yang
Memanah Langit ) di halaman 188 hingga 197 bukanlah langit dan panah yang
menjadi titik persoalan tetapi mengenai gambaran keangkuhan seorang
seniman pelukis dengan ego dan prinsip seninya.
Pada sisi lain, terkesan juga Darma
Mohammad seolah-olah turut berasa gusar dan khuatir andai pilihannya untuk
menyampaikan pesan-pesannya secara begini boleh membuat khalayak pembaca yang
terlalui biasa dengan aliran realis kurang dapat menangkap maksud yang ingin
disampaikan di dalam cerpen yang dikumpulkannya di dalam kumpulan 3 Kuntum Hujan
ini.
Mungkin lantaran inilah Darma sampai
terdorong menulis semacam penjelasan dalam kata pengantarnya di awal kumpulan
cerpen ini. Darma membuat semacam pengakuan serta garis pandu kepada para
pembacanya dengan menyatakan judul-judul cerpen tertentu yang dikatakannya
menyampaikan maksud-maksud tertentu.
-MARSLI N.O
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
2 ulasan:
Saya telah membeli buku ini. Tapi, masih belum sempat membacanya lagi.
Satu sudut pandang pembacaan yang menarik.
saya terlepas buku ini (dan beberapa buku yang memang saya kehendaki) kerana 'mabok' dgn pelbagai judul serta potongan harga 50%nya....
Catat Ulasan